Keesokan paginya aku terbangun di kamarku sendiri. Kepalaku rasa pening sedikit. Dalam keadaan mamai, aku lantas teringat kejadian semalam. Muka Hendry yang pertama muncul dalam benakku. Lantas aku melompat dari katil dan menapak ke arah bilik air. Selepas membuang air kecil, aku ke singki mencuci muka dan menggosok gigi. Selesai semuanya baru terasa segar bugar.
Langkah seribu membilang anak tangga ke bawah. Kedengaran pinggan mangkuk berlaga di ruang dapur. Terus kakiku menghala kesana. Di meja makan kelihatan dua orang lelaki sedang bersarapan. Aku melopong melihat salah seorangnya. Bukan kerana terlampau handsome, tetapi lebam di mukanya mengejutkan sesiapa saja.
Aku cuba mendekati mereka sambil tersengih. Cuba melihat muka Hendry dengan lebih jelas. Pipi kanannya agak bengkak, begitu juga lingkaran di tepi mata kirinya. Bibir bawahnya juga pecah sedikit. Patutlah pagi ini dia bersarapan dengan bubur. Tetapi hairan, walaupun muka separuh cacat, namun kenapa dia masih kelihatan tampan di mataku?
Abang berdehem mematikan lamunanku. Hendry masih tunduk tidak berani memandangku. Aku tersengih geli hati mengingat kejadian semalam. Memang padan dengan kebodohannya. Aku rasa Hendry berhak mendapatkannya.
Kak Suriati muncul melaksanakan tugasnya. Sebelum dipersilakan aku terlebih dulu melabuhkan punggung di kerusi. Abang di tepi dari tadi merenungku bagai tak cukup mata. Aku pura-pura bodoh tidak mengendahkannya. Aku tahu dia pasti bengang dengan kejadian semalam.
"Oleh kerana kau semakin melampau, perkahwinan akan berlangsung hujung bulan ini!"
"What?"
Aku terpekik. Selesai berkata, abang bangun meninggalkan meja makan. "Abang!" Jeritan aku sia-sia. Abang berlalu begitu saja. Aku tidak puas hati, lantas bangun mengejarnya.
"Abang? Apa semua ni? Bukankah abang cakap nak bagi tempoh perkenalan? Abang sendiri cakap tak nak kelam kabut....kenapa abang berubah fikiran? Aku tak sedia apa pun lagi..." bebelku di ruang tamu.
Abang berpusing menghadapku.
"Elsa, kau sedar tak apa kau dah lakukan malam tadi. Atau kau yang merancang semua ini?" Jerkah Abang padaku. Nampaknya dia marah sekali dengan kejadian semalam.
"Jawab! Mengapa kau biarkan Iqram pukul Hendry? Kau bodoh atau apa...Hendry tu bakal suami kau, tahu! Sampai hati kau biarkan dia dipukul. Aku boleh buat report polis kalau mahu."
"Jangan..jangan...." larangku cepat. Kecut juga perutku melihat Abang marah seperti ini. Tidak berani aku menentang matanya yang setajam mata pedang.
"Ini semua kerja kau, kan? Kau yang menyuruh Iqram memukul Hendry, betul tak!" Pekik abang lagi hingga terpercik liurnya ke mukaku. Nampaknya dia marah tahap letusan gunung berapi. Kalau begini boleh mati aku dibuatnya.
"Bu...bukan, Datuk. Semuanya salah saya. Saya yang mencari pasal dengan Iqram. Maafkan saya." Sampuk Hendry di belakang.
Huh, aku berasa lega mendengar pengakuan bodohnya. Sekurang-kurangnya aku selamat dari tuduhan tidak berasas ini.
"Kau jangan menyebelahi dia! Aku kenal kau lama dan jangan cuba memperbodohkan aku." tegas Abang pada Hendry.
"Benar, Datuk. Saya tak menipu. Saya cemburu pada Iqram. Kebetulan masa saya sampai, mereka nampak mesra. Saya jadi marah tiba-tiba..." kata Hendry lagi cuba mempertahankan alasannya.
"Mesra macam mana?" Soal Abang tertarik ingin tahu.
"Err...diorang...." Hendry tergagap-gagap sambil memandangku. "....err...saya tak tahu nak cakap, tapi diorang sangat mesra."
Abang beralih padaku yang sedari diam menikus. Nampaknya dia mula mempercayai Hendry. "Kau buat apa dengan Iqram?" Soalnya bengis.
"Hmm...kami cuma minum dan berbual kosong. Tu saja..." Jawabku gentar. Lalu aku jeling Hendry dengan ekor mataku. Nanti kau Hendry, pandai kau mereka cerita antara aku dan Iqram ya...akan tambahkan benjol muka kau!
"Berapa kali dah aku cakap, berhenti jumpa Iqram sebelum kau kena perangkap. Jangan kau lupa, bapa dia musuh syarikat kita. Bila-bila masa dia boleh kenakan kita, faham tak!"
Aku diam menikus sekali lagi. Begitu juga si bodoh itu. Tidak lagi berani bersuara. Kami sama menunduk dan membisu.
YOU ARE READING
Suamiku Bukan Bodoh (complete✔)
RomanceElsa sangat marah dikahwinkan dengan pembantu Abangnya sendiri. Sejak itu dia membenci Hendry dan menghina lelaki itu hingga ke alam perkahwinan. Pihak ketiga mengambil kesempatan menggunakan Hendry untuk menjatuhkan Elsa dan Abangnya. Hendry terper...