Terkebil-kebil tangan kecil itu menyedok nasi ke dalam bekas makanan. Amsyar sendeng badannya pada meja. Bangun pukul tiga pagi juga belum tentu siap bekal untuk Haura jika ada pembantu yang terlebih cermat seperti Emir ni.
"Boleh, Emir?"
"Boyeh! Mir boyeh adda!" Beberapa butir nasi yang jatuh itu terus dikutip. Tersengih Emir sambil memasukkannya ke dalam mulut.
Lebih banyak yang masuk ke mulut daripada bekas. Begitu juga dengan potongan buah. Leka Emir mengunyah potongan buah epal, tugas utamanya terus dilupakan. Amsyar pula yang menyambung.
"Bekal ni untuk mommy. Nanti mommy makan dekat tempat kerja." Amsyar jongket kening sambil tangannya bergerak untuk menutup bekas makanan.
"Ami matan, ami cihat! Nyanti...ami cihat, ami appy!"
"Pandai, sayang. Mommy happy, daddy happy. Emir happy tak?" soal Amsyar, pipi bulat itu dicubit lembut.
"Appy!" Emir angkat kepalan tangan. "Mir ada ami, adda! Fwens!"
Sambil menongkat bahu, Haura perhati beberapa rakan sekerjanya meninggalkan meja masing-masing untuk turun makan tengahari. Pinggir bibirnya yang naik itu membentuk garis lurus saat rakaman video yang diambil pagi tadi itu sampai ke penghujung. Walaupun hanya beberapa jam berpisah dengan suami dan anak, rasa rindu itu masih membuak.
Dia melihat pula pada layar komputer, anak matanya bergerak pada draf yang masih lagi dalam proses. Beralih pandangannya pada kertas yang dilekap bersebelahan komputer. Lepas rehat, dia perlu ulas beberapa dokumen penting. Haura membawa lengannya ke depan, keluhan keluar dari celah ulas bibir. Panjang lagi sisa hari ini.
"Jangan lupa makan, sayang. Abang ada sediakan panadol in case kalau Haura perlukan. I love you. Take care."
— "Thank you, abang! I love you more!"
Suara dalam kepalanya kedengaran lebih bertenaga daripada jasadnya sekarang. Pesanan daripada suami dah dibalas, Haura letak beg berisi bekal makanannya di atas meja.
Bekas makanan dibawa keluar, penutupnya terus dibuka. Tangan menadah dan meraup wajah sebelum sudunya mengaut sedikit nasi dengan lauk ayam masak merah itu.
Sambil menjamu selera berseorangan, dia sibukkan dirinya dengan melihat semula video-video Emir yang ada dalam telefon.
Berdering telefonnya sekali lagi menandakan pesanan mesej baru.
"Haura, petang ni kalau tak ada apa, jom jumpa dekat kafe. Aku ada bawa cookies untuk Emir!"
Laju tangannya membalas. Lesu macam mana pun, rutin hariannya tidak boleh berubah. Tak lengkap harinya jika tidak dapat berbual dengan Aina. Rakannya itu seolah-olah diari bergerak dia.
Sejak suhu badannya kerap naik dan turun, Haura lebih selesa untuk makan di tempatnya sahaja. Renyah rasanya hendak turun beli makanan, nak berjalan sana sini. Sunyi sikit berbanding hari biasa. Tiada teman berborak tapi—
Dring!
Tegak terus badannya saat panggilan diterima. Tangan melambai pada lelaki yang segak berpakaian seragam di hujung talian.
"Sayang tengah makan?"
Haura mengangkat bekas makanan. "Haura baru nak mula makan. Abang dah sampai tempat kerja?"
"Baru sampai ni, sayang. Tadi abang hantar Emir dekat taska. Dia makan tengahari dengan abang tadi. Rugi Haura tak dapat join."
"Ish, jealous Haura! Mana boleh Emir ambil abang daripada Haura." Haura kecilkan mata sebelum mengekek tawa.

YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
RomanceKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...