KERETA berhenti perlahan di hadapan kolej. Ryaz memegang erat stereng, cuba menenangkan jantungnya yang berdegup semakin laju. Ada sesuatu yang bergetar di dalam dirinya, sesuatu yang memberitahu dia tak boleh tunggu lebih lama lagi. Sekarang juga adalah waktu yang paling tepat.
Davira membuka pintu, bersiap-siap untuk melangkah keluar. "Vira keluar dulu tau, abang Ryaz. Terima kasih sebab temankan," ujarnya dengan senyuman yang selalu saja buat hati Ryaz goyah.
Ryaz hanya mengangguk perlahan, tapi sebelum Davira sempat menutup pintu, dia tergagap, "Eh eh! Sekejap..."
Davira berpaling, dahi berkerut. "Kenapa?"
Ryaz menarik nafas dalam, merasakan udara yang tiba-tiba terasa sempit. "Err... A-abang ada benda nak bagi kat Medina."
"Bagi apa? Ole-ole dari Jepun ke?" Dia ingat perbualan mereka sebelum ini, tentang sesuatu yang Ryaz janji nak bagi.
"Bu-bukan... Eh, betul lah."
Davira mengangkat kening, jelas tak faham. "Mana satu ni abang Ryaz? Tadi cakap bukan, lepas tu kata betul pula."
Dia ketawa kecil. Dia cuba membaca apa yang sedang tersembunyi di sebalik wajah Ryaz yang kelihatan sedikit cemas.
Ryaz menarik nafas sekali lagi. Dia tahu, inilah saatnya. Jantungnya terasa seperti mahu meletup, tapi dia juga tak mahu mundur lagi.
Ryaz tersenyum kecil, cuba menenangkan dirinya yang hampir seratus peratus diliputi kegugupan.
Tangan kanannya perlahan-lahan menghulur ke arah dashboard kereta. Baldu merah yang tersimpan kemas di dalamnya kini beralih ke tangannya. Nafasnya dihela perlahan, seperti mengumpul kekuatan terakhir sebelum segalanya berubah.
"Ole-ole Jepun jugak... cuma yang ni luar biasa," ujar Ryaz, suaranya sedikit bergetar.
Davira berkerut, tanda kebingungan. "Luar biasa macam mana pula? Apa benda sampai abang Ryaz macam ni?"
Pandangan Davira bertaut dengan Ryaz, tapi Ryaz tidak membalas. Sebaliknya, dia hanya mengangguk perlahan ke arah tempat duduk di sebelah, memberi isyarat agar Davira duduk semula.
"Masuk dulu. Abang ada benda nak bagi ni," ujar Ryaz.
Davira kembali masuk ke dalam kereta. "Apa benda ni abang Ryaz? Nak bagi apa?" tanyanya lagi, penuh tanda tanya.
Ryaz menoleh ke arah Davira dan kali ini matanya tidak beralih. "Tapi Medina jangan terkejut tau," bisik Ryaz dengan senyuman yang seakan menyimpan rahsia besar.
Davira tertawa kecil, masih belum faham sepenuhnya. "Abang Ryaz tak bagi lagi macam mana nak tahu terkejut ke tak?"
Ryaz membuka baldu merah itu perlahan-lahan dan di dalamnya, sebuah cincin kecil yang bersinar indah terletak kemas, seolah-olah menunggu saat untuk dipakai di jari seseorang.
Pandangan Ryaz tak lepas daripada wajah Davira, yang kini mula tersentak.
"Kita kahwin?" Itulah ayat pertama yang terlintas di benaknya. Entah kemana ayat manis yang selalu keluar dari mulutnya.
Davira memandangnya dengan mata membulat, tak percaya apa yang baru sahaja didengarinya.
"Ha?! Abang Ryaz biar betul?" soalnya terkejut, matanya melirik antara cincin di tangan Ryaz dan wajah lelaki itu yang tampak penuh pengharapan.
Ryaz tersenyum lemah, cuba mencari kata-kata yang sepatutnya datang lebih awal.
"Betul lah. Tak salah kan? Lagipun kita dah kenal lama. Abang yakin ini keputusan yang betul." Setiap patah perkataan itu keluar dengan susah payah, seolah dia sendiri tak pasti apakah keyakinannya masih kukuh.
YOU ARE READING
Amor Mio (OG)
Romance2nd book ☘️☘️☘️ Ryaz Zulkarnain X Davira Medina Start: 13/01/2024 End: Read your own risk ⚠️ Typo bersepah ⚠️ Matured language ⚠️ 15+ ⚠️ Light conflict ⚠️Storyline agak membosankan