Dato' Arbain saban hari menunggu di sisi telefon. Dia berharap benar agar telefonnya berbunyi dan suara yang menyapanya adalah suara yang diharap-harapkan. Melalui perbualannya dengan Juwita tempoh hari, dia tahu Farel sedang dilanda masalah, dan dia lebih daripada sudi untuk membantu anaknya itu.
Ingin rasanya berbudi pada anak yang tidak pernah dia curahkan kasih. Namun panggilan itu tidak kunjung tiba. Dia tahu dirinya salah, dia tahu dirinya kejam namun dia masih muda semasa dia membuang Farel. Dia masih belum matang, meletakkan kesalahan pada Farel sedangkan semuanya takdir apabila isterinya dijemput Allah beberapa jam selepas melahirkan Farel. Dia kesal dengan apa yang berlaku dan berharap agar dia dapat memutar kembali waktu dan membetulkan apa yang terlanjur berlaku.
"Farel, maafkan ayahmu, nak..." Terlepas keluhan itu dari bibirnya.
Memang sudah terlalu lama dia membiarkan Farel di bawah jagaan orang lain. Dia memang rasa tidak wajar membuang Farel namun kekesalannya lewat tiba. Dia hanya berasa bersalah setelah 15 tahun Farel hidup bersama orang lain, itupun setelah dia sedar betapa sunyinya hidup bersendirian.
Dan apabila dia menjejak semula satu-satunya waris yang dia miliki, Farel sudah tidak mahu kembali kepadanya malah Farel juga enggan mengakuinya sebagai ayah. Dia berasa malu sendiri.
Bosan dengan hidup yang sepi dan sunyi tanpa kehadiran teman, dia bertemu dengan Riyanita dan jatuh cinta kepada Riyanita yang sangat mengambil berat akan dirinya. Walaupun sedar Riyanita terlalu muda untuknya namun hati yang dambakan kehadiran seseorang kembali memekar dengan luahan cinta Riyanita. Tambah lagi Riyanita pandai mengambil hatinya.
Untunglah Riyanita sudi menjadi isterinya. Sekurang-kurangnya ingatan terhadap Farel tidaklah terlalu mendera, namun selepas didiagnos dengan kanser hati tahap empat, dia berasa terpanggil untuk kembali menjejak Farel semula. Siapa lagi yang bakal mewarisi syarikatnya kalau bukan Farel.
Sementara itu di birai tangga, perlakuan Dato' Arbain menjadi perhatian Riyanita.
"Erm, apa lagilah orang tua tu fikir. Ni tak lain, mesti fikir anak dia tu. Tak puas agaknya jenguk kat kampung tu."
Riyanita tahu suaminya itu telah pulang ke kampung anak tirinya beberapa hari yang lalu.
"Apa yang patut aku buat ni?"
Perlahan saja monolog Riyanita. Runsing sangat dia. Setelah 10 tahun menjadi isteri Dato' Arbain, baru diberitahu dia ada saingan untuk syarikat milik suaminya.
Apa yang aku dapat nanti? Syarikat tu pun tak mungkin orang tua tu kasi aku dah, bisik hatinya.
Gelisah Riyanita hingga hati dan mulut menggumam sendirian sambil bibir mengetap geram dengan suaminya yang tak juga mati-mati lagi.
"Kan elok dia mampus cepat!" Riyanita terus berlalu daripada memerhati Dato' Arbain menuju ke ruang dapur. Sakit betul hatinya. Bukan Dato' Arbain saja yang punya cita-cita membangunkan syarikat lebih berjaya. Dia juga punya cita-cita, matlamat yang ingin dia capai sebelum umur menjangkau 40. Dia mahu kaya dan ada segalanya yang menyenangkan.
Ah, apapun yang berlaku, aku mesti dapat apa yang aku nak! Hati Riyanita mula berbisik jahat sambil mula bersarapan sendirian. Malas dia mahu panggil suaminya. Pandailah nanti Kak Mona sediakan untuk Dato' Arbain.
Selesai bersarapan Riyanita terus ke pejabat.
KECIL besar saja dia pandang wajah penyelia projek di hadapannya ini. Dia cuba bertenang mendengar aduan yang disampaikan kepadanya namun ingatan pada anak suaminya membuatkan hatinya membara. Kedua-dua perkara itu langsung tidak berkait namun dia gagal mengawal emosinya.
Penyelia projek itu hanya tertunduk ke bawah. Gerun melihat amarah Riyanita. Baru tadi dia maklumkan kepada pemangku bos besar ini tentang pekerja yang mogok tidak mahu bekerja pada hari Jumaat kerana Riyanita telah menukar polisi syarikat.
"Habis tu apa yang awak jawab pada diaorang?"
"Saya kata saya akan bincang perkara ni dengan puan dulu."
"Maksud awak?"
"Mungkin puan akan pertimbangkan untuk tukar semula kepada polisi asal," jawab penyelia itu. Pertukaran polisi sebenarnya bermula secara rasmi selepas Riyanita mengambil alih mengetuai Pegasus walaupun sebagai pemangku sahaja. Marahlah semua pekerja yang selama ini sudah selesa dengan peraturan lama.
"How dare you! I make the rules and I don't negotiate," balas Riyanita bongkak. Tidak suka apabila pekerja bawahan mempersoalkan keputusannya.
Terkejut lelaki itu disergah Riyanita.
"Kalau puan tak nak pertimbangkan, kita mungkin akan overdue. Pekerja mogok, kerja tak jalan, syarikat boleh kena surcharge sebab breach agreement. Lagi pun dalam akta buruh, mereka berhak, puan. Tak sempat solat Jumaat tapi solat Jumaat, jangan kita buat main."
Tidak solat Jumaat dengan sengaja, bukan saja berdosa tapi esok nak walikan anak perempuan nikah pun bermasalah jadinya. Bos aku ni mesti tak tahu hukum ni, sebab tu suka hati dia saja buat rules. Marah juga Roslan dalam hatinya.
Riyanita merengus. Ini yang paling dia tidak suka. Selama ini dia cukup selesa dengan kedudukannya. Walaupun hanya memangku jawatan suaminya namun dia rasa cukup berkuasa. Memberi arahan dan dipandang tinggi oleh stafnya, itu yang menjadi buruannya, dia mahu digelar iron lady. Bukan dipertikaikan begini.
"Awak keluar dulu." Riyanita buntu. Sejurus penyelia projek itu menghilang, dia tekan interkom dan meminta PA suaminya memanggil Emad. Dia perlukan buah fikiran Emad kerana Emad orang yang paling rapat dengan Dato' Arbain. Tidak sampai 10 minit, Emad sudah terpacul di muka pintu biliknya.
"Ada apa, puan?"
"Duduk dulu."
Emad akur dan duduk.
"Roslan datang jumpa I dan bagitahu pekerja projek kita di Kajang mogok."
"Mogok?" Emad menentang pandangan Riyanita. Tidak pernah lagi berlaku kes seperti itu sepanjang Dato' Arbain menguruskan syarikat.
Riyanita angguk.
"Kenapa mogok? Tentu ada sebabnya," komen Emad.
"Diaorang tak puas hati tentang polisi baru."
"Polisi baru yang mana?"
"I baru ubah jadual kerja mereka. I pendekkan waktu rehat supaya kita boleh siapkan projek tu lebih awal dari tarikh. Kalau dulu, diaorang rehat dua jam pada hari Jumaat tapi I pendekkan jadi satu jam. Tempoh dua jam tu lama sangat sedangkan kita boleh jimat masa di situ."
Emad terkejut.
"Puan ubah macam tu memanglah diaorang mogok, satu jam mana sempat nak makan dan solat Jumaat. Majoriti buruh kita semua warganegara Indonesia yang beragama Islam," respons Emad lagi.
Riyanita bercekak pinggang. Leceh betul mereka ni. Kenapa tak ambik sahaja pekerja Vietnam?
"Saya cadangkan puan tarik balik peraturan baru dan kekalkan peraturan lama. Susah kita kalau pekerja mogok, boleh bawa kerugian kalau projek delay."
"Kalau macam tu I ikut kata you." Riyanita tiada pilihan melainkan bersetuju dengan kata-kata Emad. Kalau bertegas dengan pendapatnya, dia juga yang akan dipersalahkan kalau syarikat kerugian.
Lebih malang lagi kalau Dato' Arbain sendiri hilang kepercayaan kepadanya. Bye bye Pegasus lah jawabnya.

ANDA SEDANG MEMBACA
Kerana Aku Isteri Bidaan
Ficción GeneralKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...