🏀🧪 BAB 42

1.5K 140 19
                                    

DAVIRA memandang kosong ke arah skrin telefonnya. Jarinya menggelongsor naik turun, tiada apa yang menarik perhatiannya. Fikirannya penuh dengan bayangan wajah Ryaz Zulkarnain.

Selepas pertemuan yang menyakitkan di Dream Cafe, dia banyak luangkan masa dengan Aryan. Lelaki itu sahaja yang sanggup meluangkan masa untuknya. Berbual tentang perkara yang tak penting, tonton filem lama yang sudah berulang kali ditonton. Semuanya dilakukan hanya untuk mengalihkan fikirannya daripada Ryaz.

Kadang-kadang dia terasa dirinya jahat. Aryan tak patut dijadikan pelarian. Tapi apa pilihan yang dia ada? Sakitnya hati bila keadaan memaksa dia melupakan lelaki yang pernah menjadi seluruh dunianya.

Namun, setiap kali dia hampir berjaya, Ryaz akan muncul di rumahnya. Berkongsi gelak tawa dengan Dareeq seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dan Ryaz akan menegurnya dengan nada biasa, dengan senyuman yang tak berubah, seolah-olah hati dia tak pernah terluka.

Itu yang membuatkan hatinya lebih perit.

"Kenapa termenung? Cerita kita tengok tadi tak best ke?" soal Aryan memandang Davira yang jelas tenggelam dalam dunianya sendiri.

Davira tersentak sedikit, kemudian mengukir senyuman yang kelihatan dipaksa. "Takdelah. Cerita tadi okay je."

Aryan tidak puas hati dengan jawapan itu. "Awak ada nak pergi mana-mana ke lepas ni?"

Davira menggeleng lemah. "Tak ada."

Aryan melepaskan keluhan perlahan. Dia boleh nampak di balik senyuman itu, Davira sedang cuba menyembunyikan sesuatu.

"Tunggu sini sekejap," ujarnya tiba-tiba sebelum dia berlari ke arah sebuah kedai berhampiran.

Davira terpinga-pinga, hanya mampu melihat bayang Aryan hilang di sebalik pintu kedai, tertanya-tanya apa yang dirancang oleh lelaki itu.

Tak lama kemudian, Aryan muncul dengan sebatang lollipop Chupa Chups di tangan dan menghulurkannya kepada Davira dengan senyuman kecil.

Davira memandang lollipop itu tanpa berkata apa-apa. Lollipop tersebut mengingatkannya kepada Ryaz.

Setiap kali dia kecewa, marah, sakit hati atau menangis, Ryaz selalu muncul dengan lollipop sebagai pengubat hati. Tetapi kali ini, kenangan itu hanya membuat luka hatinya makin dalam.

Tiba-tiba, air mata Davira jatuh tanpa ditahan. Aryan tersentak, dia bertinggung di hadapan Davira, wajahnya penuh risau. "Kenapa ni?" soalnya lembut, cuba memahami.

Tapi tangisan Davira semakin kuat, tersedu-sedu. Aryan gelisah, tak tahu macam mana untuk tenangkan gadis di depannya.

"Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf, okay?" Aryan cuba lagi, suaranya makin cemas.

"Awak jangan nangis, saya betul-betul minta maaf." Dia merayu, panik melihat air mata Davira.

"Saya rindu abang Ryaz," ujar Davira dalam esak tangis yang semakin deras.

Aryan terdiam. Hatinya hancur mendengar nama lelaki lain yang meniti di bibir Davira.

Aryan diam lama, memandang Davira yang masih teresak-esak. Rasa perit mula menular ke seluruh dadanya. Nama Ryaz terkeluar dari bibir Davira dengan penuh kerinduan, seperti pisau halus yang perlahan-lahan menghiris hati Aryan. Dia cuba tersenyum, walaupun senyum itu hambar dan penuh kepalsuan.

“Awak rindu dia, ya?” Aryan bersuara perlahan, berusaha menyembunyikan rasa sakit yang semakin menjalar. “It’s okay… kalau awak nak luah kat saya, saya setia dengar."

Davira mengangguk sambil mengesat air matanya, tidak menyedari mata Aryan yang juga sarat dengan kesedihan. Aryan hanya mampu menahan. Dia tak mahu tunjukkan betapa hatinya remuk setiap kali mendengar Davira menyebut nama Ryaz, lelaki yang pernah dia sanjung sebagai kawan dan juga atlet terhebat.

Amor Mio (OG)Where stories live. Discover now