Hari demi hari berlalu dengan penuh debaran buat Raina. Terlalu cepat dirasakan masa yang berlalu. Pagi tadi dia dan Farel telah sah dinikahkan oleh tok kadi. Kendurinya tidak segah orang lain yang gilang gemilang bersanding. Abahnya yang malu dengan orang kampung sekadar membuat bacaan doa selamat sahaja.
Usai tetamu dijamu dan majlis tamat, dia ke rumah Farel pula untuk majlis di rumah pengantin lelaki. Abahnya juga seolah-olah tidak sabar supaya dia keluar dari rumahnya. Sejurus kenduri kecil mereka selesai, terus dihantar begnya yang berisi pakaian ke pintu rumah Farel tanpa sepatah kata, menghalau lagaknya.
Hatinya rasa mahu menjerit kerana perkara itu datang terlalu tiba-tiba. Belum sempat dia cerna semuanya, dia dan Farel sudah pun bergelar suami isteri. Perkara itu bukanlah ada dalam agendanya, dia tidak pernah membayangkan Farel yang akan menjadi suami.
Entah kenapa dia tidak mampu hendak menolak lagi saat majlis hampir tiba. Hendak kata dia dipaksa, jauh sekali kerana dia rela hati menerima Farel. Tetapi kenapa? Kenapa mudah benar hatinya menerima tanpa melawan lagi? Boleh sahaja kalau dia hendak melarikan diri bersama Aznor kerana Aznor sudah mempelawanya dua hari lalu. Tidaklah sampai hati Raina mahu melukakan hati ibu dan abahnya lagi.
Tapi, kenapa Farel juga begitu? Tidak menentang walau dia menabur fitnah pada lelaki itu. Hatinya tambah pelik. Sejak pertemuan di kebun pisang lagi, dia memikir tapi tiada jawapan.
"Apa lagi yang kau berangan kat sini, pergilah masuk bilik." Teguran kasar anak gadis Juwita itu mengejutkan Raina yang sedang termenung di ruang dapur. Baru dia perasan semua tetamu yang datang untuk makan tadi sudah beransur pulang kesemuanya.
Dan malam itu merupakan malam pertamanya bergelar pengantin baru. Raina yang berasa janggal berjalan menuju ke kamar tidur pengantin. Sungguh berasa asing di rumah itu kerana semua penghuni kelihatan sangat dingin dengannya. Dan Farel pula semenjak pertemuan terakhir mereka, tidak pernah bersuara apa-apa. Dan kelibat lelaki itu cuma dilihat seketika sahaja kerana Farel lebih menumpukan melayan tetamu yang datang makan.
Raina merebahkan tubuh ke tilam sejurus masuk ke bilik. Terasa tubuhnya penat walau tidak berbuat apa-apapun. Dijeling ke ruang bilik yang tidak besar mana. Sekadar muat menempatkan katil bersaiz queen dengan sebiji meja kerja yang ada komputer riba serta almari baju dua pintu. Dalam meneliti bilik itu, matanya terpandangkan segulung tali dan tape hitam di atas meja tadi.
Dia yang tidak berminat untuk meneroka ruang yang tidak menarik itu terus pejamkan matanya yang terasa mengantuk. Namun belum sempat dia melelapkan matanya, pintu bilik itu ditolak dari luar. Terpacul tubuh Farel. Raina yang serba salah bangkit semula dari perbaringan. Tidak tahu harus bereaksi bagaimana di hadapan Farel.
Dia fobia melihat Farel yang muncul dalam bilik secara tiba-tiba, teringat kali terakhir dia bertemu, lelaki itu ketawa seperti orang gila. Waraskah suaminya itu? Tambah lagi dengan jambang yang meliar tumbuh di muka. Langsung tidak kisah mahu membersihkan wajah pada hari perkahwinan sendiri. Entah-entah Farel tidak siuman. Masakan lelaki itu siuman kalau menerima sahaja tuduhannya tanpa menentang.
Farel yang memerhati berasa jelik dengan sikap Raina. Boleh pula Raina berehat-rehat dalam bilik sedangkan emak dan adiknya bertungkus lumus membasuh pinggan dan mengemas di dapur. Langsung tiada kesedaran sivik perempuan yang baru menjadi isterinya ini. Sekurang-kurangnya sebagai ahli baru dalam keluarga itu, Raina maniskan muka dan bermesra-mesra dengan keluarganya. Bukannya berlagak seperti puan besar dalam rumah.
Farel jeling pada tali dan juga tape hitam yang ditinggalkan atas meja petang tadi. Kalau Raina ada agenda dengan ceritanya sendiri, dia juga ada agenda bagaimana hendak mengajar gadis yang begitu berani mempermainkan dirinya dengan fitnah.
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...