Dato' Arbain merenung gelap malam dari balkoni biliknya di tingkat dua. Jauh dia merenung masa silam dan teringatkan peristiwa yang pernah berlaku dalam hidupnya satu tika dahulu.
Masih diingat wajahnya yang sudah pasti merah menyala. Dia enggan memandang wajah kecil yang tika itu berada dalam dakapan orang gajinya. Baginya wajah kecil itu hanya menyemarakkan lagi rasa marahnya. Apatah lagi apabila mendengar tangisan si kecil itu yang sering bertali arus. Tambah baran hatinya.
"Kau bawak budak tu keluar sekarang. Dokumen kelahiran, pakaian dan cek tiga puluh ribu aku dah masukkan dalam beg ni. Aku tak nak ada kaitan dengan dia lagi. Terpulang pada kau nak bawak ke mana. Nak bagi orang atau kau sendiri yang nak ambik bela. Yang aku tahu, hari ni juga aku nak dia berhambus!" Kasar suara Dato' Arbain menyapa telinga gadis itu.
Tidak disangka seorang bapa sanggup meminggir anak sendiri sedemikian rupa. Apa salah anak kecil yang tidak berdosa ini? Usia sementah lima hari tetapi sudah dibuang keluarga sendiri!
"Dato', janganlah macam tu. Anak ni anak Dato'. Dia tak salah. Dato' kena terima hakikat ni. Jangan kerana apa yang berlaku, Dato' letakkan kesalahan pada dia. Apalah yang dia tahu."
Dato' Arbain mencerlung mata memandang orang gajinya. Bukan main lagi mulut gadis itu membalas kata-katanya. Selama ini hanya tunduk diam dengan arahannya. Hari ini pandai pula melawan kata.
"Kau jangan nak ajar aku!"
"Tapi Dato'..."
"Mulai hari ni, kau aku pecat. Kau dengan budak tu boleh berhambus sekali. Aku tak nak tengok muka korang berdua." Belum sempat gadis itu menghabiskan ayatnya, Dato' Arbain sudah memintas. Dia berasa tercabar dengan kata-kata gadis itu. Dia faham dengan maksud kata-kata orang gaji yang tak sedar diuntung itu. Konon cuba mahu menasihatnya, Nah! Sekarang terimalah padahnya.
"Dato'..." Gadis itu cuba lagi merayu namun Dato' Arbain sudah bertindak mencampak beg yang berisi dokumen dan pakaian milik bayi dalam dukungannya.
"Keluar sekarang!" Bergema jeritan Dato' Arbain sehingga menyebabkan bulu roma gadis itu tegak berdiri. Tanpa lanjutan kata, dia terus berjalan keluar dari banglo itu lalu membimbit beg sambil mendukung bayi yang masih lena tidur biarpun suara Dato' Arbain membingit bak halilintar sebentar tadi.
Wajah bayi kecil di dukungannya di tenung lama. Ada rasa kasihan yang bertamu. Simpati dia pada nasib bayi yang baru berusia lima hari itu. Bukan dia tidak faham punca amarah bekas majikannya itu. Dato' Arbain menyalahkan bayi comel itu atas kematian isterinya sejurus melahirkan. Malah sejak lahir, Dato' Arbain seakan-akan menidakkan hubungan yang wujud antara mereka. Dato' Arbain enggan mengendong malah lelaki itu juga langsung tidak mahu memandang wajah bayinya.
Dato' Arbain hanya memerhatikan gadis itu menapak meninggalkan pekarangan rumah yang sudah hampir setahun dia menabur baktinya. Dia tidak tahu ke mana kedua-duanya akan pergi dan dia langsung tidak peduli.
"Ling... You buat apa termenung kat luar ni? Sejuk la." Sapaan yang membuatkan Dato' Arbain tersentak dan lamunannya terus menghilang.
Dato' Arbain diam tak menjawab.
"Jom kita masuk dalam." Riyanita meraih lengan Dato' Arbain masuk ke kamar tidur mereka.
"Riya, I ada sesuatu nak bincangkan dengan you," kata Dato' Arbain sejurus Riyanita mendorongnya untuk berbaring di katil.
"Bincang apa?"
"Fasal syarikat."
"Kenapa dengan syarikat? Ada masalah?" Riyanita semakin pelik. Tadi nadanya serius, sekarang ada kaitan dengan syarikat pula. Tidak sedap hatinya apabila hal itu dibangkitkan di bilik tidur.

YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...