Part 5

13.8K 995 143
                                    

Beg makeup diletak berhadapan cermin. Wajahnya yang bersolek penuh diseka dengan tisu lembab.

Sejam lebih dia siap bersolek, beberapa minit saja masa yang diambil untuk padam kesemuanya. Pencuci muka dari dalam beg telekung diambil, Haura atur langkah ke sinki untuk mencuci muka.

Bila sudah cukup yakin wajahnya bersih dari sebarang produk, baru dia ke tempat ambil wudhu.

Sebelum kahwin, Haura tidak berapa kisah tentang tiang agama. Jika datang rasa rajin, lengkaplah lima waktu. Jika tidak, berloponglah di antara yang wajib.

Jika di rumah sahaja dia dengan sikap acuh tidak acuh, apatah lagi jika dia keluar. Sebelum ini, tidak pernah terdetik hendak bawa beg telekung ke sana sini. Nak cuci solekan yang ada di wajah? Baru terfikir, sudah terasa renyah. Lepas solat, kena calit semula solekan di wajah. Leceh, penat.

Dulu, dia pernah ditinggal Daniel hanya kerana mengambil masa terlalu lama di dalam surau. Buang masa, katanya.

Bila bergelar isteri pada Amsyar, acap kali dia ditegur. Jika terlupa, Amsyar pasti akan ingatkan dia tentang beg telekung. Usah kata beg telekung, alat solek juga diingatkan. Lama kelamaan, yang janggal menjadi lali. Sudah menjadi kewajipan untuk dia pastikan adanya beg telekung setiap kali keluar ke mana-mana.

"Kalau Haura makeup semula, nanti abang kena tunggu lama."

"And that's fine, sayang. Abang tunggu. Asalkan Haura dah tunaikan yang wajib."

Bila terkenang semula perbualan dia dan suami, Haura jongket bahu. Entah-entah Amsyar segan kalau dia tak bersolek. Tapi...tak pernah pula dia dengar sebarang rungutan dari suami. Ish, tak tahulah.

Telekung dimasukkan semula dalam beg, Haura bergerak pula ke cermin, memberi peluang untuk orang lain pula mengerjakan solat di ruangan tersebut. Cushion foundation, blusher, lipstick dibawa keluar dari beg. Ada masa pula nak berkhahal. Perut dah mula berbunyi ni.

**

Terhuyung-hayang Emir, tangan yang memegang bekas Mentos sour mix digoncang kuat. Setiap kali langkah dia dipintas seseorang, pandangannya diangkat untuk melambai.

Senyap terus bunyi gula-gula digoncang bila salah seorang pengunjung yang berumur mencuit pipi mulus Emir. Terbuka mulut si kecil, pipinya terus ditekap dengan tapak tangan. Terkedek-kedek dia balik semula pada si ayah.

"Adda! Tu! Tu! Mir ni!"

Bertentang mata Amsyar dengan pengunjung tersebut, senyuman kecil diberi. Emir tidak suka dipegang orang lain tapi tidak reti juga duduk diam. Dilarang pun tiada guna. Amsyar seka pipi si kecil. "Dah. Tak ada apa dah."

"Tank!" Dia sambung semula ke tengah laluan, botol gula-gula digoncang lagi.

Amsyar tarik pandangan ke surau wanita sebelum tumpuannya berbalik pada si kecil. Cepat-cepat Amsyar bangun bila Emir mula mempelawa gula-gula pada orang lain. Baru sesaat leka, Emir dah sibuk membuat tawaran.

"Ai! Wan?"

"Eh, sayang. Jangan, jangan. Tak boleh." Si kecil diangkat. "Janganlah bagi gula-gula daddy dekat orang."

"Ta oyeh?"

"Tak boleh. Ini daddy punya." Dahlah sejak ada Emir, dia kena sorok gula-gula ni. Stok pun tak boleh ditambah waktu Emir ada. Nak bagi orang pula...

**

Satu persatu hidangan makanan yang dipesan mula mengisi ruangan meja. Seiras reaksi Haura dan Emir. Dari mata yang membulat hingga ke tapak tangan yang menepuk-nepuk.

Kembang kucup tangan Emir pada mangkuk berisi pho.

"Sekejap, Emir. Mommy tiup dulu." Haura pindahkan sebahagian kecil pho ke dalam mangkuk kecil yang dibawa dari rumah. Kuey teow dipotong kecil-kecilan supaya senang untuk ditelan.

Peluang Kedua Buatku (S2)Where stories live. Discover now