IMPIAN ZAKI
Petang itu selepas solat Asar Arman melepak di anjung rumah dengan Zaki. Jarang sekali mereka berdua dapat bergebang. Arman sibuk dengan kebun cilinya. Zaki pula sibuk dengan SPM yang akan dihadapinya. Kerusi-kerusi simenfero yang dibentuk seperti kayu itu hanya menjadi tempat istirehat si Debab, kucing Sarah. Kali ini Debab terpaksa berkongsi tempat itu dengan Arman. Pokok cili yang sudah mengeluarkan hasil memberi peluang kepada Arman meluangkan masa dengan keluarganya. Zaki nampak gembira apabila Arman duduk di sebelahnya, ketika dia memetik gitarnya sambil menyanyi. Entah apa lagunya Arman tidak tahu. Sedap juga suara adiknya, mendayu-dayu. Dia hanya dapat menangkap hujung senikataya:
Kaulah inspirasi
Pada rindu yang menanti
Kasih tidak bertepi
Wira damai di bumi indah ini . . .
Lagu itu yang dimulai oleh Zaki dengan nada suara sedih, diakhiri dengan gembira dan sekuntum senyuman dilemparkan ke arahnya.
"Sedap tak lagu tu Abang Long?" soal Zaki, sambil tangannya masih lagi memetik gitar.
"Sedap. Adik Abang memang berbakat," balas Arman.
Ditepuk-tepuknya belakang bahu Zaki dengan penuh kasih sayang. Zaki masih terus memetik gitarnya,
"Lagu tu mengenai abang long," katanya serius.
Arman terharu. Tak sangka adiknya begitu menyanjungnya. "Ya ke? Thanks dik. Tapi abang long bukan wira macam dalam lagu tu."
Zaki berhenti memetik gitar. Dia renung ke dalam mata abang longnya. Seperti dia nampak sisa-sisa kepiluan, di sebalik senyuman Arman. Zaki nampak matang walaupun baru berusia 17 tahun. Tiga tahun tanpa Abang Long di sisi dia menjadi anak sulung.
"Zaki sayang abang long. Zaki takkan buat perkara-perkara yang abang long tak suka. Atau dilarang agama kita."
Arman peluk bahu adiknya, "Abang long tau . . . Dan abang long minta maaf."
"Minta maaf apa pula abang long?" Jari-jarinya kembali memetik gitar.
"Hari tu abang long marah Zaki dengan Sarah tak usul periksa."
"Ala . . . Zaki dah lupa abang long."
"Tapi abang long tak lupa."
"Bila abang long kena pukul, kami sedar kenapa abang long marah."
Dia tunduk.
Tangannya masih bermain-main dengan tali gitarnya. Arman tidak tahu apa yang Zaki buat mengubah-ubah jejarinya. Tapi bunyi yang dihasilkan semua sedap bagi telinga Arman yang langsung tidak tahu beza antara C Major dengan C Minor.
"Zaki nak jadi penyanyi ke?"
"Taklah . . . Zaki nak jadi sound engineer." Pantas sahaja Zaki menyatakan impiannya.
"Wow . . . Nak belajar di mana?" Arman terfikir Amerika Syarikat.
"Kalau boleh nak belajar di Boston atau New York," jawabnya tegas. Kemudian disambung dengan nada kecewa. "Tapi entahlah . . . Kita mana ada duit."
Arman tidak tahu bagaimana hendak memujuk keluhan adiknya. Dia diam. Alunan bunyi gitar memenuhi ruang anjung itu. Sayu.
"Jadi, apa rancangan Zaki?"
"Mungkin masuk apa-apa program talent seeking. Kalau menang, duit boleh guna untuk biaya belajar," jawabnya, serius.
Kasihan adikku!
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...