BUNYI desiran panjang lepas daripada celah bibirnya. Kening berkerut lebat menahan rasa pedih. Gamaknya, luka itu dalam kerana itu rasa pedih lain macam.
“Kalau tahu sakit, lain kali jangan tunjuk gangster…” sindir doktor muda di depan mata. Siap dengan jelingan tajam biarpun tangan itu masih ligat merawat hujung bibirnya yang koyak.
“Nasib baik tak koyak lagi tiga empat inci. Kalau tak, mahu jadi mulut tempayan. Luas,” sindir doktor itu lagi.
Dia ketap bibir. Memejamkan mata rapat untuk seketika. Menarik nafas dalam. Cuba menahan rasa hangat yang sedang membakar dalam dada. Terasa ringan buku lima mahu mencari sasaran. Tapi, dia beratkan penumbuknya. Tak nak bilik rawatan ini jadi tempat berdarah pula.
“Saya jahit…” Doktor muda itu senyum lagi. Senyuman yang begitu tajam dan sinis.
“…dan kalau tak tahan sakit, ingat pesan saya. Lain kali jangan bertumbuk,” tambahnya lagi.
Wajahnya didekatkan pada wajah gadis yang ada di depan mata. Memerhatikan wajah yang ada beberapa parut kekal di dahi dan juga bawah dagu. Parut lama yang nampak sudah sebati dengan kulit.
Perempuan jenis apalah langsung tak hiraukan raut yang sebegini indah menjadi cela? Spesis tak menghargai anugerah Tuhan. Dan, ini adalah kali pertama dia rawat pesakit perempuan yang cedera kesan koyak pada muka.
“By the way, boleh saya tahu… awak kena tumbuk dengan apa ni? Saya tak percaya bare-hand boleh koyak dekat dua inci tepi mulut awak ni?” soalnya mahu alih perhatian pesakit pada jahitan.
Namun, gadis itu hanya diam. Tak berkata sepatah pun. Dia ukir senyum tipis. Terus tekun menjahit dan dia tahu, sakitnya tak terkata kerana dia pilih untuk tak guna bius.
Sesekali, dahinya berkerut menahan pedih tusukan demi tusukan jarum halus itu melalui dagingnya yang hidup. Malah, dia rasa ikatan demi ikatan yang doktor ini kemaskan. Segala pertanyaan, hanya singgah di angin lalu. Tak singgah langsung. Tumpuan dia tercampak beberapa langkah ke belakang.
KEPALA yang berdenyut bertambah sakit dengan jeritan demi jeritan. Dah perempuan tu cakap tak nak, nak paksa buat apa? Dia bangkit berdiri di antara kumpulan lelaki dan dua orang wanita tersebut.
“Orang dah tak nak, jangan paksa dia lagi…” ujarnya perlahan.
Mata lelaki yang sedang menarik lengan perempuan itu beralih padanya. Tajam merenung. Seperti nak ditelan dia hidup-hidup.
“Eh, kau siapa tiba-tiba datang nak sekolahlah aku pulak?!” soal lelaki itu bengis. Dua orang kawannya juga ketawa.
Hoodie ditarik ke depan demi menutup wajah. Dia nak berpaling, tapi jeritan wanita tadi sekali lagi menerpa.
“Eh, dia tak nak. Jangan paksa…”
“Hey!” Bahunya ditolak kasar. “Kau siapa? Kau tahu tak aku siapa?”
Tangan lelaki itu yang menujah bahunya ditepis kasar. Darahnya mula menyirap. Tapi, dia masih bertahan agar tak bertindak terlebih dahulu.
“Aku bukan sesiapa. Tapi, aku tak boleh tengok perempuan dilayan macam ni. Itu aje…” Sempat dia jeling pada perempuan yang sedang memandangnya penuh harapan.
Harapan untuk diselamatkan.
“Oh, kau ni kiranya nak jadi herolah, ya?”
Dia sengih dan menggeleng. “Tak elok berkasar dengan perempuan. Itu aje aku nak pesan. Dah dia tak nak…”