"Betul you tak nak nyanyi?"
Lelaki itu hanya menggeleng kepala dalam senyum. Suka dia perhatikan gelagat Raina yang manja. Dia semakin mesra dengan Raina namun tidaklah sampai jatuh cinta. Dia masih impikan perempuan berpenampilan baik dan tidak dedah sana sini. Raina sebagai kawan, sangat sesuai untuk dia, tetapi tidak dijadikan isteri.
"Ala, I bosan la nyanyi sorang-sorang," rengek Raina manja. Sudah dua lagu berjaya dia habiskan namun tiada tanda-tanda temannya itu mahu datang menyertai. Sebaliknya hanya merenungnya dari sofa sahaja.
"Emad, kenapa dengan you malam ni? Tak best tahu biar I nyanyi sorang-sorang, tak feel." Raina raih lengan Emad yang masih merenungnya.
"You ada masalah eh?" soal Raina ingin tahu. Biasanya Emad tidak seperti itu. Lelaki itu rajin menyanyi dengannya setiap kali datang berkunjung ke situ. Jarang-jarang Emad dingin begitu kecuali jika ada masalah sahaja.
"Tak lah, I fikirkan kerja. Banyak yang belum settle."
"You janganlah macam ni. Kalau you runsing, I pun runsing tahu." Raina rebahkan kepalanya ke bahu Emad. Sudah setahun setengah dia berkhidmat di situ, Emadlah penyelamatnya. Semenjak dia terjebak dengan dunia GRO, Emad satu-satunya lelaki yang melanggannya. Kebetulan klien pertamanya ialah Emad. Dan atas nasihat Zulie dan dorongan Mama Deja, dia layan Emad sebaik mungkin sehingga berjaya memujuk Emad mengambilnya sebagai GRO simpanan.
Setiap bulan Emad membayar kepada Mama Deja untuk khidmatnya, namun Emad turut memberinya wang saku sebanyak RM3,000 sebulan, tidak tahu dari mana Emad peroleh banyak wang namun dari segi penampilan Emad, dia tahu Emad bukan orang sebarangan. Apa yang paling buat dia rasa lega, Emad tidak pernah mengajaknya sehingga ke bilik tidur.
Cukup sekadar menghabiskan masa di bilik peribadi mereka ataupun di bilik karaoke sahaja. Kadang-kadang dia pelik juga, kenapa Emad tidak seperti lelaki lain yang mahukan layanan lebih. Dan apabila dia ajukan persoalan itu, Emad hanya tersenyum dan mengatakan dia sekadar mencari hiburan untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja, tidak lebih daripada itu. Pelik tapi benar. Namun apabila difikir-fikirkan, tiada yang pelik pun.
Emad kucup rambut Raina lalu menarik Raina ke dalam dakapannya. Terasa bersalah kerana mengabaikan Raina sebentar tadi.
"Hujung minggu ni nak ikut I shopping?" Emad mengelus jemari Raina. Memujuk gayanya.
Raina yang mendengar sudah tersenyum lebar. Bagus juga sekali sekala dapat keluar dengan Emad, tidaklah berkurung sahaja dalam kawasan kelab itu.
"You nak bawak I?"
"Ya. Kalau tak, takkan la I ajak you." Emad cuit hidung mancung Raina.
Raina ketawa geli hati. Entah kenapa apabila bersama Emad, dia tidak segan silu hendak bermanja.
"Ini yang I suka fasal you tahu." Raina tenung manja wajah Emad. Lupa seketika hakikat yang dia pernah terikat dengan seseorang suatu waktu dahulu.
"Mana ada perempuan yang boleh tolak I." Seloroh Emad dalam senyum lebar. Senyum yang membuatkan hati Raina terasa mencair. Di mana hendak dicari lelaki sebaik Emad? Menyimpannya sebagai GRO tetapi sekalipun tidak pernah mengambil kesempatan terhadapnya. Kadang-kadang dia terfikir, mungkinkah Emad sudah punyai isteri kerana sedikitpun Emad tidak pernah tergoda dengan lagak manjanya. Andai lelaki lain, pasti dia sudah diangkut ke katil.
Kalau bukan sudah beristeri, mungkinkah Emad ini...datang kepadanya bukan tertekan kerana kerja tapi tertekan sebab sebenarnya dia lebih sukakan lelaki! Hanya jatuh cinta dengan lelaki dan dirinya sekadar penghibur sahaja. Mana tahukan... Dunia, macam-macam...

YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...