Tik tok... tik tok... tik tok...
Leha memerhati jam di dinding sambil melentokkan kepalanya di atas tangan. Fikirannya tidak tenang. Entah apa yang dia fikirkan ketika itu. Bahunya diurut-urut beberapa kali. Terasa sengal-sengal sedikit. Baginya normal kerana terlalu penat bekerja seharian.
Matanya peka memerhati gerak geri anak jarum jam. Tepat sahaja waktu berkerja tamat, dengan pantas dia mencapai beg galas berjenama PUMA lalu meninggalkan ruangan pejabat.
Sepanjang dia berjalan menuju ke tempat motornya, tangannya tidak berhenti memegang bahu sambil menggoyang-goyangkan kepalanya. Terasa sungguh berat dan sakit. Mungkin 4-6 pelekat perlu ditampal di bahunya itu nanti.
Laluan jalan yang berkabus diselangi dengan kenderaan yang sesekali melintas sambil memberi lampu tinggi ke arah Leha membuatkan dia berasa geram. “Lampu motor aku ni tinggi sangat ke? Tak guna”
Setiap kali kereta yang melintasinya pasti membuat perkara yang sama.Sampai sahaja di rumah sewa RM600 sebulan itu, Leha terus masuk kerumah dalam keadaan yang berat, malas dan tak bermaya. Ingin sahaja dia tidur tanpa mandi dahulu. Suis lampu dipetik. Beg galas diletakkan ke atas katil.
Matanya tertumpu ke arah meja cermin tempat dia selalu bersolek sebelum ke tempat kerja. Ada minyak angin di situ. Semasa dia ingin bangun dari katil empuk, hidungnya tertusuk bau hamis seperti kudis yang sudahpun bernanah. Busuk yang teramat.
Leha hanya mendiamkan diri. Orang tua-tua kata jangan tegur, lalu dia bangun dan menuju ke arah cermin tersebut. Kepalanya ditundukkan ke bawah untuk melihat kedudukan minyak angin itu berada. Apabila dia mendongak ke atas, alangkah terkejutnya dia apabila ada susuk lembaga yang sedang bertenggek di atas bahunya.
Kakinya dijuntaikan di bahu kiri dan kanan. Kepalanya menyenget sedikit sambil rambut yang kusut masai panjang berjuntai. Tangannya yang hangus terbakar mengusap-usap kepala Leha dengan membelai anak rambutnya.
Terjatuh Leha kebelakang. Kepalanya terhantuk ke dinding. Dia pitam dan pengsan. Esoknya dia tersedar dan merasakan bahunya kembali ringan semula. Tetapi ditinggalkan bekas lebam kebiru-biruan sebagai tanda amaran. - END
YOU ARE READING
Short Horror Story (SHS)
HorrorNovel ini berisikan beberapa cerita pendek bertemakan psycho dan hantu. Cerita yang akan dikongsikan tiada unsur 'mencilok' idea orang ataupun tiruan dari mana-mana novel. Jika ada berkaitan atau persamaan mungkin itu hanya satu kebetulan. So, dijam...