PERLAHAN langkah Raina apabila dia melihat seorang lelaki berpakaian ringkas dengan hanya t-shirt dan jeans. Lelaki berwajah seakan-akan lelaki Arab itu cukup membuatkan jantungnya berdegup laju, bukan kerana kacaknya wajah itu tetapi dia bimbang sekiranya lelaki itu mengasarinya dan meminta dia melakukan yang bukan-bukan.
"Encik Emad," tegur Mama Deja seraya menghulurkan tangan kepada Emad. Lelaki yang merencana temu janji itu. Emad merupakan tetamu baru yang datang dan mencari teman untuk menemaninya setiap hujung minggu.
Mama Deja menarik tangan Raina yang masih memperlihatkan reaksi takut-takut. Kalau begini sikap Raina, sah-sahlah akan dibelasah kalau Emad mengadu pada Nizam nanti.
"Perkenalkan Raina Badrina." Mama Deja tolak Raina apabila Emad sudah berdiri hendak menghulurkan tangannya.
"Saya Emad," kata lelaki itu apabila Raina menyambut tangannya. Dapat dia rasakan sejuknya tangan Raina tatkala itu.
"Berbual la ya, mama keluar dulu." Mama Deja mohon diri untuk memberi peluang Emad berkenalan dengan Raina. Jauh di sudut hati dia berharap Raina boleh menyesuaikan diri dengan baik.
"Duduklah," pelawa Emad apabila Raina masih pegun berdiri. Dapat dirasakan Raina masih belum berpengalaman. Masih takut-takut hendak menentang wajahnya.
"Saya tak berniat apa-apa, cuma nakkan teman berhibur aje," kata Emad. Janggal juga hendak berhadapan dengan perempuan yang kaku begitu sedangkan dia ke situ untuk mencari hiburan melepaskan tekanan di tempat kerja. Memang pelik tapi memang dia tidak terfikir pun mahu menjadikan GRO lebih daripada seorang teman berbual sahaja.
Raina menurut, dia labuhkan duduknya di hadapan Emad menyebabkan Emad ketawa kecil.
"Orang baru?" soalnya. Dari cara Raina dia tahu Raina tidak berpengalaman sedangkan selama dia menjadi pengunjung setia di mana-mana kelab, GRO tidaklah malu-malu begitu.
Raina mengangguk. Emad pula terus bangun dan henyak punggungnya betul-betul di sebelah Raina. Serta-merta Raina berdiri.
Emad ketawa. Menarik GRO yang menemaninya kali ini. Namun dia masih menjaga jarak antara mereka. Bimbang pula Raina menjerit takut sedangkan dia datang bukannya hendak mencari teman tidur, cukup sekadar temannya itu sanggup menemannya menyanyi dan minum-minum sahaja. Tidak mudah juga untuk dia jatuh cinta walaupun Raina ini cantik dan manis sahaja. Kalau kegiatan tidak bermoralnya ini diketahui ayahnya, habislah dia.
"Saya bukan lelaki jahat, saya cuma cari teman yang boleh hilangkan rasa stress saya di tempat kerja. Jadi jangan takut-takut dengan saya. Saya takkan ajak awak tidur sekali," kata Emad lagi. Gila nak ajak tidur. Sekali perempuan tu ada penyakit, menyesal pun tak berguna lagi.
"Saya ni suka menyanyi, suka karaoke, suka-suka hiburkan hati tapi ayah saya kaki masjid. Ermm... Faham kan maksud saya. Tak bebas sikitlah. Kat rumah sendiri pun, saya susah nak menyanyi rock."
Mendengarkan kata-kata Emad itu, Raina perlahan-lahan duduk kembali. Matanya mencari mata Emad, tiba-tiba sahaja pesanan Zulie menerjah mindanya. Mungkin lelaki ini lelaki baik seperti yang dia mohon dalam doanya. Jika benar, maka dia harus pandai melayan supaya Emad suka padanya dan mahu mengikat kontrak dengannya nanti. Hanya dengan cara itu dia akan selamat daripada lelaki-lelaki rakus.
"Encik Emad maksudkannya?" soal Raina.
Kali ini Emad ketawa besar melihat polosnya soalan Raina, tidak faham kenapa perempuan yang nampak naif seperti Raina sanggup menjadi GRO. Barangkali kerana dipaksa ataupun terpaksa atas desakan hidup kerana dia banyak terbaca tentang perkara seperti itu.
"Saya ada nampak macam lelaki jahat ke?"
Raina tidak menjawab kerana dia sendiri tidak pasti. Bermuka baik tidak semestinya sikap pun baik, begitulah sebaliknya.
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...