HATI yoongi terasa sebal. Lama dia perhatikan tingkah doktor muda itu. Malah, soalan yang diaju pada nurse, jelas menyapa telinganya. Hutang apa lelaki itu pada jimin? Dan, adakah jimin juga berhutang dengan doktor itu? Jika dia, dia akan lunaskan. Tapi, dia rasa lain macam. Cara doktor muda itu berkata-kata, nyata bukan hutang wang ringgit. Atau kerana lelaki itu jimin luka?
Sudah... kacau!
Yoongi patah balik. Tidak mahu bertembung dan bila doktor dan jururawat itu berlalu, dia masuk kembali. Tirai ditarik sedikit. Menyorok diri sendiri. Dia tarik kerusi dan duduk di sisi katil jimin.
Gadis ini nampak begitu lena. Tapi wayar yang ada pada hidungnya, menggambarkan yang jimin benar-benar tak sihat. Teruk sangat ni. Yoongi beranikan diri menyingkap sedikit kawasan yang doktor tadi maksudkan.
Dia berdesip kasar dengan wajah yang berkerut. Sepertinya dia yang disiat hidup-hidup. Merah matanya menahan tangis.
Sampai macam ni sekali pun kau cakap kau okey, jimin? Nafas berat yoongi lepas. Teringat hal semalam. Patut dia paksa jimin. Tidaklah hati dia begini galau sekarang. Jaket kulitnya dibuka hingga ke tengah dada. Sejuknya masih terasa. Setelah mendaftarkan diri sebagai penjaga jimin, dia terus ke sini.
Dan... andai jimin tahu status hubungan mereka yang dia tulis dalam borang itu, tentu penumbuk jimin naik singgah ke muka dia.
"Aku minta maaf, jimin. Maaf atas keterlanjuran aku dulu. Maaf herdik kau. Maaf sebab berkasar dan tak pernah bertanya khabar tentang kau. Bukan salah kau, jimin. Tapi, aku lindungi perasaan aku sendiri. Sebab tu aku layan kau macam kau tak ada perasaan. Bangun jimin..."yoongi berbisik lemah.
Tangan yang berbalut sarung tangan itu menyapa belakang tangan jimin. Diramas perlahan. Rasa tak nak tinggal jimin sekarang. Rasa nak dakap jasad jimin. Dia sentuh luka pada bibir jimin.
"Sakit betul hati aku tengok kau terbaring lesu ni, jimin. Aku lagi suka bila kau jaga. Aku suka muka kelat kau. Aku suka riak tak berperasaan kau," sambung yoongi lagi.
Dia lepas tangan jimin. Membuka sarung tangannya. Dan hanya memandang saja jari-jemari yang begitu kasar dan kusam. Kesan kerja kuat. Patutnya dia hulur tangan dan genggam tangan jimin kuat-kuat sejak pertama kali dulu tapi dia tak buat. Kali ini, sepertinya dah terlambat.
Dia tahu siapa jimin. Jimin anak jalanan. Yang membesar di rumah anak yatim. Kemudian melarikan diri dan mula hidup sendiri. Jimin yang hampir dirosakkan maruahnya oleh jantan keparat semasa di usia remaja. Jimin yang pernah meringkuk dalam tahanan seketika kerana menikam lelaki jongos itu demi mempertahankan maruah diri. Jimin yang penuh calar luka kerana kekejaman manusia.
Itu yang dia dengar dengan telinga sendiri saat jimin bercerita pada ayahnya demi rasa terima kasih memberikan pekerjaan dan menyediakan tempat tinggal. Tempat tinggal yang hanya sekangkang kera. Atas permintaan jimin sendiri.
"Kau bangun... aku janji akan layan kau macam puteri, jimin..." luah yoongi penuh emosi.
Tapi, jimin masih begitu biarpun kelopak mata itu nampak sedikit mengerdip. Yoongi pejam mata. Tunduk. Melihat tangan itu. Nak diusap namun dia tahan. Jimin dipenuhi parut ditoreh demi menyelamatkan maruah. Tak mungkin dia semudah itu untuk usik kulit jimin tanpa lapik.
Dalam hati, tak sudah berdoa moga jimin kembali pulih seperti sediakala. Dia janji dengan diri sendiri. Hati gadis ini tak akan disakiti lagi. Tak akan sekali pun!
"Aku tak mimpi, kan yoongi?"
"Hah?" Mata yoongi bulat sebaik saja dia dengar soalan itu cukup sayup menyapa telinganya.
Wajah jimin ditatap. Mata itu terbuka perlahan-lahan dan terkatup kembali beberapa ketika sebelum kembali terbuka separuh.
"Aku tak mimpi, kan?"