BAB 15

1.3K 119 10
                                    

SUASANA di meja makan pada malam itu hanya bertemankan bunyi dentingan sudu dan pinggan tanpa kedengaran celoteh Alia mahupun Aizad. Dato Zikri menghantar isyarat mata kepada Datin Zahra. Mereka saling berbalas pandangan kerana masing-masing tidak berani membuka bicara apabila melihat riak wajah tidak mesra yang ditayang Aizad. Dahi Alia berkerut melihat telatah papa dan mamanya yang kelihatan takut benar untuk menegur Aizad. Alia melirik ke arah Aizad yang kelihatan sangat berselera mengunyah nasi berlauk masak lemak cili api kegemarannya.

Aizad menghentikan suapan ke mulut. Dia menghabiskan kunyahan terakhir sebelum kepalanya diangkat untuk melihat Dato Zikri dan Datin Zahra yang sedang berbisik antara satu sama lain. "Papa dan mama nampak macam ada sesuatu nak bagitahu Jad." Soal Aizad, sengaja dia ingin menguji kejujuran pasangan itu. Dia masih menunggu mereka berdua atau Alia menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepadanya sebelum kemalangan yang menimpanya. Tetapi malangnya tiada siapa ingin membuka mulut. Dia sudah malas mahu menunggu lagi.

Datin Zahra memandang Dato Zikri sebagai isyarat supaya suaminya menjawab pertanyaan Aizad. Dato Zikri berdeham sebelum dia bersuara, "Macam mana ingatan Jad sekarang? Ada ingat apa-apa tak?"

Aizad tersenyum sinis. Dia tahu mereka masih ingin berahsia dengannya. Apa yang susah sangat untuk bagitahu perkara sebenar? Dia sudah lama menunggu seperti orang bodoh! "Jad masih tak ingat apa-apa." Bohongnya. Dia sudah mengingati beberapa peristiwa melalui mimpi yang sering dialaminya. Dia yakin mimpi itu bukan sekadar mainan tidur. Tetapi dia tidak akan mengaku sehingga ada di antara mereka yang menceritakan perkara sebenar.

"Papa harap Jad bersabar. InsyaAllah ingatan Jad akan pulih tak lama lagi." Ujar Dato Zikri.

Aizad menghela nafas berat. "Dari awal Jad sedar dari koma sampai sekarang, itu je papa boleh cakap. Tidak lama lagi yang papa maksudkan itu bila? Tahun depan? 5 tahun lagi? Entah-entah sampai papa dan mama dah mati pun Jad tak dapat ingat apa-apa!"

"Aizad!" Dato Zikri menghentak meja makan. Lelaki itu mengetap gigi menahan amarah. Ringan terasa tangannya untuk menampar mulut celupar si anak. Mujur kesabarannya masih tersisa.

Bibir Aizad masih mengukir senyuman sinis. Tiada sedikit pun rasa serba salah yang terbuku di hatinya. "Salah ke apa Jad cakap? Papa, mama, dan Alia tak bantu langsung untuk Jad dapatkan ingatan Jad balik. Jad cuma kena ulang-alik buat rawatan dengan doktor tapi keluarga sendiri langsung tak membantu! Betul ke Jad ini anak papa dan mama?" Kasar mulut itu melontarkan soalan kepada ibu dan bapanya sendiri. Matanya mencerlung tajam ke arah wajah papa dan mamanya yang sudah berubah riak.

"Aizad, kami dah cuba bantu kamu dengan beri sokongan..."

"Heh, sokongan macam mana yang mama maksudkan? Dengan merahsiakan sesuatu daripada Jad, itu ke bentuk sokongan yang efektif korang boleh bagi?" Aizad memotong bicara Datin Zahra.

Dato Zikri dan Datin Zahra terdiam. Alia apatah lagi, dia tidak berani untuk bersuara walaupun panas terasa hatinya melihat Aizad yang sangat kurang ajar. "Kenapa semua diam? Sebab apa yang Jad cakapkan tadi betul,kan? Hei, jawablah tak akan semua dah jadi bisu!" Pekik Aizad yang sudah hilang sabar. Tangannya melepaskan sudu dan garfu ke dalam pinggan sehingga menghasilkan bunyi dentingan yang kuat.

"Abang, jangan biadap!" sampuk Alia dengan nada yang tinggi. Seteruk manapun Aizad sebelum lelaki itu berhijrah dahulu, Aizad tidak pernah meninggikan suara kepada papa dan mama. Amnesia benar-benar mengubah Aizad menjadi individu yang sangat berbeza.

"Ah, kau pun sama! Cuba cakap apa bantuan yang kau dah bagi pada aku? Kau tak habis-habis suruh aku berkawan dengan budak miskin si Khai itu! Siapa sebenarnya dia? Jangan-jangan dia manusia yang paling aku benci dulu. Korang semua memang tak guna lah! Aku nak keluar!" Aizad menolak kerusi meja makan sehingga terjatuh ke belakang. Dia melangkah pantas ke pintu utama. Sneakers dikeluarkan dari almari kasut. Beberapa saat kemudian kedengaran ngauman enjin kereta keluar dari perkarangan rumah banglo itu.

HijrahTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang