Nusyirah berdiri di tepi tingkap, memerhati suasana malam yang sunyi dan sepi. Udara malam yang dingin terasa menyelubungi dirinya, namun tidak mampu menghilangkan perasaan terkurung yang menghimpit jiwanya. Fikirannya menerawang jauh, mencari sedikit ruang untuk bernafas dalam kehidupan yang terasa semakin menghimpit.
Tiba-tiba, telefon di tangannya bergetar. Nama yang muncul di skrin membuatkan jantungnya berdegup kencang. ‘Nadia.’
Tanpa ragu, dia menjawab panggilan itu.
"Syirah! Lama gila tak dengar khabar kau. Aku baru balik dari luar negara ni, rindu sangat kat kau. Jomlah kita jumpa esok!" Suara Nadia kedengaran riang di hujung talian, penuh semangat seperti dulu.
Nusyirah tersenyum kecil, walau hatinya tak keruan. "Aku pun rindu kau, Nad. Tapi... aku kena tanya suami aku dulu."
Talian sunyi seketika, kemudian Nadia menjawab dengan nada yang sedikit teragak-agak. "Baiklah, tanya suami kau dulu. Tapi kalau boleh, jom kita jumpa dekat kafe biasa. Aku tunggu kau, okay?"
Nusyirah mengangguk perlahan, walau Nadia tak dapat melihatnya. "Okay, nanti aku update kau."
Setelah tamat panggilan, Nusyirah berdiri sejenak, memandang ke arah bilik Fatteh. Perasaan takut dan cemas mula meresap ke dalam dirinya, namun dia tahu, lambat laun dia tetap perlu meminta izin.
Dengan hati yang berat, dia melangkah menuju ke bilik Fatteh. Tangannya teragak-agak mengetuk pintu.
"Masuk," suara Fatteh terdengar tegas, langsung membuatkan Nusyirah menggigil sedikit.
Dia membuka pintu perlahan-lahan. Fatteh sedang duduk di sofa, matanya tertancap pada skrin telefon bimbitnya, tak mempedulikan kedatangan Nusyirah.
“Apa kau nak?” soalnya dingin tanpa mengalihkan pandangan dari telefonnya.
Nusyirah menarik nafas dalam-dalam, cuba memberanikan diri. “Saya... saya nak minta izin. Esok... boleh tak kalau saya keluar jumpa kawan saya?”
Fatteh akhirnya mengangkat kepala, memandang Nusyirah dengan mata yang tajam. “Jumpa siapa?”
“Nadia. Dia kawan lama saya,” jawab Nusyirah perlahan.
Fatteh terdiam sebentar, matanya meneliti wajah Nusyirah seolah-olah cuba membaca setiap inci perasaannya. “Kau boleh pergi, tapi aku ikut. Kau takkan ke mana-mana tanpa aku.”
Nusyirah tergamam, cuba mencari alasan. “Tapi... saya cuma nak jumpa kawan saya, tak perlulah awak ikut.”
Fatteh tersenyum sinis, senyuman yang membuatkan Nusyirah merasa dirinya semakin terperangkap. “Aku tak peduli. Aku ikut, titik. Aku tak nak ambil risiko kau buat benda yang bukan-bukan.”
Nusyirah hanya mampu mengangguk lemah. Dia tahu, tiada ruang untuk dia melawan. "Baiklah..." dia menjawab dengan suara hampir berbisik.
___________________________________
Keesokan harinya, sebaik sahaja Nusyirah bersiap untuk keluar, Fatteh menghampirinya dengan wajah serius. Dia berdiri tegak di hadapan pintu bilik, memerhatikannya dengan pandangan tajam, seolah-olah sudah dapat membaca apa yang difikirkan oleh Nusyirah.
“Aku nak ingatkan kau sesuatu,” kata Fatteh dengan nada rendah. “Bila kau jumpa Nadia nanti, jangan sesekali cerita apa-apa pasal aku. Jangan bagitahu dia pasal rumah tangga kita, pasal apa yang berlaku... atau kau mengadu apa-apa.”
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” suara Fatteh semakin meninggi sedikit, matanya tajam menatap wajah Nusyirah.
“Dengar...” Nusyirah menjawab perlahan, menundukkan pandangannya ke lantai. Hatinya semakin terhimpit, namun dia tahu, dia tiada pilihan. Dia perlu patuh jika tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk.
“Bagus. Aku tak nak dengar apa-apa cerita yang tak sepatutnya dari mulut Nadia nanti. Kalau aku tahu kau bagitahu dia sesuatu, kau tahulah apa yang aku boleh buat,” tambah Fatteh lagi, nada suaranya dingin dan tegas.
Nusyirah hanya mampu mengangguk, walaupun di dalam hati dia menangis. Fatteh memandangnya sejenak sebelum beredar keluar dari bilik, meninggalkan Nusyirah yang berdiri kaku di tempatnya. Nafasnya terasa semakin berat. Dia tahu pertemuan dengan Nadia nanti tidak akan mudah.
---
Di kafe tempat mereka selalu bertemu dahulu, Nadia sudah menunggu dengan wajah ceria. Sebaik sahaja melihat kelibat Nusyirah, Nadia melambai dengan penuh semangat.
"Syirah! Lama gila tak jumpa kau. Rindunya!" Nadia berseru sambil menghampiri Nusyirah dan memeluknya erat. Namun, kegembiraan Nadia tidak dapat menghapuskan perasaan gelisah yang bermain di hati Nusyirah.
Nusyirah tersenyum tipis, cuba menutupi keresahan yang menguasai dirinya. "Rindu jugak kat kau, Nad."
Ketika mereka duduk di meja, Nusyirah dapat merasakan pandangan Fatteh dari jauh, duduk di meja lain tetapi masih dalam jarak yang cukup dekat untuk mengawasi. Nadia memandang sekilas ke arah Fatteh, kemudian kembali kepada Nusyirah dengan kening terangkat.
"Dia ikut kau ke?" Nadia bertanya, nada suaranya jelas terkejut.
Nusyirah menggigit bibir, cuba mengatur kata-kata. "Ya... Dia ikut aku. Tak apa, kita boleh sembang macam biasa."
Nadia memandang Nusyirah dengan rasa ingin tahu. "Syirah... kau okay ke? Aku rasa ada benda yang kau tak cerita."
Nusyirah menelan air liur, hatinya berdegup kencang. Kata-kata amaran Fatteh masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia mahu memberitahu Nadia segalanya, tetapi dia tahu, risikonya terlalu besar.
“Aku okay, Nad... takde apa-apa yang berlaku,” jawab Nusyirah dengan nada lemah, sambil cuba tersenyum, walaupun senyumannya kelihatan dipaksa.
Nadia memandangnya dengan ragu, namun dia tidak mahu mendesak. "Kalau ada apa-apa... kau tahu kau boleh cakap dengan aku, kan?"
Nusyirah hanya mengangguk, walaupun dalam hatinya dia tahu, kebenaran itu terperangkap di dalam dirinya. Pertemuan yang sepatutnya menggembirakan kini terasa seperti beban, dan dia tahu, dia harus terus berpura-pura, untuk keselamatannya sendiri.
YOU ARE READING
𝐇𝐄𝐑 𝐀𝐁𝐔𝐒𝐄 𝐇𝐔𝐒𝐁𝐀𝐍𝐃
RomanceNusyirah, seorang wanita muda yang dulunya penuh harapan, kini terperangkap dalam perkahwinan yang dipenuhi dengan penderitaan dan kekejaman. Suaminya, Fatteh, yang pada mulanya kelihatan sempurna di mata keluarga dan masyarakat, ternyata menyimpan...