Amsyar biar si kecil berdiri, Emir goyangkan kepalanya kiri dan kanan. Tali beg susah betul nak dibiar kekal pada bahu. Asyik lucut sahaja ke bawah. Orang lain pakai beg galas di bahu, Emir pakai di lengan. Bergerak-gerak patung yang ada pada beg si cilik saat badan kecil itu menapak. Orang lain masih dengan kelopak mata yang berat, Emir sudah penuh tenaga.
"Salam daddy dulu, Emir. Macam mana amin?" soal Haura, dipaut lengan Emir. Sampai ke taska, dah tak ambil kisah pasal orang lain.
"Amin masham ni!" Lengan diangkat tinggi, cuba untuk menolak tali beg ke atas. Tangan Haura dikucup dengan penuh sopan. Sepet mata Emir bila dia ketawa. Dikucup pula tangan Amsyar.
"Pandainya Emir ni. Jangan nakal-nakal, okey?" Amsyar dukung si kecil, pipi mulus itu dikucup.
Hampir tiga bulan diperkenalkan dengan taska, Emir tidak pernah lagi meragam. Akur sahaja dengan apa jua yang disusun. Jika dihantar ke taska, mulut kecil itu tidak berhenti mengomel tentang "friend". Jika dibiarkan untuk duduk di rumah dengan pengasuh, Emir masih lagi riang bertemankan mainan.
Kecil tawa Amsyar dan Haura melihat Emir masuk ke dalam taska sambil memaut tangan rakan yang lebih kurang sama tinggi ditemani dengan seorang pengasuh.
"Bye ami! Bye adda! Mir fen ni!"
"Bye, sayang!"
Masuk ke dalam perut kereta, Haura masih mengekek. Terngiang-ngiang lagak Emir tadi. Sebelum dia hantar Emir ke taska, macam-macam benda negatif yang berlegar di kepala. Tak sangka apa yang ditunjukkan Emir hingga sekarang berlawanan dengan apa yang dia risaukan selama ini.
Amsyar curi pandang isteri dengan senyuman yang ikut muncul di wajah. Dia perasan, perasaan Haura banyak bergantung pada angin Emir. Pacuan mereka perlahan-lahan beredar meninggalkan taska.
Haura toleh ke bahagian pemandu. Sisi wajah sang suami diperhati. Macam inilah agaknya kehidupan dia sekarang? Bangun pagi, siapkan diri, suami dan anak. Lepas hantar anak ke taska, gerak pula ke tempat kerja. Petang dan hujung minggu, dia akan sibuk luangkan masa dengan keluarga. Sana, sini dia bawa Emir keluar. Ke taman permainan berdekatan dengan rumah pun jadilah untuk isi semula waktu yang tidak dapat diluang bersama Emir oleh kerana jadual kerja.
Sibuk, padat tapi seronok. Apa yang dia buat sekarang adalah apa yang dia impikan selama ini. Semua kerana lelaki di sebelahnya sekarang. Lelaki yang sentiasa menjadi penyokong dan kekuatan dia.
"Haura rasa kan abang..."
"Hm?"
"Haura bersyukur sangat Emir tak pernah buat perangai. Bangun pagi pun tak menangis. Dia...mudahkan lagi urusan Haura untuk buat apa yang Haura suka." luah Haura pada suami.
"Mungkin Emir tahu kot yang mommy dia tengah sibuk kejar cita-cita. Itu yang dia baik je." Amsyar bawa buku jari isteri ke ulas bibirnya. "Ataupun, dia dah jumpa kawan. Itu yang dia lupa dekat kita."
Haura terus mengekek. "Haura rasa yang kedua tu betul. Abang tengok tak dia pegang tangan kawan dia? Amboi, budak kecil tu. Geram je Haura!"
**
Beg galas Emir dikosongkan, dibawa keluar isi yang ada. Bekal makanan yang dia bekalkan untuk Emir hari ini, licin. Seperti hari biasa. Botol susu dibawa ke sinki untuk dicuci dan dikeringkan. Setiap malam, Haura akan siapkan beg untuk Emir bawa keesokan hari. Mudah dan terkejar-kejar. Esok, dia hanya perlu masukkan bekal baharu dan botol susu sahaja.
Di ruang tamu, Amsyar sibuk melayan Emir dengan longgokan mainan yang ada. Lori mainan ditarik ke belakang dan dilepaskan, laju mainan kecil itu bergerak melintasi Emir. Pecah tawa si kecil dengan keterujaan. Giliran Emir pula untuk gerakkan mainan tersebut. Sambil itu, Amsyar sibuk juga melirik pada skrin televisyen. Anak matanya bergerak pada tajuk utama berita hari ini.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
RomanceKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...