Thariq terdiam, merenung wajah Jihaa dalam kekeliruan yang mendalam. Banyak perkara yang dia tidak faham, tetapi yang paling mencengkam hatinya ialah bagaimana Jihaa, wanita yang selama ini dia percaya sebagai sekadar CEO yang cekap dan askar berkaliber, sebenarnya menyembunyikan begitu banyak rahsia.
“Awak seorang... pewaris kerajaan? Dan awak ada kuasa luar biasa?” Thariq bersuara, cuba merasionalkan semua yang baru dia dengar.
Jihaa mengangguk perlahan. Dia tahu ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk Thariq terima, lebih-lebih lagi dengan rahsia besar tentang kuasanya.
"Ya... Saya pewaris Kingdom, dan saya tak boleh biarkan sesiapa tahu tentang kuasa saya atau identiti sebenar saya. Dunia ni akan jadi lebih huru-hara kalau mereka tahu."
Thariq memandang Jihaa dengan wajah yang masih terkejut. “Selama ni awak cuba lindungi saya dan semua orang daripada rahsia ni?”
Jihaa tersenyum pahit. “Bukan hanya awak. Semua orang di sekeliling saya. Sebab itulah saya rahsiakan semua ni, walaupun dari awak.”
Suasana menjadi sepi seketika. Thariq tidak berkata apa-apa. Namun, Jihaa tahu ini mungkin hanya permulaan kepada banyak persoalan yang akan timbul. Hatinya mula resah, memikirkan betapa rapuhnya situasi ini sekarang.
Tiba-tiba, bunyi pintu diketuk dari arah belakang. Nia masuk, dengan wajah serius seperti biasa. “Boss, Evil suruh kita bersiap sedia. Dia kata ada gerakan daripada pihak lawan. Kita tak ada banyak masa.”
Jihaa bangkit dengan cepat, kembali ke mod Queen yang sentiasa bersedia untuk bertindak.
"Thariq, saya terpaksa pergi dulu. Saya tak boleh biarkan mereka hancurkan semuanya."
Thariq bangun bersama Jihaa, matanya tak pernah lepas dari wanita itu. “Saya tak akan biarkan awak pergi seorang diri, Jihaa. Kalau apa-apa berlaku, saya ada dengan awak.”
Jihaa terkejut sekejap dengan kata-kata Thariq. "Awak tak faham, Thariq. Ini bukan sekadar misi tentera biasa. Ini jauh lebih rumit dari itu."
"Saya faham, tapi saya tak akan biarkan awak hadapi semua ni seorang diri. Kita suami isteri, kan? Awak tak perlu tanggung semua ni sorang-sorang."
Jihaa menarik nafas panjang. Dia tersentuh dengan keikhlasan Thariq, tapi dia juga tahu misi ini bukan sesuatu yang boleh diselesaikan hanya dengan semangat. Bahayanya terlalu besar, dan Thariq mungkin tidak tahu betapa gelapnya dunia yang dia cuba masuki.
"Baiklah, kalau begitu... awak ikut saya. Tapi, saya harap awak betul-betul bersedia untuk apa yang bakal awak tengok."
Thariq mengangguk tegas. "Saya dah lama bersedia, Jihaa."
---
Misi di hadapan ini lebih besar dari biasa. Devil Queen sedang berdepan dengan satu organisasi yang berani mencabar pengaruh mereka, dan senjata yang sedang diperdagangkan melibatkan teknologi canggih—bukan sahaja diperlukan oleh mafia, tetapi juga pihak ketenteraan. Jihaa tahu bahawa ini adalah urusan dua dunia yang dia sentiasa pisahkan, tetapi kali ini ia bertindih.
"Boss, semua orang sudah bersedia. Doc dan Evil dah ada di kedudukan mereka," kata Nia ketika mereka memasuki kawasan operasi. Jihaa memberi anggukan dan melirik ke arah Thariq yang kelihatan sangat fokus.
Di tengah-tengah kawasan lapang yang gelap, musuh-musuh mereka sudah berkumpul. Jihaa melihat gerombolan mereka, termasuk pengkhianat dari salah satu organisasi mafia lain yang ingin menggulingkan Devil Queen. Dia dapat merasakan bahangnya.
Nia mula bergerak, membina jaringan hack untuk menyusup masuk ke sistem musuh, sementara Evil, tersembunyi dalam bayangan, bersiap sedia dengan serangan kuasa gelapnya.
Jihaa memberi arahan dengan tenang. "Kita masuk senyap. Tak boleh ada yang lepas kali ni."
Thariq, berdiri di sebelah Jihaa, memegang senjatanya dengan erat. Dia tahu ini bukan pertempuran biasa, tapi dia juga tahu dia tidak akan biarkan Jihaa melalui semua ini tanpa dirinya.
---
Ketika misi itu semakin memuncak, musuh mula menyedari kehadiran Jihaa dan pasukannya. Letupan dan bunyi tembakan memecah kesunyian malam. Jihaa bertempur dengan kecekapan luar biasa, menggerakkan tubuhnya dengan kelajuan yang mustahil bagi manusia biasa. Thariq, yang turut bertarung di sebelahnya, kagum melihat betapa mahirnya Jihaa dalam pertempuran. Dia bukan sahaja cepat, tetapi juga tepat dalam setiap langkahnya.
Ketika Jihaa menghentam salah seorang musuh, lelaki itu terlempar sejauh beberapa meter, mencium tanah dengan hentakan kuat. Thariq tercengang melihat kekuatan Jihaa. Tapi ini hanya permulaan.
Satu letupan besar memisahkan Jihaa dan Thariq. Asap memenuhi ruang udara, dan Jihaa tahu musuh sedang cuba kabur dengan senjata berbahaya tersebut.
"Saya tak boleh biarkan mereka pergi!" Jihaa berteriak, matanya menyala dengan tekad. Dia tahu inilah masanya untuk menggunakan kuasanya. Menyentuh tanah, Jihaa memanggil kuasa bumi dan angin, mencipta gelombang kejutan yang melumpuhkan musuh-musuh yang cuba melarikan diri.
Thariq, di seberang kawasan tersebut, terkejut melihat kekuatan Jihaa. Walaupun dalam keadaan kekalutan, dia dapat merasakan sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri sedang berlaku di hadapannya. Dan akhirnya, dia mula faham apa yang Jihaa cuba sembunyikan selama ini.