Matanya dikerdipkan berkali-kali. Benarkah apa yang dilihat matanya ini? Seorang anak muda berdiri di hadapan pintu rumahnya dengan membimbit beg penuh berisi.
"Masuk nak, masuk." Hatinya yang suka tidak dapat disembunyikan lagi. Tersenyum lebar dia mempersilakan tetamunya masuk.
Farel melangkah lambat-lambat ke dalam banglo mewah tiga tingkat itu. Dibuang oleh Juwita membuatkan dia memilih jalan itu. Dan dia rasakan itu yang terbaik untuk dia lakukan untuk diri sendiri. Dia berbuat baik tetapi orang masih mencemuh, itu yang membuatkan dia nekad mengambil peluang yang dibentangkan Dato' Arbain kepadanya. Untung dia masih menyimpan kad yang ditinggalkan Dato' Arbain.
"Duduklah."
Dato' Arbain sekali lagi memerhati keluar pintu, mencari kelibat lain kerana Juwita pernah memaklumkan bahawa Farel sudah berkahwin dengan seorang perempuan kampungnya juga. Melihat tiada sesiapa, Dato' Arbain kurang jelas apa yang berlaku. Tergerak hatinya mahu bertanya tetapi terkunci bibirnya.
Farel terus duduk walaupun matanya meliar ke seluruh rumah, memerhatikan kemewahan yang dimiliki oleh bapa kandungnya. Kemewahan yang tidak dikongsi bersamanya.
"Mona! Tolong sediakan air minuman." Dato' Arbain separuh melaung ke arah pembantu rumahnya yang kebetulan memerhati mereka dari birai tangga.
Dato' Arbain turut melabuhkan duduk sejurus menitip pesan. Dia terkejut sebenarnya dengan kunjungan itu. Tidak menjangka tujuan Farel meminta alamatnya semalam sebenarnya akan menemukan mereka pada hari ini.
"Farel sihat?" Berbasa-basi sahaja. Selama 28 tahun, ini kali pertama dia bertentang mata begitu dengan anak lelakinya. Sebelum ini, ketika Farel remaja dulu, langsung tidak bertentang mata. Farel lebih banyak menunduk ketika dia bercakap dan memujuk serta memberitahu bahawa dirinyalah bapa kandung Farel.
"Apa yang Dato' boleh offer pada saya?" Farel tidak mengendahkan soalan Dato' Arbain. Dia menentang pandangan bapa yang hakikatnya hanya pada nama. Tiada niat mahu beramah mesra terlebih dahulu kerana dia berasa sangat janggal sekali. Lantas terus dia menuju ke perkara pokok.
Terkejut seketika Dato' Arbain mendengarkan soalan itu. Sejujurnya bukan itu yang ingin didengar dari bibir zuriatnya. Ingin benar dia mendengar Farel menjawab soalannya serta bertanyakan khabarnya. Membayangkan Farel akan menyalaminya tatkala pertemuan pertama, namun semua itu tiada dan sebagai bapa dia rasa sedikit terkilan. Dia hendak memulakan, terasa egonya sebagai bapa menebal.
"Daddy tahu Rel ada masalah. Sebab tu Daddy nak offer pertolongan," jawab Dato' Arbain. Segala rasa terkilan diusir pergi. Layakkah dia terasa hati dengan Farel kerana selama ini dia yang bersalah? Wajarlah kalau Farel bereaksi begitu kepadanya.
Farel hanya mendengar dengan tekun. Dia renung wajah bapanya, memang ada iras-iras dengan wajahnya. Masih lagi terserlah ketampanan lelaki separuh abad itu. Kalau diikutkan hatinya, memang dia marah pada lelaki itu yang tegar membuangnya namun demi kelangsungan hidup dan masa depannya, dia harus mengetepikan dulu rasa marahnya. Bukan mudah dibuang oleh orang yang dia percaya. Baik oleh Dato' Arbain mahupun Juwita. Namun dia lebih rela memilih Dato' Arbain kerana dia tahu Dato' Arbain percaturan terbaiknya.
"Farel perlukan duit?"
"Saya nak pindah duduk dengan Dato'," balas Farel mendatar. Tanpa emosi. Dia datang bukan kerana duit semata-mata tetapi kerana dia mahukan lebih daripada sekadar duit. Pengalaman mengajarnya, berbuat baik selamanya tidak menjamin apa-apa. Daripada dia diam menerima takdir, lebih baik dia terkam peluang di hadapan mata. Selama ini dia cuba menjadi baik, cuba menerima pandangan hina orang terhadapnya tetapi nasibnya tidak berubah malah semakin buruk pula.
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
Fiksi UmumKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...