Tanah yang sudah gondol itu diperhatikan dengan rasa sakit hati. Habis kesemua pokok pisangnya menyembah tanah. Ada yang seperti disodok babi, ada juga yang tanahnya seperti disodok dengan bajak. Angkara siapa ini? Seolah-olah cuba mensabotaj usaha murninya selama ini.
Farel sauk rambutnya sambil bercekak pinggang, memandang kosong kebun pisang yang hampir hancur. Tidak cukup dengan kehilangan Raina dan semua orang kampung menuduhnya penyebab Raina hilang. Pagi tadi dia sekali lagi diserang oleh Pak Wan kerana pisang yang dibekalkan semuanya busuk dan lembik, baru dia teringat ketika Pak Azli datang menyerangnya dahulu kerana kes yang sama. Kini kebun pisangnya pula jadi begitu. Kalau ikut perkiraannya, memang ada orang yang cuba khianat kepadanya, yang sakit hati dan melakukan itu semua.
"Kerja siapalah ni?" soalnya sendiri, tidak tahu hendak menuduh siapa kerana di kampung itu bukan dia seorang yang mengusahakan perniagaan pisang. Ada beberapa orang lagi. Rasa sakit hati, kecewa dan marah bergabung menjadi satu. Tidak mampu dia fikirkan siapa yang sanggup berbuat khianat begitu.
Penat dia usahakan semuanya selama ini, kini semuanya hancur sekelip mata. Hendak memulihkan semua itu semula bukannya mudah, perlukan modal dan masa yang lama. Sedangkan perniagaannya baru sahaja mahu meningkat. Baru hendak mengecap untung sudah ada yang dengki.
Farel yang kebuntuan mencari tempat untuk dia duduk dan menenangkan hati. Dia hanya merenung jauh perancangannya. Terasa kelam kerana kehabisan ikhtiar.
Duduk di salah satu batang pisang yang tumbang sambil merenung kosong ke depan. Di mana hendak di cari modal untuk memulakan semula usahanya itu? Simpanannya memanglah ada tetapi tidak cukup untuk menampung kos membaik pulih kebun yang hancur dan membeli anak pisang serta baja yang baru. Semasa memulakan perusahaan itu dahulu pun dia meminjam wang sebagai modal. Kini wang simpanannya cukup-cukup untuk dia membantu Juwita dan membayar semula pinjaman tersebut sahaja.
"Huh!" Farel menumbuk tanah di hadapannya.
"Ada bini, bini lari. Ada bisnes pulak, bisnes lingkup!" bentaknya dengan marah yang berapi-api. Diraup wajahnya yang penuh dengan jambang nipis. Menyabarkan hati yang diserang marah.
Buntu dengan fikirannya yang berkecamuk, Farel bangun menuju ke lori. Tiada guna terus-terusan melayan kecewa, tidak boleh membawa apa-apa faedah pun. Lebih baik dia tenangkan diri di rumah, lebih baik diceritakan semuanya pada Juwita, mana tahu ada buah fikiran emaknya yang boleh diguna pakai.
"Sabarlah Rel." Hanya itu yang keluar dari mulut Juwita apabila Farel menceritakan semuanya sejurus tiba di rumah.
"Macam mana nak sabar mak. Macam-macam yang datang pada Rel tiba-tiba. Rel pun dah buntu." Berdiri tegak Farel di sisi meja makan. Nak duduk pun dia serba tak kena.
"Duduk sini." Juwita arah Farel supaya duduk di sisinya. Sejak datang tadi, berpeluh-peluh tapi air yang dihidang langsung tidak disentuh.
Juwita tepuk paha Farel yang sudah duduk di sebelahnya. Simpati pada Farel, sudahlah isteri Farel hilang tanpa jejak, kini dengar pula ada yang cuba menganiaya anak lelakinya itu, dia tambah kasihan pada anak angkatnya itu.
"Sekarang baca bismillah, minum air ni." Juwita ambil air sirap dan disua kepada Farel.
Terharu Farel. Tekak yang tidak haus pun, jadi menggelodak untuk menuntum air yang dihulur emaknya. Betapa baik dan prihatin emak angkatnya.
"Lega dah?"
Farel senyum lihat emaknya setelah segelas air habis diminum.
"Rel, janganlah banyak fikir sekarang. Pergi mandi dan solat dulu. Asar pun dah nak habis ni. Tenangkan hati dan berdoa banyak-banyak. Lepas ni kita fikirkan," nasihat Juwita yang turut sama buntu.
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
Ficción GeneralKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...