Tubuh Raina ditolak kasar sehingga dia terjatuh ke lantai, kemudian pintu bilik itu dihempas kasar. Tubuhnya terasa sakit-sakit.
"Kau tak apa-apa?" tanya perempuan yang turut berada di dalam bilik itu. Tiada tanda dia mahu membantu Raina bangun. Hanya memerhatikan Raina dari birai katil tempat dia sedang mencalit pewarna kuku ke jari kakinya.
Raina terasa ingin menangis dek rasa sakit-sakit di tubuhnya namun mindanya enggan menurut kata hati. Ditahan air mata dan rasa sakit. Dia bangun menuju katil bujangnya.
"Aku dah bagi amaran pada kau, tapi kau degil. Once in, never out tahu," kata perempuan itu lagi.
Raina tidak memberi respons. Dia berjalan menuju cermin solek dan memerhatikan wajahnya di cermin. Bibirnya berdarah di tepi, pipinya merah dan mungkin akan nampak lebam nanti.
Celaka Aznor! Hatinya menyumpah lagi, entah yang keberapa kali sejak Aznor menjualnya ke tauke rumah urut dua bulan lepas. Dia menyangka dengan melarikan diri daripada Farel, akan membawa dia ke pintu bahagia. Namun bahagia yang dicita, derita yang datang. Aznor memang lelaki durjana kerana sanggup menjualnya.
Raina kembali ke katilnya lalu menanggalkan pakaiannya. Langsung tidak kisah dirinya hampir bogel di hadapan teman sebiliknya.
"Kau nak lari ke mana? Kau ingat diaorang akan mudah-mudah bagi kau lepaskan diri?"
Raina hanya mendengar bebelan GRO yang menjadi temannya itu. GRO bernama Zulie itu sudah beberapa kali mengingatkannya. Dan dia juga sedar akan kebenaran kata-kata Zulie, memang tiada jalan keluar untuknya apabila tauke rumah urut menjualnya ke pemilik kelab malam pula. Sudah lebih seminggu dia dikurung di situ. Semua dokumen pengenalan dan barang-barang peribadinya pula dirampas sama. Raina duduk semula di birai katil dan mengambil minyak urut yang terdapat di sisi katil.
"Sini, aku tolong kau." Zulie merampas minyak urut yang Raina gunakan untuk menyapu ke bahagian badannya yang merah-merah.
Raina hanya memandang, walaupun nampak kasar namun dia tahu Zulie ikhlas mahu membantunya. Hendak menolak, botol minyak sudahpun bertukar tangan.
"Aku dah tiga tahun terpaksa buat kerja ni. Kau ingat aku suka. Layan macam-macam jantan. Kalau boleh lari, dah lama aku lari," bebelnya lagi.
Raina pejamkan matanya saat tangan Zulie terasa kasar menyentuh kulitnya. Ini bukan kali pertama dia cuba lari. Semasa bekerja di kedai urut dahulu pun dia pernah cuba namun tauke rumah urut itu telah menangkapkan dan mengugut akan merogolnya kalau sekali lagi dia cuba larikan diri.
Kini, setelah hampir dua minggu dikurung dalam bilik itu, dia cuba melarikan diri sekali lagi namun malang nasibnya apabila dia dibelasah pula oleh pengawal-pengawal kelab malam yang ditugaskan menjaga pintu. Sehandal-handal dia menyelinap, tidak terlepas juga. Memang malang nasibnya. Dia tidak menyangka akan dikasari sehingga begitu sekali.
"Dah." Zulie bangun sejurus menutup kembali minyak urut. Dia kemudiannya berlalu ke katilnya semula.
"Zulie, terima kasih." Raina ucapkan juga walaupun dia tak pandang muka Zulie. Dia tahu Zulie masih leka dengan pewarna kuku. Sedikit sebanyak, luahan Zulie membuatkan dia berasa kasihan kepada wanita itu. Seteruk manakah agaknya nasib Zulie berbanding dirinya?
"Jaga diri kau baik-baik, aku nak pergi kerja. Dan ingat, jangan melawan kata diaorang, ikut aje kalau kau nak hidup lama." Zulie mengingatkan sebelum menghilang ke luar bilik.
Raina termangu mendengarkan kata-kata Zulie. Bagaimana dengan nasibnya selepas ini? Apa yang akan terjadi kepadanya?
Tiba-tiba hati pantas teringatkan ibu bapanya di kampung. Apa agaknya yang dilakukan oleh ibu dan abah? Adakah semuanya sedar akan kehilangannya?
YOU ARE READING
Kerana Aku Isteri Bidaan
General FictionKarya keempat Tulip Ungu ini berkisarkan mengenai Raina yang terperangkap dalam dunia GRO gara-gara percaya dengan janji kekasih hati yang membawanya lari dari dunia kampung dan dunia Farel. Hari pertama bertugas, dia bertemu Emad dan mengikat kontr...