4
Pejabat Jaya Plantation.
5:00 petang.
AZMAN mengeluarkan telefon bimbitnya. Sudah hampir dua hari telefon itu dimatikan. Dua hari sebelumnya, dia sibuk menguruskan ladang kelapa sawit seluas 4312 hektar. Prestasi syarikat itu mesti dijaga. Pernah sekali dia cuai, pekerjanya ditimpa kemalangan dan dimasukkan di hospital. Lebih buruk bila ada ahli politik yang menjadikan kes itu sebagai bahan untuk dipolitikkan hanya kerana pekerja itu berasal dari Indonesia. Katanya, pekerja-pekerjanya tidak ada permit, datang Malaysia jadi pengundi hantu. Jahanam. Orang Indonesia datang Malaysia untuk cari rezeki halal, dibilangnya mahu jadi pengundi hantu sedangkan orang sendiri yang tidak mahu bekerja di ladang-ladang, yang lebih rela menganggur sampai ke tua, tidak pula disibukkan.
Nada dering berbunyi tanda mesej masuk. Azman membuka inbox.
Maxis: You have a missed call from Julia (12.09.2012 at 2:56 PM).
Rahim berlari tergesa-gesa. Dua orang pengawal keselamatan menyusul dari belakang. Azman menyimpan telefon bimbitnya kembali ke dalam saku seluar dan segera pergi ke arah Rahim. Perhatian ditumpu penuh pada pekerjanya.
"Tuan, ada masalah di ladang. Subuh tadi, seorang pekerja kita diserang serigala!"
"Apa??"
"Dia dah dibawa ke hospital. Keadaannya stabil. Malangnya, serigala tu terlepas," sambung Rahim lagi.
Serigala?
Azman teringat kejadian semalam. Saat dia menatap wajahnya di dalam cermin. Wajahnya berbulu seperti serigala.
Bagaimana aku boleh berubah tanpa aku sedar?
"Tuan?"
Azman tersedar dari lamunannya.
"Saya akan uruskan hal ni. Pastikan berita ni tak sampai ke orang luar," balas Azman.
Rahim mengangguk.
Sekolah Henry Gurney II, Keningau, Sabah.
7:15 petang.
MAGHRIB. Semua pelajar Muslim diwajibkan ke surau. Pelajar non-Muslim pula ke dewan untuk menadah telinga mendengar ceramah moral. Hipotesis mudah, makin banyak santapan rohani, makin sucilah seseorang manusia itu. Memang mereka dikurung di situ untuk disucikan dengan disuapkan santapan rohani sedang mulut masing-masing terkatup rapat, tidak mahu. Berkesan ke tidak, entah. Yang pasti, jiwa manusia tidak akan senang dengan hal-hal yang dipaksa-paksa. Makin dipaksa, jiwa manusia akan makin memberontak, akhirnya, hancur berkecai.
Kelihatan kelibat lembaga sedang merangkak di balik semak sekitar kawasan asrama. Aizat melewati kawasan itu. Pantas, lembaga itu menyembunyikan diri. Aizat berhenti. Menoleh sekitar.
Ah, mainan perasan! desus hatinya lalu menapak pergi.
Setelah Aizat menjauh, lembaga itu keluar dari tempat persembunyian. Di situ, dia terus menanti. Tidak lama, Ina muncul bersama dua potong daging merah. Daging itu dicuri dari kantin sekolah.
Serupa anjing peliharaan, lembaga itu merapati Ina dengan lidah terjelir mencecah tanah. Ina membaling daging itu jauh-jauh. Lembaga itu melompat dan menyambar kepingan daging yang pertama. Daging mentah itu diratah dengan lahap. Setelah puas meratah potongan pertama, ia mahu yang kedua.
"Yang ni yang last minggu ni. Minggu depan aku bagi lagi," kata Ina.
Lembaga itu mengangguk. Ia mengerti bahasa manusia.
YOU ARE READING
ESKAPIS - sebuah novel Deen Nasir
ActionBLACK Rose – sebuah organisasi pengganas yang memperalatkan sekumpulan saintis negara – FINaL – bagi mencipta senjata pembunuh paling sempurna – G-Mutation. Black Rose disahkan lumpuh setelah letupan di markaznya yang meragut nyawa ketuanya. Kemuncu...