Raja Phillip dari Perancis tiba di medan tempur Acre pada April 1191, kira-kira satu tahun enam bulan selepas kepungan Acre dimulakan. Ketibaan Raja Phillip membawa bersama bantuan ketenteraan dan bekalan selain memberi semangat baru kepada bala tentera salib. Raja Phillip yang mempunyai kedudukan paling tinggi, terus menjadi pemimpin kepada bala tentera salib yang melakukan kepungan itu. Selain itu, baginda memberi sokongan kepada Conrad sebagai raja Jerusalem yang baharu.
Guy yang merasakan bahawa kedudukannya semakin tergugat berundur dari Acre dan berlayar ke Cyprus. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan Raja Richard.
Di Cyprus, Raja Richard sedang melaksanakan kempen peperangan untuk menakhluk pulau tersebut. Walaupun pemimpin Cyprus ialah seorang Kristian, baginda telah bermusuh dengan pemimpin tersebut dan mengambil keputusan untuk menakhluk pulau itu. Pulau tersebut ialah sebuah lokasi penting dan strategik untuk peperangan yang akan baginda laksanakan di Syria.Guy mengadap Richard dan memaklumkan kepada baginda akan situasinya. Richard yang merupakan penaung kepada keluarga Guy mengambil keputusan untuk memihak kepada Guy dalam konflik takhta tersebut. Setelah berjaya menakhluk Cyprus (dengan bantuan Guy), Richard pun berlayar ke Acre.
Belum tiba lagi Richard ke Acre, baginda telah menyebabkan kerugian besar kepada Salahuddin. Semasa perlayaran Richard ke Acre, armada baginda telah menengelamkan sebuah kapal Salahuddin yang memuatkan bekalan dari Mesir untuk pasukan pertahanan Acre.
Kemenangan ini dan penakhlukan Cyprus menyebabkan Richard disambut dengan meriah oleh bala tentera salib yang mengepung Acre. Mereka menyambut ketibaan Richard dengan berpesta sehingga ke malam.
Raja Philip meneruskan serangan ke atas tembok Acre. Baginda meminta Richard untuk turut serta dalam gempuran. Tetapi Richard pula memberi alasan bahawa belum semua bala tenteranya sudah tiba ke Acre lalu enggan menyertai serangan-serangan Philip. Hubungan antara dua raja Eropah ini menjadi semakin teruk.
Pada masa yang sama diplomasi antara Richard dan Salahuddin bermula walaupun Salahuddin sendiri enggan bertemu dengan Raja England itu. Menurut Salahuddin, dua orang raja yang berperang tidak patut bertemu selagi kata sepakat tidak dicapai. Sebaliknya, Salahuddin menghantar wakil untuk menjadi perantara antara mereka.
Kedua-dua pihak menghantar rombongan diplomasi masing-masing yang sebenarnya juga bertujuan untuk memerhatikan perkhemahan serta mengukur kekuatan masing.
Semasa proses diplomasi ini berlaku, bala tentera Richard pun tiba kesemuanya dan baginda mula menyertai gasakan terhadap tembok Acre. Mesin kepungan baginda bergandingan dengan mesin kepungan Philip untuk memusnahkan pertahanan Acre sedikit demi sedikit.Pada 11 Julai 1191, gabungan serangan darat daripada bala tentera Richard dan armada tentera salib dari Pisa berjaya membuat pertahanan Acre berputus asa.
Keesokan harinya, pemimpin pasukan pertahanan Damaskus, al-Mashtub menyerah diri tanpa syarat.Pasukan pertahanan Acre menyerahkan segala harta yang terkandung di dalam kota itu termasuk kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan dan senjata artileri kepada tentera salib. Tentera salib mengemukakan syarat kepada Salahuddin bahawa penduduk Acre termasuk wanita dan kanak-kanak yang menjadi tawanan akan dibebaskan jika tentera Islam membayar tebusan sebanyak 200,000 dinar, mengembalikan Salib Sebenar dan membebaskan 1,500 orang tahanan tentera salib termasuk 200 individu ternama yang telah ditawan selepas pertempuran Hattin dan kejatuhan Jerusalem.
Salahuddin nyata kecewa dengan keputusan al-Mashtub untuk menyerahkan kota itu. Walaubagaimanapun, baginda faham bahawa Al-Mashtub tidak mahu lebih banyak nyawa pasukan pertahanan Acre terkorban.
Walaupun baginda sebenarnya tidak bersetuju dengan syarat berat sebelah yang dikenakan musuh untuk pembebasan pasukan pertahanan Acre yang masih hidup, baginda akur. Baginda telah bersedia untuk mengeluarkan kos dari segi wang dan tebusan. Tetapi baginda khuatir bahawa Richard dan bala tenteranya akan memungkiri janji mereka.
Oleh itu baginda mula mengemukakan tawaran demi tawaran kepada Richard serta menangguhkan pembayaran. Tindakan ini menyebabkan Richard berang dan melakukan satu tindakan yang menyebabkan Richard dikenali seluruh Syria.Pada tengahari 20 Ogos 1191, bala tentera salib membawa keluar tawanan-tawanan Acre ke sebuah dataran antara al-Ayyadiya dan Tell Kaisan. Di sana, tentera salib membunuh tawanan-tawanan tersebut beramai-ramai dengan kejam.
Bala tentera Islam yang terkejut dengan pembunuhan beramai-ramai tersebut melakukan serangan ke dataran tersebut dengan harapan boleh menyelamatkan rakan-rakan mereka.
Walaubagaimanapun mereka sudah terlambat. Apabila mereka sampai di sana, pembunuhan beramai-ramai itu sudah tamat. Sebaliknya bala tentera salib telah menanti dan pertempuran pun berlaku. Hanya apabila malam menjelma barulah pertempuran itu tamat. Jumlah mereka yang terbunuh dan tercedera dalam pertempuran itu mencapai jumlah ratusan di kedua-dua pihak.Pada keesokan harinya, pihak tentera Islam pergi ke dataran al-Ayadiyya dan mendapati bahawa seramai 2600 orang tawanan yang terdiri daripada pasukan pertahanan Acre telah syahid. Hanya beberapa orang pembesar dan mereka yang cukup sihat untuk berkerja tidak dibunuh.
YOU ARE READING
Richard X Salahuddin: Pertembungan Dua Gergasi di Era Peperangan
Non-FictionRichard X Salahuddin ialah sebuah siri non-fiksyen menceritakan pertembungan dua tokoh semasa Perang Salib Ketiga. InsyaAllah akan dikemaskini dua kali seminggu, pada hari Rabu dan Jumaat.