NASIB DZAFRI
Keesokan harinya, Ezhar, Zarif dan Suhail kembali berkumpul di pejabat Puspa. Mereka menunggu Dzafri kerana input daripadanya penting untuk melengkapkan lagi laporan yang akan dibawa ke SPRM. Mereka terkejut apabila Dzafri muncul dengan muka lebam-lebam. Lebih teruk daripada muka Arman ketika kena belasah dahulu.
"Kenapa muka engkau? Siapa pukul?" soal Suhail. Dia memang pantang melihat orang dibuli.
Dzafri diam. Malu nak cakap. Tetapi akhirnya setelah didesak, dia bercerita. Katanya selepas balik dari perjumpaan kelmarin, dia telah pergi berjumpa mentuanya untuk beritahu mereka supaya berhenti mengorek pasir dan mengeluarkan semua jentera dari kawasan itu. Dia beritahu mereka akan disiasat oleh SPRM jika enggan berbuat demikian. Dia juga merayu untuk membawa pulang Nora.
Dia rindu. Teramat rindu kepada Nora dan segala kebaikan dan kekurangan isterinya itu.
Namun, dia telah ditumbuk dan diterajang oleh abang iparnya sendiri, walaupun tidak melawan.
"Habis, takkan Nora biarkan saja awak kena pukul?" tanya Puspa.
"Nora pun kena pukul bila dia minta Abang Noramin berhenti," jawab Dzafri.
"Takkan satu keluarga biarkan awak kena pukul?" Ezhar sukar percaya ada keluarga terpelajar seperti ini.
Kata Dzafri, mereka berhenti memukulnya apabila Nora meraung sampai pengsan.
"Jadi, di mana Nora sekarang?" tanya Puspa, mula diselubungi kebimbangan.
Kata Dzafri Nora dihantar oleh keluarganya ke sebuah hospital swasta berdekatan. Tetapi dia berjaya meyakinkan hospital untuk pindahkan Nora ke hospital swasta lain. Hospital itu menerima alasan dia suami Nora dan bertanggungjawab ke atas semua kebajikan isterinya. Lokasi dirahsiakan daripada keluarga Nora. Dia sendiri tidak balik ke rumah. Sebaliknya dia tinggal di hotel berdekatan hospital itu untuk mengelakkan keluarga Nora daripada menjejakinya.
"Pandai juga awak. Ingat bodoh piang," sindir Zarif.
Dzafri abaikan sindiran Zarif. "Saya masih suaminya."
"Keadaan Nora macam mana?" soal Suhail.
"Nampaknya dia lebih tenang," jawab Dzafri.
Dzafri sedar setelah terdengar perbualan ibu tirinya, Nora mungkin terkena mandrem kerana badannya lemah setelah bersalin sebelum masanya. Mujur Khadijah turut membantunya dengan kerjasama Haji Ismail. Tetapi Khadijah tak benarkan dedahkan peranannya. Takut Puspa dan Arman tidak berkenan.
"Siapa jaga dia di hospital?" soal Puspa. Bimbang juga Puspa kalau-kalau Nora lari. Lebih-lebih lagi kalau lari menuju ke arah Arman.
Dzafri jelaskan dia upah seorang pembantu jururawat swasta untuk memastikan Nora tidak dilawati orang lain, kecuali dengan izinnya. Dzafri yang selalu nampak sofistikated itu kelihatan sangat berbeza.
"Tapi dia masih tak suka tengok saya, walaupun tak maki hamun saya lagi," kata Dzafri dengan suara yang jelas tidak bermaya.
Di matanya terbayang bilik tidur dan bilik bayinya yang terhias indah tetapi kosong!
Melihat keadaan Dzafri yang menyedihkan itu, Suhail menjadi simpati. "Baiklah. Aku tarik balik laporan polis aku, dengan syarat."
"Syarat apa bang? Saya ikut semuanya," kata Dzafri.
"Kau tak boleh lagi mengganggu sepupu aku, Arman, atau kaum keluarganya atau sesiapa saja yang dekat dengannya," tegas Suhail.
"Saya berjanji bang. Saya juga akan bayar ganti rugi kebun Arman," jawab Dzafri.
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...