Dari Arsuf, Richard mendirikan markas di Jaffa. Kota persisir yang terletak puluhan batu dari Jerusalem. Selepas kemenangan hebat sebelum ini (Pertempuran Arsuf), Richard mula melakukan percubaan untuk mengepung Jerusalem. Setelah tujuh minggu bertapak di Jaffa, bala tentera Richard mara ke Jerusalem.
Walaubagaimanapun, baginda mendapati ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh Salahuddin untuk menyukarkan serangan seperti itu untuk dilakukan.Salahuddin mengambil inisiatif dengan memusnahkan mana-mana kubu yang boleh dikuasai oleh bala tentera Richard sepanjang jalan dari Jaffa ke Jerusalem. Kubu-kubu ini penting buat Richard untuk menjadi checkpoint bekalan untuk bala tentera Richard. Oleh itu kemusnahannya akan menyukarkan kemaraan Richard ke Jerusalem.
Inilah yang menjadi antara masalah besar kepada Richard. Jalur bekalan dari persisir ke Jerusalem amat penting untuk kelangsungan bala tenteranya untuk melakukan kepungan yang efektif terhadap Jerusalem. Oleh itu, Richard terpaksa membina kembali kubu-kubu yang telah dimusnahkan Salahuddin di sepanjang jalan dan ini mengambil masa yang bukan sekejap.
Salahuddin juga mengarahkan supayan serangan-serangan yang tidak putus-putus dilakukan terhadap bala tentera Richard. Walaubagaimanapun, Richard dan bala tenteranya berjaya mengalahkan kumpulan-kumpulan yang dihantar oleh Salahuddin ini.Tetapi faktor-faktor ini menyebabkan Richard sendiri ragu-ragu dengan keputusannya untuk mara ke Jerusalem. Baginda mula mendapatkan nasihat dari penduduk-penduduk tempatan seperti kumpulan Kesatria Templar dan mereka menasihatkan supaya untuk melupakan hasrat mengepung Jerusalem. Penguasaan terhadap Jerusalem akan diikuti dengan tugas mempertahankan kota itu. Itu bukan mudah dengan bala tentera Salahuddin yang berada di kawasan-kawasan sekitar kota itu.
Richard akur dan berundur walaupun diprotes oleh pemimpin-pemimpin bala tentera Salib yang lain. Bala tentera Salib itu mula kehilangan semangat. Mereka hanya berada 12 batu dari Jerusalem dan terpaksa melupakan niat mereka untuk menjejakkan kaki ke Jerusalem.
Selepas pengunduran itu, Richard mengarahkan bala tenteranya untuk membina kembali kubu Ascalon. Ascalon ialah sebuah kubu yang telah dimusnahkan oleh Salahuddin semasa Richard berada di Jaffa sebelum ini. Salahuddin mengambil keputusan memusnahkan Ascalon untuk menghalang Richard menggunakan kubu itu sebagai markasnya.
Richard tahu betapa strategiknya kubu tersebut. Dari sana, baginda boleh melancarkan serangan ke Mesir, wilayah milik Salahuddin. Baginda sanggup menggunakan wangnya sendiri untuk menampung pembinaan semula pertahanan kubu tersebut. Walaupun mengalami masalah moral pada masa yang sama, pembinaan kubu itu berlangsung baik.
Pada ketika yang sama Salahuddin pun membina pertahanan Jerusalem. Benteng-benteng baharu dibina dan yang lama dibaiki. Selain itu, baginda juga meletakkan pasukan-pasukan tenteranya di kawasan-kawasan strategik berhampiran Jerusalem. Pada masa yang sama, kedudukan Richar di Ascalon masih diserang secara berterusan. Walaupun Richard telah berundur, baginda tahu bala tentera Salib tidak akan berhenti setakat itu untuk menakhluk kembali Jerusalem.
Tekaan baginda tepat apabila Richard sekali lagi melakukan kemaraan ke Jerusalem. Kali ini kemaraan mereka lebih pantas daripada sebelum ini. Walaubagaimanapun, Richard dan bala tenteranya sekali lagi terhenti belasan batu dari Jerusalem sebelum mara lebih dekat ke Jerusalem.
Salahuddin bertindak mengarahkan serangan-serangan kecil dilakukan terhadap pergerakan ini. Walabagaimanapun seperti sebelum ini, serangan-serangan ini berjaya ditumpaskan. Pada satu hari, sebuah karavan yang membawa bekalan untuk pasukan pertahanan Jerusalem telah berjaya dirompak oleh tentera-tentera Richard dan membekalkan kepada raja Inggeris itu dengan banyak kelengkapan yang memberi kelebihan kepadanya.
Salahuddin sendiri khuatir dengan perkembangan ini sehinggakan terpaksa keluar dari Jerusalem untuk mengelakkan terperangkap dalam kepungan nanti. Penasihat-penasihat baginda meminta baginda untuk keluar dari kota itu kerana tidak mahu situasi di Acre berulang.
Tetapi sebelum kepungan terhadap Jerusalem dilancarkan, Richard sendiri telah menggagalkannya. Baginda sekali lagi ragu-ragu dengan keputusan untuk mengepung kota tersebut. Seperti sebelum ini, baginda berpendapat jika kepungan terhadap kota itu sukar, mengekalkan penguasaan terhadap kota itu adalah lebih mencabar.Sekali lagi Richard telah membuat keputusan yang sukar dan tidak popular di kalangan bala tenteranya dan mengarahkan bala tenteranya untuk berundur. Bala tentera baginda kembali ke Ascalaon dan itulah kali terakhir Richard cuba untuk mara ke Jerusalem.
YOU ARE READING
Richard X Salahuddin: Pertembungan Dua Gergasi di Era Peperangan
Kurgu OlmayanRichard X Salahuddin ialah sebuah siri non-fiksyen menceritakan pertembungan dua tokoh semasa Perang Salib Ketiga. InsyaAllah akan dikemaskini dua kali seminggu, pada hari Rabu dan Jumaat.