Bab 37 + Bab 38

1.6K 34 1
                                    

37

13 Julai.

Jalan Ampang.

HUJAN rintik-rintik. Jalan sesak. Hanim memanjangkan leher untuk mengetahui punca kesesakan itu. Kedengaran bunyi siren polis dalam tempo perlahan, berselang-seli dengan gesekan wiper kereta. Tidak lama, sekumpulan polis menaiki motosikal berkuasa besar dengan lampu signal mengelip-ngelip muncul di tengah-tengah kesesakan, berpusu-pusu dalam barisan memanjang mengiringi beberapa buah Proton Perdana versi ekslusif dinaiki golongan VIP dan sebuah Honda Accord berada paling belakang yang dinaiki Perdana Menteri dan bininya, Datin Sri Rosalinda Manaf yang mesra digelar RM. Menurutnya gelaran itu membuatnya rasa lebih bernilai, seperti harga sebelas biji beg tangan mewah berjenama Birkin.

"Patutlah jem. PM nak lalu," rungut Aizat.

Hanim menoleh kanan-kiri, mencari jalan untuk keluar dari kesesakan itu. Di kanan, sebuah bas milik syarikat pengangkutan bumiputera yang hampir bankrap satu masa dulu angkara konflik dalaman golongan yang tidak reti bersyukur. Di kiri, sebuah teksi berjenama Proton dan ruang kecil di depannnya yang memungkinkan sebuah kereta mencelah masuk untuk menuju ke depan, bajet Hanim. Hanim membelok keretanya ke kiri untuk memasuki ruang kecil itu. Malangnya, bajetnya tersasar. Keretanya bergesel sedikit dengan teksi itu. Meninggalkan kesan calar memanjang pada corak bunga raya di pintu belakangnya.

Pemandu teksi itu menurunkan cermin tingkap.

"Bawak kereta tu pakai mata, bangang!!" makinya, kasar. Peduli apa dengan budi bahasa. Budi bahasa hanya untuk pelancong. Orang sendiri, guna bahasa syaitan. Tiada senyum. Tiada terima kasih. Tiada sama-sama.

Hanim buat tidak endah, malah langsung tidak memandang pemandu teksi itu. Perbuatannya dianggap kurang ajar dan membuatkan pemandu teksi itu makin marah. Dia keluar dari teksi, menuju ke kereta Hanim.

Tok! Tok! Tok! Tingkap pemandu kereta Hanim diketuk.

"Camni la kalau pompuan bawak kereta. Mata letak kat lutut. Hey betina, keluar! Kang aku pecah cermin ni kang!" rungut pemandu teksi itu.

"Hanim, keluar la. Kalau tak, tak settle," kata Aizat.

Leceh betul la! hati Hanim mengomel.

Dia keluar dari kereta. Bunyi hon dari kereta belakang memanaskan lagi jiwanya. Duit dikeluarkan segera dari purse-nya. Mahu agar ketegangan itu mati serta-merta. Lebih baik mengalah bila sudah salah.

"Pakcik, sabar, sabar. Maafkan saya. Saya tak sengaja. Ini duit untuk repair calar," kata Hanim. Dua keping not RM100 dihulurkan kepada pak cik tua berkopiah putih kekuningan itu.

"Eh, ini mana cukup!" kata pemandu teksi itu.

"Tak cukupnya apa kebendanya? Calar tak sampai seinci. Dua ratus tu pun ada balance tau!" balas Hanim.

Diam-diam salah seorang penumpang di dalam bas merakam adegan itu dengan telefon pintarnya. Mungkin sebentar lagi kejadian itu akan jadi viral di media sosial, yang mana cerita penuhnya tidak akan sama seperti yang diviralkan; 'Pemandu Myvi Buli Pak Cik Teksi'.

Aizat malas layan. Otaknya tiba-tiba pening. Dia tidak biasa dengan suasana kesesakan kota raya itu. Dia mengalihkan pandangan keluar tingkap, ke arah barisan motosikal polis yang menghalang jalan. Tidak tahu sampai bila kesesakan itu akan berlanjutan. Di Sabah, aman saja. Tiada kesesakan jalan raya atau lebih tepat tiada jalan raya langsung. Manifestasi kerajaan untuk membangunkan pedalaman Sabah bagai angan-angan kosong dan rakyat Sabah pula begitu hebat memainkan watak Mat Jenin. Apa peduli, asal Mat Jenin gembira walau ditipu mati-mati.

ESKAPIS - sebuah novel Deen NasirWhere stories live. Discover now