Richard adalah anak lelaki ketiga kepada Raja England iaitu Henry II dan permaisurinya, Eleanor. Kedua-dua ibu dan bapa Richard adalah personaliti yang tidak kurang warna warninya dalam sejarah England. Eleanor sendiri adalah bekas isteri kepada Raja Perancis ketika itu iaitu Louis VII dan pernah menyertai Perang Salib Kedua bersama baginda.
Eleanor bercerai dan terus mengahwini Henry II sebelum baginda ditabalkan menjadi Raja England. Ini membuat hubungan antara England dan Perancis yang sudah sedia tegang semakin panas.
Henry II pula merupakan seorang raja yang sangat aktif membesarkan jajahanya. Baginda jarang bersama keluarganya, sebaliknya ke serata England dan Perancis untuk mentadbir jajahannya juga. Perlu diketahui bahawa pada masa ini terdapat jajahan England yang sangat luas di tanah besar berhampiran dengan Perancis. Bahkan tempat asal usul kerabat diraja England iaitu Normandy, merupakan wilayah yang dinaungi oleh Raja Perancis. Ini menyebabkan Henry II juga merupakan vasal kepada Raja Perancis.
Henry II bukan sahaja terpaksa berhadapan ancaman Perancis, tetapi Henry II juga mengalami tentangan daripada anak-anaknya sendiri yang semakin dewasa. Putera sulungnya iaitu Young Henry memberontak kerana tidak diberikan kuasa yang lebih banyak untuk memerintah dan mendapatkan pendapatan selaku raja bersama England (Young Henry telah ditabalkan menjadi raja bersama England oleh ayahnya). Turut serta di pihak baginda ialah Richard dan adiknya George. Raja Louis VII dari Perancis turut menyokong Young Henry. Perang saudara antara bapa dan anak-anaknya pun berlaku.
Walaubagaimanapun, Raja Henry II mempunyai pengalaman yang lebih banyak tentang strategi peperangan daripada anak-anaknya. Dengan mudah, baginda menghancurkan pemberontakan itu dan menghukum anak-anaknya dengan mengurangkan pendapatan dan wilayah pemerintahan milik mereka. Permaisuri Eleanor juga ditahan dan dikurung kerana menyokong pemberontakan itu dengan menyebelahi anak-anaknya.
Richard kemudian menjalankan tugas untuk memusnahkan pertahanan-pertahanan yang dibina oleh bangsawan-bangsawan yang telah menyokong pemberontakan tempoh hari. Selama beberapa tahun, Richard melakukan tugas ini dengan cemerlang dan mula digeruni. Pada masa inilah baginda mula mendapat gelaran Richard The Lionhearted oleh penduduk tempatan.
Beberapa tahun selepas itu, Young Henry sekali lagi mengangkat senjata. Walaubagaimanapun, penentangannya kali ini adalah terhadap Richard. Alasan Young Henry untuk memerangi Richard adalah kerana adiknya itu telah membina kubu di wilayah miliknya. Sekali lagi perang saudara berlaku di kalangan keluarga di raja England.
Henry II yang sebenarnya tidak mahu memihak kepada sesiapa terpaksa memihak kepada Richard apabila baginda sendiri diserang secara tidak sengaja oleh bala tentera Young Henry.
Tetapi kali ini pemberontakan Young Henry tidak bertahan lama apabila baginda sendiri meninggal akibat penyakit disentri. Ini menyebabkan Richard menjadi waris takhta England yang seterusnya.
Perseteruan antara England dan Perancis berterusan. Raja Philip II yang menggantikan Raja Louis VII sebagai Raja Perancis mula mempertikaikan status jajahan England berada di wilayah Perancis. Selain itu Philip II juga tidak berpuas hati dengan perjanjian-perjanjian lain yang dimeterai antara mereka sebelum ini yang masih tidak ditunaikan oleh England.
Apabila England tidak memberi jawapan dan penyelesaian yang memuaskan terhadap isu-isu tersebut, Philip II pun memerangi England. Pertempuran demi pertempuran berlaku di jajahan dan wilayah Perancis dan England.
Apabila berita Jerusalem kembali kepada orang Islam sampai kepada kedua-dua musuh ini, mereka menghentikan sengketa seketika untuk mengisytiharkan bahawa mereka akan menyertai perang salib yang akan datang.
Selepas itu mereka kembali berperang antara satu sama lain.
Persengkataan yang tidak henti-henti ini menyebabkan pembesar-pembesar di kedua-dua pihak meminta pemimpin mereka untuk berdamai. Kedua-dua raja itu akur dan memeterai perjanjian damai. Tetapi Richard tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut kerana ada antara syarat dalam perjanjian itu merugikan dirinya. Apabila baginda menyatakan ketidak puasan hatinya kepada Henry II, Raja England itu tidak memperdulikan kata-kata warisnya itu.
Richard semakin tidak berpuas hati apabila mendapati bahawa ayahnya, seolah-olah melebih-lebihkan adik lelakinya iaitu Putera John dalam urusan pembahagian tanah dan jajahan.
Apabila konflik antara Perancis dan England sekali lagi berlaku, Richard mengambil tindakan nekad di luar janggkaan ayahnya. Pada persidangan damai seterusnya, Henry II terkejut apabila menyaksikan Richard datang ke bersama Philip II.
Sebenarnya Philip II telah menghasut Richard dengan menanam tanggapan kepada baginda bahawa Henry II telah tidak lagi berkenan untuk menjadikan Richard sebagai waris takhtanya dan lebih suka supaya John menjadi Raja England yang seterusnya. Ini membuat Richard semakin tidak sebulu dengan ayahnya. Baginda tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada Young Henry berlaku kepadanya.
Dalam persidangan itu, Richard memberi mengumumkan bahawa baginda bersekutu dengan Phillip II. Sekali lagi Richard memerangi ayahnya dan konflik ketenteraan menyelubungi England.
Ini adalah satu pengkhianatan yang besar pada Henry II. Baginda cuba melawan persepakatan itu tetapi ternyata baginda sudah terlalu tua dan tidak lagi dapat berhadapan dengan dua orang muda yang sangat berbakat dalam strategi peperangan dan konflik. Akhirnya bagindabersetuju untuk berdamai dengan Richard dan Philip. Tidak lama selepas itu baginda pun mangkat dan Richard pun menaiki takhta England.
Sebaik sahaja ditabalkan Raja Richard membuat perubahan pada pentadbiran England. Tetapi baginda masih sangat beria-ia untuk menyertai perang salib. Selain cukai Salahuddin yang bertujuan untuk mendapatkan dana perang, baginda juga melucutkan jawatan pegawai-pegawai dan menjual kembali jawatan tersebut. Semua ini bertujuan untuk mendapatkan dana untuk menyertai perang salib. Dengan dana yang ada ini, baginda membuat persediaan yang rapi untuk berangkat ke timur. Baginda mengarahkan pembinaan kapal-kapal serta menyediakan bekalan yang secukupnya untuk bala tenteranya.
Apabila tiba masanya, baginda berangkat bersama Philip II ke timur menggunakan jalan laut. Di pertengahan jalan, mereka menggunakan jalan berbeza untuk ke sana. Sebelum tiba di timur, Richard sempat menyelesaikan konflik di Pulau Messina dan menakhluk Cyprus.
YOU ARE READING
Richard X Salahuddin: Pertembungan Dua Gergasi di Era Peperangan
Non-FictionRichard X Salahuddin ialah sebuah siri non-fiksyen menceritakan pertembungan dua tokoh semasa Perang Salib Ketiga. InsyaAllah akan dikemaskini dua kali seminggu, pada hari Rabu dan Jumaat.