17
Beberapa tahun lalu...
Pasar Siti Khadijah, Kelantan.
ARAHAN Zack dipatuhi. Budi dan dua orang lagi memulakan langkah mengekori sasaran. Dari jauh, mereka berinteraksi menggunakan bahasa isyarat. Man mempercepat langkah. Dia tahu dia diekori. Dengan pantas, dia menyelinap masuk ke dalam gerombolan jurujual dan pembeli, sesak dengan orang Kelantan, loghatnya dan kenegeriannya yang kadang-kadang mengjengkelkan, tapi tidak selalu. Kalau kahwin dengan orang Kelantan, anak-anak mesti dilahirkan di negeri Kelantan, menjadi anak Kelantan, sebab hanya anak Kelantan saja yang layak mendapat tanah di Kelantan. Strategi politik yang menarik untuk menjaga harta negeri sendiri.
"Abe... beli, be... tiga kilo sepuluh riyal jah..."
"Ke tepi!" jerit Man pada jurujual itu.
"Alah... gitu dio laye kito."
Man tidak mengendahkan herdikan wanita itu. Dia merempuh ke dalam gerombolan manusia. Dua-tiga orang terjatuh ke tanah disebabkannya.
"Wey, demo buto ko??" pekik seorang lelaki pada Man. Man tidak mempedulikannya.
"Demo nok gi mano? Kawe dok leh lepas demo lagu tu. Demo doh cemar tempat kawe!" marah lelaki itu lagi sambil menolak Man.
Lelaki yang menahan Man memberikan tumbukan ke perutnya. Man tersungkur ke tanah. Pengunjung pasar yang lain hanya memerhati. Tiada siapa yang berani campur tangan dalam pergaduhan itu.
"Demo mintok maaf cepat! Kalu dok, pecoh perut demo!" gesa lelaki itu lagi.
Man dengan segera merapatkan jarinya meminta maaf. Lengan baju pendeknya terselak sedikit menampakkan bahunya. Pada saat itu, lelaki itu terpandang tatu naga pada bahunya. Serta-merta dia mengundur ke belakang.
"Ore ni... ore ni... kawe dok leh lawe. Mintok maaf. Kawe dok sengajo. Kawe dok sengajo."
Tiba-tiba saja lelaki itu pula memohon maaf pada Man.
"Sana!" Kedengaran jeritan dari jauh.
Tak guna! jerit hati Man.
Musuh berjaya mengesan kedudukannya. Man bingkas berdiri, cuba melarikan diri dari situ, tapi sudah terlambat, dia sudah dikepung.
"Pepatah Melayu mengatakan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua." Zack muncul bersama sebilah parang panjang.
Semua pengunjung pasar menjauhkan diri dari kumpulan samseng itu. Zack memberikan arahan kepada anak-anak buahnya. Anak-anak buahnya membelasah Man sampai Man pengsan.
"Angkat dia!" arah Zack lagi.
Budi dan beberapa kuncu-kuncu geng penyamun itu mengusung tubuh Man.
"Semua ke tepi, jangan masuk campur!!" jerit Budi pada orang-orang di sekitar.
"Bawak dia ke markas. Pastikan dia pengsan sepanjang perjalanan," arah Zack pada Budi. Budi patuh dengan arahan itu.
"Baik pak."
Sebuah Vitara merah berhenti di depan mereka. Man ditolak masuk ke dalam.
"Sapo tu we?" tanya seorang wanita pada peniaga lelaki yang memukul Man tadi.
"Ore gelor sek ni geng parey panjey. Satu jah nok kenal sek ni. Tatu nago," jawabnya.
Hari ini...
Jaya Plantation Operation Center, Kuala Lumpur.
JAM di dinding sudah mencecah angka 12 tengah malam. Pejabat sunyi. Hanya ada dua pekerja yang masih belum pulang. Walaupun tidak kenal siapa yang menemaninya malam itu, Azman masih setia melontarkan senyuman mesra kepadanya. Anehnya temannya itu asyik memandangnya. Wajahnya tidak kelihatan kerana lampu pejabat hanya dipasang di bahagian tengah, membuatkan bahagian tempat duduk teman malamnya itu tampak malap.
YOU ARE READING
ESKAPIS - sebuah novel Deen Nasir
ActionBLACK Rose – sebuah organisasi pengganas yang memperalatkan sekumpulan saintis negara – FINaL – bagi mencipta senjata pembunuh paling sempurna – G-Mutation. Black Rose disahkan lumpuh setelah letupan di markaznya yang meragut nyawa ketuanya. Kemuncu...