BAB 15

9.7K 20 0
                                    


"DADDY kenalkan, ini Emad, Head Department of Marketing," kata Dato' Arbain kepada Farel.

Farel mengangguk lalu menghulurkan tangannya hendak bersalaman dengan Emad.

"Farel," beritahunya sepatah.

"Rel boleh belajar dengan Emad semuanya tentang perjalanan syarikat. Dia akan bantu Rel untuk belajar selok belok dalam bisnes Pegasus, ajar Rel kuasai Bahasa Inggeris. Dia salah seorang orang kepercayaan daddy," lanjut Dato' Arbain lagi. Seketika kemudian dia terbatuk-batuk.

"Have a seat Dato', Encik Farel," pelawa Emad apabila Dato' Arbain nampak tidak bermaya. Dia sudah maklum akan penyakit Dato' Arbain, malah sebelum ini dia banyak membantu Riyanita dalam pengurusan syarikat apabila keadaan kesihatan Dato' Arbain tidak mengizinkan lelaki tua itu ke pejabat. Tambahan lagi dia rasa tidak sopan hendak berbual dalam keadaan berdiri begitu.

Dato' Arbain dan Farel duduk dan kemudian Emad menyusul.

"Emad, seperti yang saya beritahu hari tu, Farel anak tunggal saya. Dia akan ambil alih tempat saya lepas saya tiada nanti." .

Emad hanya mengangguk dan Farel lebih tekun mendengar.

"Mulai hari ni Rel akan bekerjasama dengan Emad, dan belajar apa saja yang perlu," sambung Dato' Arbain lagi.

Emad merupakan salah seorang staf kepercayaannya. Sudah lebih tiga tahun Emad berkhidmat untuknya. Anak lelaki kepada kenalannya itu memang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerjanya walaupun Emad sendiri merupakan anak orang berada.

Tidak betah untuk duduk-duduk sahaja di rumah tanpa melakukan kerja, katanya. Tambah pula ayah Emad menguruskan perniagaan bidang perhotelan yang dibantu anak sulung iaitu kakak Emad. Dia tidak beminat menceburi bidang perniagaan lagi, sebaliknya mahu menimba pengalaman bekerja dengan orang dahulu.

Emad juga bimbang diri sendiri terlalu manja dan tidak bersungguh-sungguh ketika bekerja dengan bapanya. Oleh hal yang demikian, Dato' Arbain berikan jawatan yang ada bersesuaian dengan kelulusannya dan atas dasar kepercayaannya kepada pemuda itu. Cuma di awal kemasukannya, Emad bertugas di Jabatan Sumber Manusia. Jadi, sekarang dia tahu serba-serbi tentang perjalanan Pegasus.

Farel yang masih kabur dengan apa yang Dato' Arbain ucapkan sekadar memerhati dan mengangguk mengiakan sahaja. Dia sebenarnya tekad belajar apa yang bakal dia hadapi di depannya. Dia tidak boleh lagi kembali ke kehidupan lama. Kini Pegasus Sdn Bhd milik bapa kandungnya itu merupakan kehidupannya. Mahu tak mahu dia terpaksa juga tahu selok belok pengurusan syarikat.

"Encik Farel, selamat datang ke syarikat," kata Emad apabila Farel sudah mempamerkan wajah bingung. Dia tahu tentang Farel yang baru sampai dari kampung, malah dia juga tahu pengetahuan Farel terhadap perniagaan besar tidak banyak. Emad sudah bersedia untuk mengajar apa sahaja yang perlu supaya Farel boleh menggantikan tempat bapanya sesudah Dato' Arbain meninggalkan perniagaannya nanti.

"Farel, duduk dulu ya... Ohok! Ohok!." Belum sempat melanjutkan kata-katanya, Dato Arbain terbatuk. Kali ini ditekan bahagian dadanya yang tiba-tiba terasa sakit.

"Dato', are you okay?" Emad cepat-cepat menerpa ke arah Dato' Arbain, lebih cepat daripada Farel yang masih kaku di tempat duduknya.

Farel yang memerhati terpana dengan tindakan spontan Emad. Ah... Kenapa dia tidak berasa apa-apa saat terlihat Dato' Arbain diserang sakit begitu? Keras benarkah hatinya? Atau dia sebenarnya tiada perasaan apa-apa terhadap bapa kandung sendiri? Betapa sukar menafsir hati sendiri walau sedar bapanya sudah diambang senja.

"I'm okay, continue with your discussion. I have to make a move now." Dato' Arbain menolak bantuan Emad, sebaliknya dia bangun dan berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu bilik.

Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now