Membongkok badan Amsyar, dua buah kotak yang diambil dari peti surat kini diletak atas karpet. Kuat bunyi lepuk dari Emir yang menepuk tangan. Belum tahu isinya lagi, si kecil sudah teruja. Haura juga mengambil tempat dengan memasang sila menghadap bungkusan tersebut. Anak matanya mengerling pada nama pengirim yang tertera pada bahagian atas salah satu kotak.
"Mama?" Melanguk wajahnya. "Mama hantar apa ni, abang?"
"Tak tahu, sayang. Mama tak cakap apa-apa pun?" Amsyar ambil dahulu pisau lipat dari tempat simpanan sebelum turut memasang sila. Biarpun sudah tahu nama pengirim, anak matanya tetap melirik pada kertas yang ditepek. Mama tak ada pula beritahu apa-apa. Kali terakhir mereka berbual, mama hanya tanya jika Haura mengidam apa-apa.
"Ami...ami apa ni? Mir unye ni?"
"Mommy pun tak tahu, sayang. Kita tunggu daddy buka." Dia pangku Emir sementara menunggu Amsyar koyak plastik bungkusan.
Bagai semut mengerubungi gula. Tiga pasang mata terus meninjau ke dalam sebaik sahaja Amsyar kepak bahagian muka kotak. Baru hendak bersorai, rupanya terdapat sebuah lagi kotak polisterin yang juga dibalut dengan pita pelekat.
Amsyar pindah isinya ke luar, kotak kosong itu kini menjadi mainan untuk si kecil. Tergopoh-gopoh Emir mengangkat kakinya untuk masuk ke dalam. Sekali lagi hujung mata pisau ditekan pada pita pelekat untuk koyak bahagian bingkai yang mengunci penutup polisterin tersebut.
Bunyi teriak sang isteri dahulu mengetuk gegendang telinga sebelum anak mata Amsyar sempat melihat isinya. Tangan Haura sudah penuh memegang kuih sejuk beku yang ada. Paket berisi apam puteri ayu pula didakap erat.
"Haura dah lama nak makan ni!"
"Apam?" soal Amsyar. Beberapa lagi paket dalam kotak turut dibawa keluar.
"Apam puteri ayu! Mama pernah buat dulu waktu kita tidur rumah mama. Sedap sangat! Haura cuba beli dekat kedai online tapi rasa dia tak sama. Cuma...yang ni, Haura tak tahulah mama buat sendiri ke mama beli juga. Takkanlah mama buat sendiri?" Dia menterbalikkan paket kuih tersebut untuk cari nama jenama. Biasanya jika beli dari kedai, akan ada pelekat yang ditampal di bahagian luar bagi memudahkan pelanggan untuk menghubungi mereka.
"Mama beli sekali banyak kot? Itu yang tak ada pelekat." Amsyar letak semula paket kuih ke dalam bekas, lengannya mengunjur untuk ambil telefon dari atas meja.
"Ni onat! Mir cuka onat!" Jari telunjuk Emir bergerak-gerak. Masih enggan meninggalkan kotak.
"Nenek bagi donut untuk Emir! Esok mommy goreng, Emir bawa pergi school, okey? Cakap terima kasih dekat nenek, sayang. Sini, sini."
Amsyar bawa telefon menghala yang lain. Melambai-lambai Emir pada atuk dan nenek. Paket donut juga diangkat.
"Cakap terima kasih nenek,"
"Maceh enek..." ajuk Emir pada kata-kata si ibu.
"Sebab bagi donut dekat Emir."
"Onat Mir!"
"Sama-sama, sayang. Nanti Haura kukus ye apam tu? Kalau habis, nanti mama buat lagi." Pesan Puan Khadijah. Tujuan dia telefon untuk bertanya jika barangnya sudah selamat sampai tapi bersambung sahaja panggilan telefon dengan anak, dia nampak bungkusannya dah terbuka. Paket kuih dah dipeluk cucu dan menantu.
"Mama buat sendiri ke kuih-kuih ni?" Bulat mata Haura.
"Iye....Mama buat sendiri sebab takut kalau beli, tak sama pula rasa dia. Ada kuih karipap, donut. Donut tu, mama tak letak telur. Emir boleh makan. Bawa pergi taska."
Amsyar diam untuk beri laluan buat si isteri berbual dengan Puan Khadijah. Bila tiada sebarang kata dari wanita itu, dia toleh ke sisi. Kecil tawa yang keluar dari mulut bila lihat Haura sedang menyeka air mata.

YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku (S2)
RomanceKehidupan Amsyar Dizhwar dan Haura Mikayla semakin penuh dengan kemanisan selepas hadirnya cahaya mata pertama, Emir Raees. Namun bagi Haura, masih ada beberapa perkara yang diidamkan dalam hidup. Walaupun dikurniakan suami yang memahami, tanggapan...