BAB 12

3.1K 222 13
                                    

AKHIRNYA hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Dua buah keluarga berkumpul di rumah Humaira untuk mendengar keputusan gadis itu. Puan Sofia menolak daun pintu bilik Humaira. Kelihatan Humaira masih bertelekung di sudut biliknya. Gadis itu sedang khusyuk berdoa memohon kekuatan untuk mengumumkan keputusannya nanti. Puan Sofia hanya menanti Humaira di birai katil. Dia juga tidak pernah lupa mendoakan yang terbaik untuk anak kesayangannya itu.

"Humaira, mereka semua dah sampai." ujar Puan Sofia sebaik Humaira bangun untuk melipat telekungnya.

Humaira hanya mengangguk. Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa agar dia diberi kekuatan oleh Allah. Humaira yakin pasti akan ada yang terluka dengan keputusan itu nanti. Humaira turun ke tingkat bawah diiringi oleh Puan Sofia di sisi. Dari tangga lagi sudah kedengaran keriuhan suara-suara di ruang tamu.

Sebaik tiba di ruang tamu, Humaira mengukir senyuman manis kepada para tetamu. Detak jantung terasa laju daripada biasa. Dia bersalaman dengan Makcik Amnah, Datin Zahra, Ain dan Alia. Humaira mencari kelibat Khai. Apabila pandangannya bertemu dengan mata milik Khai, lelaki itu menyapa dengan gerak bibir 'hai'. Humaira sekadar mengangguk. Matanya kembali mencari seseorang. Dia mulai gelisah apabila dia tidak melihat batang hidung Aizad di situ.

"Humaira cari Aizad ke? Dia masih dalam perjalanan dari Rawang. Katanya ada hal di sana." kata Datin Zahra apabila jelas kelihatan kegelisahan gadis itu dari raut mukanya.

"Oh, baiklah. Jemput semua makan dulu sementara menunggu Aizad." pelawa Humaira. Allahu, gugupnya rasa!

Beep beep. Satu pesanan ringkas masuk ke dalam telefon bimbit Humaira.

"Assalamualaikum. Amboi, sombongnya orang tu! Tak senyum kat aku pun. Jangan neves tau. Apapun keputusan kau, aku support. Senyum sikit, buruk betul muka berkerut macam tu! :P" -Khai

Tidak semena-mena, Humaira tergelak seorang diri. Semua yang ada di situ memandang ke arahnya termasuk Khai. "Amboi, Humaira. Belum apa-apa lagi dah senyum sorang-sorang," usik Dato Zikri.

Humaira tersengih. Matanya dijegilkan kepada Khai yang sedang mentertawakannya. Siap kau, Khai!

Tiba-tiba Datin Zahra meminta diri untuk menjawab panggilan. "Waalaikumussalam. Ya saya ibu kepada Aizad Hakim."

"Allahu Akbar! Dia kat mana sekarang?!"

"Ya Allah, abang...."

Telefon bimbit di tangannya jatuh menghempas lantai. Datin Zahra yang sudah terduduk di lantai mengejutkan semua yang ada di situ. Dato Zikri terus meluru mendapatkan isterinya yang sedang menangis.

"Kenapa ni sayang?" soal Dato Zikri risau.

"Aizad, bang. Aizad kemalangan!"

Humaira dan Khai saling berpandangan. Masing-masing terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Datin Zahra. Humaira terduduk di sofa yang berhampiran. Ya Allah, adakah kau akan ambil seorang lagi manusia dari hidupku?

*******

*******

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
HijrahTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang