Richard X Salahuddin ialah sebuah siri non-fiksyen menceritakan pertembungan dua tokoh semasa Perang Salib Ketiga. InsyaAllah akan dikemaskini dua kali seminggu, pada hari Rabu dan Jumaat.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Perang Salib Pertama bermula akibat kebimbangan Maharaja Alexius I Comnenus dari Kerajaan Byzantine (Rom Timur). Baginda mewarisi sebuah negara yang diancam oleh sebuah kerajaan Islam yang kuat di sebelah timur sempadannya iaitu Kerajaan Seljuk Rum yang dipimpin oleh Kilij Aslan.
Berpuluh-puluh tahun sebelum itu, Rom Timur pernah kalah besar dalam satu pertempurandengan sebuah lagi kerajaan Islam iaitu Empayar Turki Seljuk. Oleh itu Alexius mahukan bantuan ketenteraan untuk mengatasi ancaman satu lagi kerajaan Islam di sempadannya. Baginda terpaksa meminta bantuan ketenteraan daripada seteru mazhabnya iaitu Paus Katolik di Rom.
Paus Urban II di Rom mengambil peluang yang dihidangkan kepadanya oleh Alexius untuk mengumumkan sebuah perang suci iaitu Perang Salib. Beliau mahukan supaya kerabat-kerabat diraja dan bangsawan-bangsawan di Eropah untuk menumpukan kekuatan dan sikap agresif mereka kepada satu tujuan yang sama. Bukan untuk membunuh sesama mereka tetapi untuk melindungi umat Kristian di timur dengan memerangi umat Islam serta membebaskan Jerusalem.
Untuk menggalakkan penyertaan, Urban II menawarkan pengampunan dan banyak manfaat lain kepada mereka yang turut serta. Pengumuman perang yang dilakukan di hadapan sebuah gereja di Clermont ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Walaubagaimanapun, tidak ada mereka daripada golongan Raja yang menyahut seruan tersebut. Sebaliknya golongan bangsawan dan rakyat biasa yang paling ramai menyertai kempen ketenteraan ini.
Sebelum bala tentera yang dipimpin oleh bangsawan-bangsawan Eropah ini bersedia untuk ke timur sebuah bala tentera yang dipimpin oleh Peter The Hermit telah terlebih dahulu bergerak.
Dengan kemahiran Peter berkhutbah, dia berjaya mempengaruhi 40,000 orang untuk menyertainya berperang bala tenteranya ke timur. Selain orang miskin dan rakyat biasa yang ramai, bala tentera ini juga disertai sedikit golongan kesatria dan tentera.
Bala tentera yang tidak berdisiplin ini mara ke destinasi mereka di timur dengan membawa banyak masalah seperti pembunuhan dan penjarahan di sepanjang jalan. Walaubagaimanapun apabila mereka sampai di jajahan Kerajaan Seljuk Rum di timur, Kilij Aslan dengan mudahnya memusnahkan bala tentera ini. Bala Perang Salib Rakyat ini pun berakhir di situ.
Walaubagaimanapun tanpa Kilij Aslan sedari bala tentera Perang Salib yang sebenar sedang dalam perjalanan ke timur. Bala tentera ini diketuai oleh beberapa bangsawan Eropah seperti Bohemond dari Taranto, Raymond dari Tolouse, Baldwin dari Boulogne dan saudaranya, Godfrey dari Bouillon.
Pada ketika Kilij Aslan sibuk berperang dengan satu lagi kerajaan Islam berhampiran iaitu Danismend, bala tentera Salib mengepung ibu kota Kerajaan Seljuk Rom iaitu Nicea. Apabila Kilij Aslan sedar betapa seriusnya ancaman dari bala tentera baharu ini dan kembali ke Nicea, semuanya sudah terlambat. Kilij Aslan terpaksa mengarahkan pasukan pertahanan Nicea untuk menyerah kalah.
Ia adalah tamparan yang hebat buat Kilij Aslan tetapi baginda mendapat peluang untuk menebus kekalahan itu di Dorylaeum. Dengan bantuan musuhnya sebelum ini iaitu Danismend, Kilij Aslan menyerang bala tentera Salib yang dipimpin oleh Bohemond.
Namun begitu, bala tentera Salib tersebut berjaya bertahan walaupun dikelilingi musuh. Akhirnya mereka berjaya memaksa Kilij Aslan untuk mengundurkan bala tenteranya. Ini adalah kekalahan yang memalukan buat Kilij Aslan dan merupakan kali terakhir baginda berhadapan dengan bala tentera Salib. Selepas ini, baginda tidak lagi mengancam perjalanan bala tentera itu dan bala tentera Salib pun mara lebih dalam ke timur.