BAB 4

12K 30 2
                                    


Habis barang-barang dalam biliknya diteraburkan di atas lantai. Sakit hati Raina dengan keputusan yang sudah diambil abahnya. Abahnya itu memang nekad mahu kahwinkan dia dengan Haji Meon sedangkan dia tidak bersetuju sama sekali. Malulah dia andai bersuamikan Haji Meon, duda tua kampung itu. Masih dia teringat kata-kata terakhir bapanya. Langsung tak boleh hilang di cuping telinganya ini.

"Kau setuju atau tidak, abah dah buat keputusan. Haji Meon tu aje satu-satunya calon yang elok untuk engkau. Dia banyak ilmu agama, alim orangnya. Sesuai sangat kalau nak mengajar kau jadi perempuan solehah. Abah ni rasa dah tak mampu nak didik engkau. Perangai tak semenggah, mengalahkan orang tak berbapak. Hujung minggu ni rombongan dia datang meminang. Kau jangan pulak nak lari, kalau abah dapat tahu kau cuba nak buat onar, abah ikat kau kat pokok kelapa."

Raina membentak lagi, kata-kata Borhan walaupun kedengaran seperti berseloroh namun dia sedar abahnya itu serius. Tinggal tiga hari lagi sebelum hari peminangan itu tiba, dan Raina tidak mampu mengelak lagi.

Aznor pula menghilangkan diri entah ke mana semenjak kali terakhir mereka bertemu di kebun pisang. Dia mengharapkan Aznor tapi Aznor pula tiada. Kalau dia lari, pasti abahnya serius akan menambatnya di pohon kelapa belakang rumah. Tambahan lagi abahnya itu pernah mengugut untuk menghalaunya dari rumah kalau sekali lagi dia membuat onar.

Raina kerahkan otaknya berfikir. Bagaimana dia hendak mengelak daripada dikahwinkan dengan Haji Meon.

"Huh! Tengok muka pun aku dah geli, inikan nak tidur sekatil!" rengusnya dalam marah. Membayangkan wajah tua kerepot Haji Meon, ditambah lagi dengan kulit hitam dan rambut yang sudah memutih.

Tiba-tiba Raina teringatkan sesuatu.

"Dayana, Dayana mesti boleh tolong aku."

Dia pantas berlari ke almari bajunya lalu menyelongkar laci yang bersusun lipatan pakaian dalamnya. Sejurus tangannya meraba-raba dasar laci, dia bertemu dengan apa yang dicari.

Raina tekan nombor-nombor pada telefon pintarnya yang sengaja disorokkan di situ. Dia tahu kalau abahnya tahu di mana dia menyimpan telefon, tentu sahaja telefon itu dirampas.

"Dayana, aku nak jumpa kau." Sergahnya sejurus talian bersambut dari hujung sana.

"Ish kau ni Rai... Terperanjat aku. Kenapa nak jumpa? Aku tak ada ni, kat rumah mentua aku."

"Bila kau balik?" Berderau terus darah Raina. Siapa pula lagi yang boleh tolong dia kalau Dayana tiada.

"Esok. Kenapa?"

"Petang ke pagi?" Lega sedikit hati Raina. Masih ada harapan.

"Malam."

"Kalau macam tu, malam aku datang rumah kau." Raina terus putuskan talian tanpa berbual panjang. Dia sudah ada agenda untuk hari pertunangan nanti dan Dayana pasti dapat membantu menjayakan agendanya itu.

"Jangan harap Haji Meon nak jadi laki aku," gumamnya sambil merenung telefon pintar.

Hari demi hari gelisah Raina hanya disimpan dalam hati. Dia lebih banyak menyorok di dalam biliknya. Tidak sabar menunggu malam esok.

"ADA hal apa kau nak jumpa aku?" Dayana hidang seteko air dan dua cawan yang baru dibawa dari dapur. Untunglah dia baru berpindah ke rumah sendiri dua bulan lalu, kalau masih tinggal bersama ibu bapanya, tentu sahaja ada bebelan susulan dengan kunjungan Raina. Dari dulu lagi ibu bapanya tidak suka dia berkawan dengan Raina.

"Hari tu masa kau check pregnancy macam mana?" soal Raina tidak bertangguh. Cawan yang dihidang pun, belum dituang air lagi.

"Aku test sendiri guna pregnancy test, bila dah confirm, aku pergi klinik pulak. Check dengan doktor sebab nak buat kad merah."

Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now