9
Restoran Seri Pelangi, Kuala Lumpur.
PADA waktu tengahari, restoran itu dipenuhi pelanggan. Kebanyakannya pekerja pejabat berhampiran. Masa makan tengah hari inilah masa mereka berkumpul. Bersembang memanjang satu jam, dari hal pejabat sampai politik negara. Dan, politik. Biasalah. Ada yang menyokong kerajaan. Ada yang membangkang kerajaan. Tapi, kalau sudah taksub duduk semeja makan pun asyik hendak berperang mulut. Tidak tahu ke mana halatuju politik yang diperjuangkan, baik yang berlabel 'keagamaan', mahupun yang berlabel 'perkauman'. Yang jelas, masyarakat berpecah pelah kerana demokrasi. Dalam demokrasi mereka, kebenaran ditentukan oleh golongan majoriti sedangkan kebenaran selalu berada pada golongan minoriti. Lalu bagaimana kebenaran akan terhasil dari demokrasi serupa itu?
Pemilik restoren itu duduk berhadapan dengan Laila, berbalas senyum. Sudah lebih empat tahun dia dibebaskan dari penjara. Baru hari ini Laila berkesempatan bertemu dengannya.
"Ada apa-apa masalah cik nak jumpa? Makanan kat sini ada masalah?" soal Hj. Ibrahim.
"Tak. Makanan kat sini..erm...okaylah," balas Laila.
"Saya datang jumpa haji sebab kes sepuluh tahun dulu," sambung Laila.
Serta-merta raut wajah Hj. Ibrahim berubah. Walaupun usianya sudah menjangkau umur Nabi wafat, kejadian yang berlaku dulu masih segar dalam ingatannya. Tiada siapa yang akan melupakan sejarah hitam seperti itu.
"Maafkan saya, saya tak dapat tolong cik," balas Hj. Ibrahim lalu bangun hendak pergi.
"Bagaimana dengan Datuk Nasrul? Haji tak pernah berdendam dengannya? Senang-senang je dia bebas dari tuduhan," soal Laila, cuba mengumpan.
Hj. Nasrul berhenti melangkah, memalingkan wajahnya semula.
"Kalau tak tahu apa-apa, jangan pandai-pandai buat cerita!" marah Hj. Ibrahim. Suaranya ditinggikan. Semua yang berada di situ memandang. Itulah kali pertama pekerja-pekerjanya melihatnya marah sebegitu. Tiba-tiba, dia memegang dadanya. Sakit jantungnya datang tiba-tiba.
"Cik, kalau cik datang sini nak buat kacau, sila keluar," tegur anak lelakinya.
"Saya tak tahu kenapa Haji cuba sembunyikan semua ni. Tapi, Haji kena tahu, abang saya pun terlibat dalam kes ni. Saya mahu dapatkan kepastian kalau abang saya benar-benar dah mati," balas Laila.
Hj. Ibrahim duduk di atas kerusi dibantu anak lelakinya.
"Nasrul. Dia takde apa-apa khaitan dengan kerja jahat mereka. Mereka. Mereka sengaja bebaskan Nasrul untuk mempergunakannya lagi...Uhuk! Uhuk! Keluar kandang harimau, masuk mulut buaya," kata Hj. Ibrahim, terbatuk-batuk.
"Ambilkan album lama ayah," katanya kepada anak lelakinya.
Anak lelakinya melakukan seperti yang disuruh. Dia membelek album itu. Mengeluarkan sekeping foto. Foto itu diserahkan kepada Laila.
"Saya tak tahu mana satu Kolonel. Tapi, salah seorang daripada mereka ialah Kolonel," kata Hj. Ibrahim.
Laila menatap foto itu, lama. Dia kenal salah seorang daripada lelaki di dalam foto itu. Memang sudah diduganya sebelum ini. Polis juga terlibat sama dalam kes itu. Ianya konspirasi. Untuk apa? Dia tidak tahu.
"Itu je yang saya tahu," kata Hj. Ibrahim.
"Bawa ayah masuk bilik. Ayah nak rehat," katanya kepada anak lelakinya.
"Tunggu dulu. Kalau suatu masa nanti Haji ingin menceritakan sesuatu kepada saya, sila hubungi saya," balas Laila sambil meninggalkan sehelai kertas yang ditulis nombor telefonnya di atas meja.
YOU ARE READING
ESKAPIS - sebuah novel Deen Nasir
ActionBLACK Rose – sebuah organisasi pengganas yang memperalatkan sekumpulan saintis negara – FINaL – bagi mencipta senjata pembunuh paling sempurna – G-Mutation. Black Rose disahkan lumpuh setelah letupan di markaznya yang meragut nyawa ketuanya. Kemuncu...