Lima tandan pisang dialihkan dari perut lori ke belakang gerai Mak Normi. Farel kemudiannya berjalan menuju ke tempat Mak Normi yang sedang menunggu.
"Berapa semuanya, Rel?" Mak Normi yang bertudung labuh berdiri di depan Farel. Semenjak dia dan suaminya berniaga pisang goreng, sedikit sebanyak dapatlah dia menambah pendapatan keluarganya.
Imam Long yang makan duit hasil pajakan tanahnya kepada tauke cina, hanya menerima RM1,000 sebulan. Jika diikutkan, tidak cukup untuk dia menyara isteri dan dua orang anaknya, tambah pula anak bongsunya masih perlukan duit di universiti. Solleha pula baru tamat belajar. Belum lagi dia perlu bayar kereta yang ada ini. Mujur juga dia ada mendapat elaun kerana menjadi imam di surau kampungnya. Walaupun tidak banyak, dapatlah meringankan beban yang dia tanggung.
"Mak Mi bayar seratus aje."
"Eh mana boleh macam tu Rel. Kau berniaga, tak boleh la lebih kurang. Hari tu pun kau tak ambik untung," tukas Mak Normi.
Farel hanya garu-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia sebenarnya segan mahu berkira harga dengan keluarga Imam Long, maklumlah dia berkenankan Solleha.
"Sol! Oh Sol..." panggil Mak Normi ke arah dalam rumah. Kebetulan gerainya dibina di hadapan rumah.
"Ya umi." Terpacul tubuh Solleha di muka pintu. Tatkala matanya bertentang dengan mata Farel, Solleha malu sendiri. Terus dia memandang uminya. Pesan ayahnya sentiasa dia ingat, pandangan harus dijaga sebaik-baiknya.
"Buatkan Abang Rel ni air batu sirap." Kesian dia lihat Farel yang sudah bermandi peluh. Dia kagum dengan kesungguhan Farel mengusahakan kebun pisang dan berniaga. Walaupun semua orang membenci keluarga anak muda itu namun dia nampak kejujuran dan keihklasan yang dipamerkan dari air muka Farel.
Melihatkan kesungguhan Farel buatkan dia turut berkenankan Farel. Alangkah bagus kalau menjadi menantunya. Sejarah silam anak muda itu langsung dilupa. Kalau kesal dan bertaubat, semua orang boleh berubah, hatta seorang pembunuh sekalipun. Malah golongan inilah yang harus diberikan sokongan, bukan ditambah dengan kebencian.
"Eh, Mak Mi... Tak payahlah. Saya nak cepat ni." Farel pandang sekilas wajah Solleha. Dia sebenarnya berasa segan hendak berlama-lama. Tambahan lagi apabila Solleha hendak menghidangkan air. Memanglah hatinya melonjak gembira andai dapat merenung wajah Solleha lama-lama, namun rasa tidak elok pula kalau dia terima pelawaan itu. Nanti apa kata orang kampung pula. Tambahan lagi, Solleha bukan seperti gadis-gadis lain.
"Kalau macam tu, ini duit kau." Mak Normi hulurkan duit RM150 kepada Farel.
"Jangan kau pulangkan lima puluh lagi tu, mak cik tak mahu." Mak Normi yang melihat Farel menarik semula not RM50.00, terus bersuara.
"Saya jual ya Mak Mi." Senyum Farel. Sekilas dia pandang Solleha.
"Ya, mak cik beli."
"Assalamualaikum."
Dalam hati sajalah Solleha menjawab salam. Perginya Farel dihantar dengan pandangan mata yang redup.
"BOB! Ohhh... Bob!" pekik Mat Noor dari halaman rumah Borhan.
Borhan yang ketika itu sedang makan tengah hari terhenti suapannya. Terkejut apabila namanya dipekik-pekik begitu.
"Ada apa tu bang?" Isterinya, Norita turut terperanjat.
"Awak pergi tengok," suruh Borhan kerana dia hendak meneruskan makan.
"Eh, eh, awak ni, kan nama awak yang dipanggil tu." Norita sudah menuju ke singki untuk membasuh tangan. Tidak lalu hendak terus menyuap nasi bila suara orang yang memanggil seperti ada kecemasan sahaja lagaknya.
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...