Semasa bala tentera Salib berada di Antioch, mereka mengalami masalah kekurangan makanan. Oleh itu, sebahagian daripada mereka pun keluar dari kota untuk mencari makanan di kawasan sekitar.
Mereka tiba di sebuah pekan yang dipanggil Marrat. Penghuni pekan tersebut tidak terus menyerah kalah tetapi mempertahankan diri mereka. Ini menyebabkan bala tentera Salib tersebut terpaksa mengepung pekan tersebut.
Walaubagaimanapun, penduduk pekan tersebut bukan lawan kepada tentera-tentera Salib yang kelaparan itu. Bala tentera Salib tersebut akhirnya berjaya menembusi pertahanan pekan dan mengalahkan mereka.Kemudian, tentera-tentera Salib yang kelaparan dan kemarahan ini melakukan sesuatu yang di luar jangkaan pada masa tersebut. Akibat terlalu marah dengan apa yang penduduk-penduduk pekan itu telah lakukan, mereka telah membunuh penduduk-penduduk tersebut dan memakan daging mereka.
Kejadian ini menggemparkan seluruh Syria. Kengerian atas apa yang berlaku menyebabkan bala tentera Salib menjadi sesuatu digeruni. Ini menyebabkan penempatan-penempatan yang berada di sepanjang jalan ke Jerusalem awal-awal lagi menyerah kalah kepada bala tentera Salib serta memberi bantuan.
Semua ini dilakukan unuk mengelak nasib yang diterima Marrat menimpa mereka.Selepas Antioch, bala tentera Salib mengalih pandangan mereka ke selatan, ke arah Jerusalem.
Bala tentera Salib sampai di Jerusalem hampir setahun selepas mereka menguasai Antioch. Sepanjang masa tersebut, wakil Khalifah Fatimiyah yang bertanggungjawap ke atas Jerusalem bernama Iftikhar al-Dawla telah melakukan persediaan untuk kepungan dari mereka.
Dia telah mengukuhkan pertahanan di dalam tembok dan di luar tembok Jerusalem. Selain itu dia menghalau keluar penduduk beragama Kristian yang berpotensi untuk membelot. Bekalan makanan juga telah disediakan dan disimpan untuk menghadapi kepungan yang panjang. Tetapi dia sendiri masih berharap kepada bantuan khalifah dan Wazir di Mesir.
Bala tentera Salib memulakan serangan dengan menggemput tembok Jerusalem. Selain itu mereka juga mendapat bantuan ketenteraan dan bekalan datang dari kapal yang berasal dari Genoa. Dengan bekalan ini, bala tentera Salib mula membina manjanik dan menara kepungan.
Mereka meneruskan kepungan selama berminggu lamanya dan mula menggerakkan menara kepungan di utara dan selatan kota. Setelah berminggu-minggu mengepung kota itu, akhirnya Godfrey dari Boullion dan menara kepungannya berjaya menembusi tembok di sebelah utara.
Apabila tembok Jerusalem berjaya ditembusi, bala tentera salib mula membunuh penduduk kota tanpa memperdulikan agama dan bangsa mereka. Kanak-kanak dan wanita turut dibunuh walaupun mereka sedang berlindung di masjid, gereja dan synonogue. Setelah tiga tahun merantau dan mengalami kesengsaraan untuk mendapatkan Jerusalem, tentera-tentera ini mahu melepaskan geram mereka dengan merampas harta dan melakukan pembunuhan.
Pembunuhan beramai-ramai itu berlaku selama dua hari sebelum dihentikan. Godfrey yang telah berjasa atas kemenangan tentera Salib dilantik menjadi "raja" Kerajaan Salib Jerusalem yang pertama.
Usaha wazir Mesir iaitu al-Afdal untuk mendapatkan kembali kota itu dua puluh hari kemudian pula gagal untuk membuahkan hasil.
Kota Tripoli juga jatuh ke tangan tentera Salib tidak lama kemudian. Ini bermakna terdapat empat buah negeri Salib terhasil daripada misi bala tentera Salib tersebut. Mereka bukan sahaja berjaya menakhluk Jerusalem, bahkan berjaya mengawal kota-kota penting di persisir Syria dan menjadikan kota-kota itu pusat kerajaan mereka.
YOU ARE READING
Richard X Salahuddin: Pertembungan Dua Gergasi di Era Peperangan
No FicciónRichard X Salahuddin ialah sebuah siri non-fiksyen menceritakan pertembungan dua tokoh semasa Perang Salib Ketiga. InsyaAllah akan dikemaskini dua kali seminggu, pada hari Rabu dan Jumaat.