Keesokkan pagi, aku terjaga dalam keadaan memeluk Hendry sekali lagi. Kali ini, dia terjaga awal dan sedang merenung mukaku dengan senyuman meleret mempamerkan muka Kim Myungso padaku. Lesung pipit yang tersembul di pipi kirinya telah mencuit hatiku, memaksa aku untuk menerkamnya pagi ini. Tetapi aku tidak mahu gelojoh. Jadi aku tampar mesra pipinya.
"Hei, anjing bodoh... Good morning." Ucapku seraya bangun dari pembaringan.
Belum sempat Hendry membalas, aku bersuara lagi; "Siapa suruh kau tidur kat sini?"
Pertanyaanku membuatkan Hendry terpinga-pinga. Aku tergelak kecil melihat reaksinya sebelum menapak ke bilik mandi. Hatiku penasaran melihat keadaan di luar tingkap terang berderang dengan cahaya matahari jelas memancarkan sinarnya. Aku menjeling ke arah jam di dinding. Baru pukul 8 pagi, tetapi keadaan seperti tengah hari.
Semasa mandi ingatan semalam berulang tayang dalam fikiran. Aku berasa malu pada diri sendiri setelah apa yang dilakukan terhadap Hendry selama ini. Entah bagaimana aku mahu menghadapnya selepas ini. Haruskah aku melayannya seperti suami yang dicintai? Aku hampir tergelak bila memikirkan situasi yang akan berubah nanti.
Apabila keluar dari bilik air, Hendry tiada kelihatan. Mataku mencari kasutnya, ternyata hilang sekali. Aku baru ingin berdamai dengannya, dia sudah memusnahkan harapan itu. Dia keluar tanpa memberitahu aku terlebih dulu.
Aku cuba mengabaikan sahaja hal kecil seperti itu. Baik aku bersiap cepat dan mengikuti jejaknya keluar. Ketika sedang menyikat rambut, pintu ditolak dari luar.
"Sorry, ada hal tadi..." kata Hendry sebelum disoal.
"Aku tak nak tahu hal apa, cepat mandi dan bersiap dalam masa 5 minit. Aku lapar." Tegasku sambil memandangnya garang melalui cermin.
Tanpa berlengah, Hendry bergegas ke bilik mandi selepas meletakkan handphone di atas katil. "Lebih lima minit kau kena hukum!" Pesanku, entah dia dengar atau tidak.
Mataku terpandangkan handphone dia atas katil. Hatiku mula mengagak sesuatu. Jangan-jangan sepupu bodoh dia menelefon lagi. Lantas aku capai mahu mengesahkan.
Setelah memeriksa panggilan, rupanya tekaan aku meleset sama sekali. Hatiku mula berubah tidak tenteram. Baru semalam aku bertanya tentang Unlce Stone padanya dan pagi ini orang tua yang tamak itu menelefon lagi.
"Takde apa....dia tanya hal kerja." Jawab Hendry selamba ketika aku bertanya sewaktu dalam perjalanan menuju warung di jeti.
"Aku malas mengingatkan kau," amaranku sambil memandangnya tajam."...kalau kau tertangkap, aku tak jamin kau selamat. Kau tahu kan, abang boleh buat apa sahaja untuk hapuskan engkau..."
Aku mengingatkan Hendry peraturannya kerana aku merasakan ada sesuatu yang disembunyikan daripadaku. Hendry diam menikus hingga tiba di lokasi. Selepas meletakkan kereta di bahu jalan, kami beriringan menuju ke jeti yang menjadi destinasi pertama para pelancong sama ada mahu ke pulau atau menjamu selera di restoran situ.
Sewaktu dalam perjalanan kesana, kami bertembung dengan seorang lelaki tua dalam pertengahan umur 50-an. Pak cik itu yang terlebih dahulu menegur kami, mungkin dia mengenali Hendry. Dan tekaanku tepat sekali kerana mereka saling berjabat tangan dan bertutur dalam bahasa mereka, sementara aku hanya jadi pemerhati. Namun dari segi pemerhatian aku, ada sesuatu yang tidak kena kerana pak cik itu menjelingku beberapa kali seolah-olah tidak menyenangiku. Mujurlah tidak lama, tidak sampai dua minit dia meninggalkan kami.
"Siapa?" Aku tidak menunggu lama untuk bertanya.
"Pak Atan, salah seorang pemilik tanah kat tapak projek tu..." jawab Hendry.
Aku agak terkejut. Tak sangka pula kami bertembung secara langsung dengan pemilik tanah pagi ini. Lagi mengejutkan apabila Hendry memberitahu Pak Atan tidak bersetuju menjual tanahnya, katanya itu tanah pusaka moyang mereka. Patutlah orang tua itu memandangku kurang senang. Aku cuba bertabah walaupun separuh hatiku telah hampa. Ini bukan sekali dua kami menghadapi dugaan seperti ini. Setakat orang kampung seperti Pak Atan, apalah sangat. Lagipun kami telah mendapat kelulusan daripada pegawai daerah. Apa lagi yang tinggal untuk Pak Atan pertahankan. Namun kami perlu mengikut prosedur dan mendapatkan penyerahan bertulis daripada tuan tanah. Itu yang lecehnya bila tuan tanah berdegil. Namun aku rasa kalau menggunakan cara yang satu ini mungkin dapat melembutkan hati Pak Atan dan pemilik tanah yang lain.
"Itu rasuah Cik Elsa..." Hendry mengingatkan aku di meja makan.
"Aku tak anggap tu rasuah. Aku bagi lebih atas dasar simpati...." aku cuba memutar belitkan fakta agar Hendry keliru.
"Kalau harga market 70% aku up lagi 30%. Kita tengok ada tak ayam yang bodoh larikan jagung." Kataku angkuh dan memek muka Hendry mula berubah tidak senang. Terasalah tu, mungkin dia termasuk dalam kategori itu.
Hendry tidak membalas lagi. Matanya melilau ke sekeliling seperti mencari seseorang. Semua meja berpenghuni oleh pelancong luar dan dalam negeri. Pelayan datang selepas lima minit kami menunggu. Selepas memberitahu pesanan masing-masing, sekali lagi Hendry bercakap dalam bahasa asing dengan pelayan perempuan itu.
"Cakap apa?" Soalku ingin tahu setelah pelayan tersebut berlalu.
"Nothing else..." jawabnya bersahaja.
Seminit kemudian, seorang perempuan agak dikenaliku melambai tangan ke arah kami dari satu sudut. Hendry bingkas bangun dan menuju ke arah Sabrina. Aku terpinga-pinga bagai orang bodoh. Hatiku mula panas.
YOU ARE READING
Suamiku Bukan Bodoh (complete✔)
RomanceElsa sangat marah dikahwinkan dengan pembantu Abangnya sendiri. Sejak itu dia membenci Hendry dan menghina lelaki itu hingga ke alam perkahwinan. Pihak ketiga mengambil kesempatan menggunakan Hendry untuk menjatuhkan Elsa dan Abangnya. Hendry terper...