Bab 14

427 10 0
                                        

Fatteh melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia malas hendak melayan kerenah Aisyah. Perempuan itu tak lebih daripada racun dalam hidupnya. Racun yang dia sendiri biarkan membusuk di sekeliling, hanya kerana terlalu ego untuk menyingkir.

Pintu bilik ditolak perlahan.

Bunyi engsel berkeriuk, bergema dalam ruang yang gelap dan sepi.

Tiada siapa di dalam. Tiada cahaya. Tiada suara.

Tapi bila dia melangkah masuk, dadanya mula sesak kerana bilik ini bukan kosong. Ia penuh. Dengan kenangan. Dengan rasa bersalah. Dengan bayang seseorang yang kini menjauh darinya.

Dia tutup pintu rapat. Suasana makin sunyi. Tapi di dalam fikirannya, bising. Terlalu bising. Jeritan tanpa suara. Suara hati yang menjerit nama Nusyirah, tanpa henti.

Dia tidak membuka lampu. Biarlah gelap. Biarlah cahaya samar dari celah langsir jadi satu-satunya saksi.

Langkahnya berat. Lantai ini pernah menyaksikan betapa kejamnya dia terhadap perempuan yang paling mencintainya. Yang mencintainya tanpa syarat, walau dia tak pernah beri walau secebis rasa sayang.

Matanya terhenti pada katil itu.

Katil yang dulu jadi tempat dia rampas maruah isteri dia dengan tangan sendiri, bukan dengan cinta… tapi dengan kuasa.

Dan di atas katil itu bantal masih di tempat sama.

Masih ada lekuk kepala kecil yang biasa baring di situ. Kepala yang selalu mengelak bila dia hulur tangan. Tapi tetap baring, tetap diam, sebab takut. Sebab patuh. Sebab isteri.

Perlahan, dia duduk di sisi katil. Tangannya menggigil saat menyentuh bantal itu.

Lalu…

Dia peluk. Tarik ke dada. Erat. Seolah-olah dia sedang peluk tubuh Nusyirah semula.

Ditekup muka pada bantal itu. Nafasnya dalam. Laju. Tak teratur.

Dan…

Wangi itu masih ada.

Shampoo kegemaran Nusyirah. Bau lembut. Bau bersih. Bau perempuan yang tak pernah menyentuh lelaki lain, hanya dia. Bau perempuan yang pernah jadi miliknya… sebelum dia sendiri hancurkan semuanya.

“Wanginya...”
Bisiknya perlahan. Nama itu pecah dari bibir yang pernah melukakan.

“Syirah aku rindu... aku rindu kau.”

Air mata jatuh. Tak bising. Tapi deras. Terus membasahi bantal yang kini jadi saksi kedua.

Tubuhnya menggigil perlahan.
Rindu itu menyakitkan. Tapi yang lebih sakit... ialah kesedaran bahawa rindu itu tak akan pernah terbalas.

Dia tahu.

Dia tahu dia kejam.
Dia tahu dia jahat.
Dia tahu dia bukan layak untuk disentuh pun oleh perempuan sebaik Nusyirah.

Bantal itu...
Pernah jadi tempat Nusyirah menangis diam-diam setiap malam.
Pernah jadi tempat dia letakkan kepala selepas dia paksa tubuh isteri itu diam dalam takut.
Pernah jadi tempat Nusyirah bisik doa agar Allah selamatkan dia dari suami sendiri.

Dan sekarang?

Sekarang bantal itu jadi tempat Fatteh menangis.

Hari itu katil ini...
Jadi lambang kuasa.
Tempat dia melucutkan
Maruah isterinya.
Kini jadi tempat dia rebah, hancur sendiri dalam penyesalan.

“Kenapa kau tak nak tengok aku, Syirah...”
“Kenapa mata kau pandang aku macam aku syaitan...”

Tangannya menggenggam cadar.
Kuat. Seolah dia masih cuba pegang tangan kecil itu. Tangan yang dulu selalu dia tolak tepi. Tangan yang dulu genggam dia perlahan bila tidur sebelum takut menghalang.

“Aku dah tak tahu macam mana nak cari kau balik...”
“Macam mana nak betulkan semua benda yang aku dah rosakkan...”

Dia menekup muka dengan bantal. Lama. Nafasnya serabut. Badannya terhenjut perlahan, seperti anak kecil yang baru hilang ibu.

Dan dalam gelap itu... dia cuma mahu hilang.

Kalau dia tekan cukup lama, mungkin dia boleh lenyap. Mungkin dia boleh tenggelam dalam kesakitan ini. Mungkin masa boleh berpatah balik.

Tapi dia tahu... dia tak layak untuk keajaiban.

Allah tak matikan dia waktu dia menampar Nusyirah.
Allah tak hukum dia saat dia paksa isteri sendiri dalam derita.
Allah biarkan dia hidup kerana hidup ini sendiri satu hukuman.

Tiba-tiba telefon di sebelahnya berdering. Bingit. Mengganggu sunyi yang dia sedang tenggelam dalamnya.

"Karin."

Nama itu terpampang jelas di skrin. Dia renung kosong beberapa saat. Bukan sebab benci cuma otaknya terlalu sarat. Badannya terlalu letih. Hatinya terlalu remuk.

“Tak habis-habis kerja…” gumamnya perlahan.

Dia biarkan deringan seketika. Harap akan berhenti sendiri. Tapi panggilan terus masuk, degil dan berulang.

Akhirnya, dengan keluhan berat, Fatteh bangun perlahan. Tangannya menggapai telefon.

Dia tekan jawab. Suaranya keluar serak dan tenggelam, tapi cukup jelas.

“Ya.”

“Tuan, maaf ganggu waktu malam. Tapi klien dari Singapura dah tunggu hampir tiga hari. Dia minta confirmation untuk projek joint-venture tu. Kalau Tuan tak sempat, saya boleh tolong uruskan dulu.”

Fatteh pandang ke luar jendela. Gelap. Senyap. Macam kosongnya hati dia sekarang.

Dah lama dia tak masuk pejabat. Dah seminggu mungkin. Atau lebih. Hari-hari terasa sama panjang, kosong dan menyesakkan.

Syarikat, klien, jutaan ringgit... semua tu dah hilang makna bila dibandingkan dengan satu nama: Nusyirah.

“Tuan? Kalau Tuan perlukan masa, saya boleh batalkan atau tangguhkan meeting. Saya akan uruskan sebaik mungkin,” suara Karin penuh tanggungjawab, tenang dan jelas hanya menjalankan tugas.

Fatteh hela nafas. Dalam. Dada masih berombak, tapi dia cuba kawal.

“Letak semua meeting bawah kau minggu ni. Aku tak masuk office.”

“Baik, Tuan.” Senyap sejenak. “Kalau ada apa-apa Tuan perlukan, beritahu saya. Saya sedia bantu.”

“Terima kasih, Karin. Jangan call malam-malam lagi. Aku nak rehat.”

“Faham, Tuan. Maaf sekali lagi. Selamat malam.”

Panggilan tamat.

Fatteh letak semula telefon di meja. Lama dia renung skrin yang gelap. Dunia luar masih bergerak. Orang masih bekerja. Tapi dia?

Dia terhenti. Dalam masa. Dalam jiwa. Dalam penyesalan yang tak tahu bila akan berakhir.

Dia kembali duduk atas katil.

Bantal itu masih di situ. Bau Nusyirah masih kuat.

Bau dia.

Bau yang buat dada dia sesak. Bau yang buat dia rasa hidup dan mati dalam masa yang sama.

Dia peluk semula bantal itu. Kali ini lebih erat. Nafasnya makin dalam.

"Aku bodoh, Syirah..."

Suara dia hampir tenggelam. Tapi luka itu terasa semakin dalam, seolah baru ditoreh hari ini juga.

"Aku anggap kau lemah sebab kau diam. Aku sangka kau tak layak... sebab semua orang pandang rendah. Tapi sebenarnya... aku yang paling hina. Sebab aku tak pernah jaga kau. Aku tak pernah lindung kau. Aku cuma rosakkan apa yang paling suci dalam hidup aku."

Air mata jatuh perlahan. Dan untuk pertama kali, dia tak cuba sekat.

"Aku hina kau. Aku cabul hak kau. Aku paksa kau tunduk atas nama suami... dan sekarang aku nak kau balik?"

Dia tergelak kecil. Tapi tiada gembira dalam tawa itu. Hanya jijik kepada diri sendiri.

"Bodohnya aku..."

Tangannya genggam cadar, seperti mahu ganti genggaman tangan Nusyirah yang dulu selalu hangat menggengam tangannya.

𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚 𝐁𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐌𝐢𝐥𝐢𝐤𝐧𝐲𝐚 Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang