BAB 6

10.8K 24 0
                                    


Farel berdiri di anjung beranda, bermenung jauh ke halaman rumahnya. Untung beranda rumahnya itu luas dan dihiasi kerusi kayu yang terukir cantik. Harus diakui, emaknya memang pandai dalam bab-bab menghias rumah. Majlis bacaan doa selamat itu tamat pada jam 10.20 tadi namun mata dia belum mengantuk walaupun sudah lebih dua jam majlis berakhir.

Keputusan yang diambil tadi nampak seperti tergesa-gesa namun itulah yang perlu untuk dia lakukan. Dia tidak mahu keluarganya sekali lagi dipalit dengan cerita buruk yang berpanjangan. Perkahwinan akan menamatkan cerita buruk itu hendaknya. Keengganannya, tentu akan mengecohkan satu kampung lagi dari keluarga Tumin dan Juwita. Cukuplah dengan sikap ayahnya yang dibenci orang kampung hingga kini. Dia tidak perlu lagi menambah benci orang kepada keluarga mereka.

"Rel..." Juwita mematah lamunan Farel. Miara juga ada bersama.

"Kenapa Rel mengaku kalau Rel tak buat?"

"Entahlah mak... Kita ada sebab untuk menolak tapi menerima itu, insya-Allah boleh meredakan sedikit kekecohan yang ada mak."

"Apa maksud Rel, nak?" Juwita dekatkan diri ke sisi Farel.

"Rel bekas penjenayah mak. Orang nak dengar cakap Rel atau cakap Raina? Tentu orang dengar cakap Raina, kan."

"Tapi Raina tu ligat tahu, bang. Ke sana sini dengan Aznor. Entah-entah anak Aznor," celah Miara.

Farel diam. Dia bukan tidak kenal dengan Raina, sudah beberapa kali dia ternampak Raina di kebun pisangnya berdua-duaan dengan Aznor. Dia tahu anak Borhan itu memang degil orangnya. Dari cara bertemu dengan Aznor pun, dia yakin Borhan pun tidak tahu.

"Rel, janganlah diteruskan pernikahan tu. Mak tak sanggup Rel terseksa nanti."

Farel ketawa sedikit. "Mak, Rel lelaki la... Bab-bab terseksa mana ada dalam diri Rel. Kalau nak kira terseksa, dah lama Rel merana, mak. Cuma, kita kena ingat satu perkara, mak... Ayah pernah buat jahat dengan ramai anak dara orang dan paling sadis pernah perkosa adik Pak cik Bob. Farel ni dibesarkan oleh ayah. Kalau Raina macam tu pun, orang kampung masih percayakan dia berbanding Rel."

Juwita mengesat air matanya. Dia mengangguk sahaja. Sedih juga diungkit perkara lalu tapi dia tidak menyalahkan Farel.

"Sudahlah mak, hari dah jauh malam... Mak pergilah tidur. Mak penat tu. Mak masuk tidur ya."

"Farel pun, jangan lama-lama sangat kena angin malam."

Farel dan Miara melihat sahaja Juwita berlalu dari beranda masuk ke dalam rumah.

"Abang tak nak tidur?" Miara pula mengganti Juwita berdiri di sisi Farel.

Farel menggeleng.

"Tak boleh tidur. Mia pun tak boleh tidur ke?" soal Farel sambil memandang wajah adiknya.

Miara turut menggeleng. Lekas-lekas dia larikan anak matanya yang ditikam Farel. Terasa kalah dengan panahan mata abangnya. Mana mungkin dia boleh tidur setelah peristiwa yang berlaku pada majlis kenduri tadi. Terlalu banyak yang berlegar dalam fikirannya malam itu. Sesak terasa dada!

"Kenapa abang setuju?" soal Miara yang inginkan kepastian. Dia hairan, kalau Farel tidak bertanggungjawab, mengapa perlu bersetuju berkahwin dengan Raina.

Farel tidak segera menjawab sebaliknya mendongak memandang langit.

"Mia dah dengar tadi, kan?"

Miara angguk. "Tapi bang... Kenapa paksa diri terima perempuan tu?" Miara masih tidak puas hati. Raina bukan gadis baik.

"Abang tak paksa diri. Abang rela hati terima anak Pak cik Bob. Lagi pun abang bukan lelaki baik. Kalau abang nafikan sekalipun, orang tetap percaya abang yang buat. Jadi apa pilihan yang abang ada? Lagi pun sesuai la tu, Raina dan abang bukan dari golongan yang baik."

Ada keluhan di hujung nadanya. Ralat dengan sikap orang kampung yang masih memandang serong akan dirinya walaupun dia telah berusaha memperbaiki diri.

Miara juih bibir. Dalam hati berbisik jelik. Dia yang jarang-jarang pulang ke kampung pun tahu sikap Raina. Melihat Farel mendiamkan diri, Miara termenung jauh ke hadapan. Dia ingin sekali mendengar Farel menyesal membuat keputusan itu namun Farel kelihatan tenang sahaja. Memang benar sejak dulu lagi keluarganya dipandang serong oleh masyarakat dek kerana sikap bapanya namun, dia tidak mahu mereka terkongkong dengan apa yang telah terjadi. Farel masih ada pilihan lain sebenarnya...

"Mia sayangkan abang," katanya tiba-tiba. Dipanggung kepala mencari wajah Farel.

Farel tersenyum membalas pandangan Miara.

"Abang pun sayangkan adik abang ni," balas Farel bersahaja. Semenjak Miara pulang ke rumah, itulah kali pertama mereka semesra itu. Seingatnya sudah terlalu lama mereka tidak meluahkan rasa sayang begitu seperti sewaktu kecil dahulu.

"Mia sayang dan cintakan abang." Akui Miara. Dia sudah tidak mampu hendak menyembunyikan rasa hatinya. Sejak dia tahu Farel bukan abang kandungnya, sejak itulah dia mula menyimpan hati kepada lelaki itu. Ya! Farel cuma anak angkat emaknya sahaja.

Farel yang mendengar sudah terkejut besar.

"Mia cakap apa ni?" Farel pura-pura tidak faham walhal jelas kata-kata Miara tadi mengetuk gegendang telinganya. Ditambah lagi dengan mata Miara yang bercahaya saat menuturkan ungkapan itu.

"Mia cintakan abang. Sejak dulu lagi, sejak Mia tahu abang bukan abang kandung Mia," luah Miara tanpa malu-malu lagi. Saat ini sahaja peluang untuk dia meluah perasaannya kepada Farel. Jika dia terus memendam rasa hatinya, sampai bila-bila pun Farel tak akan tahu sedangkan dia tidak mahu kehilangan Farel dan melepaskan Farel kepada perempuan lain.

"Mia adik abang, dan akan terus jadi adik abang." Farel cuba tersenyum walaupun dia sendiri berasa janggal. Mana mungkin dia membalas cinta itu. Selama ini Miara sudah dianggap sebagai ahli keluarganya. Tiada perasaan lain selain perasaan sayangkan Miara sebagai adik sahaja.

"Abang, Mia tak boleh hidup kalau abang kahwin dengan orang lain." Miara terus paut lengan sasa Farel. Mendesak gayanya. Dia ingin Farel tahu betapa dia sayangkan Farel melebihi sayang seorang adik. Dia sayangkan Farel sebagai kekasih.

"Mia, tolong jangan macam ni. Abang anggap Mia macam adik. Tak lebih dari tu." Farel yang tidak selesa dengan situasi itu terus merungkai tangan Miara. Pintu rumah yang terbuka dijeling sekejap. Bimbang Juwita belum tidur atau mungkin menjenguk di muka pintu.

"Bang... Tolonglah, Mia cintakan abang." Sudah dibuang malunya ke tepi demi cintanya kepada Farel. Miara cuba memeluk Farel namun Farel cepat mengelak.

"Mia, hentikan semua ni. Hubungan kita takkan lebih dari abang dan adik! Mia kena faham tu." Menggigit suara Farel dek mengawalnya agar tidak kuat meletus. Farel enggan melanjutkan perkara itu, terus masuk dan meninggalkan Miara sendirian.

Sudahlah dia terkejut dengan tuduhan Borhan tadi, kini dikejutkan pula dengan pengakuan berani mati Miara yang mengaku cintakan dia pula. Serabut kepalanya. Huh! Boleh gila kalau semua orang berebutkan dirinya!


Kerana Aku Isteri BidaanWhere stories live. Discover now