Rumah papan bertangga tinggalan arwah nenek sungguh menyedihkan. Tak terurus. Arwah atuk dah lama pergi sejak arwah nenek masih muda dan sihat. Rasa setia yang tidak berbelah bahagi membuatkan arwah nenek rela untuk tidak berkahwin lagi. Tapi itu semua kisah dulu! Kini tiada lagi nampak kelibat nenek di tangga rumah sambil melambai-lambai tangan.
Malam itu kami sekeluarga tidur di rumah nenek. Ayah merancang nak bersihkan serba sedikit apa yang patut. Aku atau dikenali sebagai Miha, anak bongsu daripada lima beradik.
Kami semua dah sedia untuk tidur berhimpit-himpit diruang tamu. Maklumlah sekali sekala tidur beramai-ramai rasa seronok macam esoknya nak raya.
Aku terjaga pada jam 2 pagi kerana rasa nak terkencing. Berlari-lari anak sambil melangkah kaki ahli keluarga yang lain. Dah alang-alang terjaga ni lebih baik buat solat tahajud.
Sesampai sahaja di bilik arwah nenek, mata aku memerhati ke arah sekeliling. Terlihat satu kain putih tergantung di tepi almari usang. Aku menyarung sambil menghidu kain tersebut. Sungguh wangi! Bau seperti bunga. Sejadah aku bentang berhadapan katil kayu yang senget, hampir roboh.
Selesai solat tahajud, aku membuka telekung tersebut dan menggantungnya di tempat yang asal. Baru sahaja hendak melangkah pergi, entah kenapa hati aku rasa tak sedap. Aku sempat menoleh ke belakang dan ternyata semangat aku belum cukup kuat untuk melihat perkara tersebut.
Kelihatan susuk tubuh wanita tua yang sudah siap menyarungkan telekung. Arwah nenek dan telekungnya. Wajahnya sugul sambil memerhatikan aku yang terketar-ketar di tepi dinding. Sekelip mata susuk tubuh wanita tua itu hilang begitu sahaja. Hilangnya nenek bersama telekungnya.
-END-
credit to : ridcreeps

YOU ARE READING
Short Horror Story (SHS)
HororNovel ini berisikan beberapa cerita pendek bertemakan psycho dan hantu. Cerita yang akan dikongsikan tiada unsur 'mencilok' idea orang ataupun tiruan dari mana-mana novel. Jika ada berkaitan atau persamaan mungkin itu hanya satu kebetulan. So, dijam...