Selepas aku menukar pakaian dan mengemas barang, aku keluar daripada bilik untuk menerokai rumah ni.
Rumahnya tak terlalu besar dan tak terlalu kecil. Aku sudah beritahu Syasza yang aku pindah ke rumah Arlan jadi tak adalah dia terkejut. Rumah ni ada banyak bilik yang kosong.
Aku hanya meneruskan perjalanan aku sampailah pergerakan aku terhenti saat mata aku terancap pada satu bingkai foto Arlan bersama Zaffre. Bingkai foto ni betul-betul terletak di atas meja tv. Terus sahaja tangan aku mencapai bingkai itu dan membawanya mendekati aku.
Mereka berdua bergambar di hadapan gunung fuji. Bibir aku melakar senyuman nipis. Teringat bila dia bercuti di Japan bersama rakan-rakannya sewaktu cuti sekolah. Tak sangka pula Arlan adalah salah satu kawannya.
Senyuman nipis di bibirku pudar selepas beberapa saat. Terus aku meletak semula bingkai gambar itu dan menapak ke arah dapur yang berdekatan dengan ruang tamu. Badan aku tersentak saat aku melihat Arlan di dapur sedang mengeluarkan bahan untuk memasak.
Apron dipakai di badannya sambil tangannya lincah memotong ayam. Selang beberapa saat, dia perasan akan kehadiran aku. Badan dia mengeras, dia kelihatan sedikit terkejut sebelum dia menjadi tenang.
"Awak ni, buat terkejut saya je." Kata Arlan dengan lembut sambil dia terus menyediakan bahan untuk memasak.
"Masuklah. Awak duduk dulu." Pelawa Arlan.
Aku perlahan-lahan menapak masuk dan duduk di atas kerusi yang terletak bersama kaunter. Mata aku mengikut sahaja ke mana dia berjalan.
"Awak tak nak saya tolong?" Tanya aku sedikit teragak-agak. Tak tahu kalau aku perlu tolong ataupun tidak.
"Eh, tak payah. Saya boleh masak sendiri. Lagipun, saya nak masak untuk awak." Ujar Arlan dengan tenang.
"Kenapa awak terkejut?" Aku bertanya, sedikit hairan bila Arlan terkejut tadi.
"Sebab saya tak biasa tengok perempuan di dalam rumah saya. Lagi-lagi pula bila perempuannya tidak bertudung." Balas Arlan. Aku sedikit terkejut dengan penyataan dia.
Tiba-tiba sahaja Arlan memusingkan badannya ke arah aku membuatkan aku terkejut sekali lagi. "S-saya tak bermaksud nak sindir awak ke apa. Saya cuma tak biasa lagi. Lagi pula kita dah berkahwin."
Riak wajahnya kelihatan risau. Aku tidak terasa langsung dengan apa yang dia kata. Cuma terkejut. Terus aku menggelengkan kepala sambil tersenyum kecil seolah-olah memberitahu yang aku tak terasa langsung.
Dia kelihatan sedikit tenang walaupun matanya menunjukkan sedikit kebimbangan bila melihat aku. Dia perlahan-lahan memasak semula dan aku terus sahaja menukar topik.
"Awak masak apa tu?" Tanya aku sekadar sahaja.
"Zaffre pernah beritahu saya yang awak suka gulai ayam. Jadi saya nak masakkan untuk awak hari ni." Balas Arlan sambil dia menghidupkan api.
Badan aku mengeras bila dia berkata begitu. Mata aku memandang gerak geri Arlan yang mengingatkan aku dengan Zaffre. Mata aku mula berkaca namun aku tahan sahaja. Kenapa? Kenapa aku masih teringatkannya? Setiap gerak gerinya sewaktu memasak, masih lagi mengingatkan aku terhadap Zaffre walaupun aku cuba menolak memori itu pergi.
Lamunan aku terhenti bila Arlan memanggil aku untuk merasa masakannya. Perlahan-lahan aku bangun dari tempat dudukku dan berjalan menuju ke sisi Arlan.
Arlan perlahan-lahan membawa sudu yang berisi kuah gulai ke bibir aku selepas dia meniupnya. Bibir aku sedikit menggeletar sambil aku merasa kuah itu. Aku sedikit tersentak bila kuah itu terasa sama seperti yang Zaffre selalu masakkan untuk aku.
"Okay tak? Zaffre pernah ajar saya masak." Tanya Arlan, aku hanya berdiam diri sahaja. Tak tau nak balas apa.
Tanpa aku sedar, air mata mula menuruni mataku dengan laju. Arlan tersenyum tawar sambil dia perlahan-lahan mengelap air mata aku. Aku sedikit tersentak dengan perbuatannya. Wajahnya kelihatan tenang sebelum dia melekapkan kedua-dua belah telapak tangannya pada kedua-dua belah pipi aku dan membawa wajah aku untuk mendekati wajahnya.
"Awak... Awak masih ingat pasal Zaffre kan? Saya perasan bila awak perhati je gerak geri saya waktu saya tengah memasak." Dia berbisik sambil mengusap pipi aku perlahan-lahan seperti hendak memujuk aku.
Usapan itu membuatkan dahi aku berkerut dan tangisan aku mula pecah. Pandangan dan usapan itu juga mengingatkan aku tentang Zaffre. Ya Allah, kenapa semua ni asyik mengingatkan aku tentang Zaffre?
Arlan menutup api sebelum dia menarik aku ke dalam pelukannya. Aku menangis sepuas-puasnya pada dada bidangnya. "S-saya masih rindukan Zaffre... Saya rindukan suami saya sangat..."
Arlan hanya mengangguk sahaja sambil dia menepuk lembut belakang aku dan mengusapnya. "Saya tau. Jadi lepaskan apa yang awak rasa sekarang ni. Saya tak nak awak menderita seorang je."
Selepas sejam, mata aku bengkak selepas menangis terlalu banyak. Aku cuba untuk menutup mukaku daripada dilihat oleh Arlan walaupun Arlan sudah nampak dari awal. Aku berasa malu sangat lepas menangis kat dia. Sampai apron dia ada kesan basah padanya. Dalam masa yang sama, aku berasa bersalah bila menangis di hadapannya.
"Awak, jangan tutup. Tak payah malu. Saya kan suami awak." Pujuk Arlan dengan lembut membuatkan muka aku membahang. Satu, sebab mata aku bengkak. Kedua, lengannya masih lagi melingkari pinggang aku jadi aku tidak boleh lari ke mana-mana.
"Awak... S-saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak menangis depan awak. Saya minta maaf sangat-sangat sebab saya dah basahkan apron awak. Saya tak bermaksud nak buat macam tu." Ucap aku, serba salah. Mata aku langsung tidak memandangnya.
"Tak apa. Saya pun minta maaf juga sebab tiba-tiba sentuh awak. Saya cuma nak pujuk awak. Saya tak bermaksud buat awak rasa tak selesa." Balas Arlan, kelihatan serba salah dengan perbuatannya. Terus sahaja aku menggelengkan kepala aku sebagai tanda yang aku tak kesah dengan perbuatannya.
"Tak. Saya... Saya tak rasa apa-apa." Aku hanya tersenyum janggal.
Arlan memandang aku walaupun aku cuba untuk mengelak pandangannya. Perlahan-lahan dia meleraikan pelukan dan menawarkan aku segelas air sejuk sebelum dia mencapai mangkuk untuk meletakkan ayam gulai ke dalamnya.
. ᡣ𐭩 .
Selepas makan malam bersama, kami berdua solat berjemaah bersama sebelum memasuki bilik masing-masing untuk tidur. Aku berbaring di atas katil sebelum memandang siling yang tiba-tiba bercahaya yang membentuk bintang di ruangan yang gelap.
Aku sedikit terkejut. Arlan ke yang meletakkan semua ni? Semuanya berlainan warna membuatkan aku tersenyum suka.
Cahaya-cahaya itu membuatkan aku tidak berasa keseorangan di dalam bilik ni. Ia memberikan aku keselesaan di dalam bilik tidur yang aku sedang menyesuaikan diri ini.
Rumah ni adalah salah satu benda yang aku tak boleh biasakan diri lagi. Tapi aku tahu, lambat laun diri aku akan perlahan-lahan berasa selesa dengannya. Begitu juga aku dan Arlan.
Aku berharap sangat yang aku boleh mulakan hidup yang baru bersama Arlan tanpa aku sering mengingati memori lama dengan Zaffre dan membuatkan aku susah untuk menerima Arlan di dalam hidupku.
TO BE CONTINUED.
YOU ARE READING
LAVELRA: Her Desolation
RomanceHER SERIES 。 ゚☾ ゚。⋆★ [ 1ST ] | 2024 ☆ ONGOING ★ He fell first, she fell harder ★ Slow burn ★ Sad romance ★ Unexpected love