SIHIR MONA
Mona terkejut besar. Tiba-tiba mezbah di bilik pujaannya runtuh. Habis bertaburan semua barang-barangnya. Mangkuk untuk membakar kemenyan dan semambu pecah berderai. Tidak dapat digunakan lagi. Ketika dia mahu keluar dari bilik itu dia mendengar dentuman kuat, disertai dengan ketawa lelaki yang membuat bulu romanya berdiri. Segera dia keluar dan menutup pintu bilik itu. Dia mahu mengadu kepada gurunya, Tok Dah (nama sebenar Dahlan) seorang bomoh yang terkenal di seluruh Negara.
Mezbah runtuh. Isyarat apa itu?
Dia cuba berkomnikasi secara ghaib dengan Tok Dah, tetapi gagal. Tiada khadam yang datang. Kemudian dia telefon. Isteri muda Tok Dah yang menjawab panggilannya. Terus dia disembur dengan maki hamun oleh isteri bomoh itu. Katanya Tok Dah tiba-tiba diserang angin ahmar, dan Mona dipersalahkan. Tok Dah sudah dimasukkan ke hospital, dan kini dalam keadaan koma. Kata isteri Tok Dah, yang juga pembantu khas bomoh itu, Mona mengusik anak murid kesayangan Dato' Baha. Sekarang Tok Dah menanggung sihir dan santau angin yang kembali atas perbuatan Mona. Semua angin santau dan sihir pemisah kasih yang dihantar Mona terkumpul dan membelasah Tok Dah sehingga sakit seperti kena serangan angin ahmar.
Barulah Mona tahu siapa mereka.
Siapa yang telah dia usik.
Siapa yang harus dihadapinya.
Tetapi dia tidak boleh undur lagi.
Sama ada diorang hancur, atau aku hancur!
Seolah-olah nasib malang itu belum mencukupi, kini Mona berhadapan dengan wajah bengis seorang lelaki, yang dahulu begitu manis ketika meminta pertolongannya.
"Apa yang Kak Mona buat itu semua gagal!" Lelaki itu menengking. Garang.
"Kak Mona dah hantar sihir pemisah kasih kepada Puspa dan Nora," jawab Mona. Dia mempertahankan tindakannya.
Lelaki itu menggenggam kedua tangannya. Kata-kata Mona membuatnya semakin marah.
"Tapi apa jadi? Puspa tak berpisah pun dengan budak tu. Tak gila pun. Malah aku dengar nak bertunang tak lama lagi."
"Ada pihak yang tangkis serangan Kak Mona."
"Ya! Aku tahu. Orang tua tu. Orang tua dengan alat-alat elektroniknya yang selamatkan Arman. Dia halang aku. Mana aku pergi, ada saja roadblock."
Nampaknya kau tidak tahu halangannya bukan sahaja Datuk Haidar dan alat surveilans elektroniknya.
"Kali ini halangannya kuat sungguh," jelas Mona, teringat mezbahnya yang runtuh.
"Bukan ke Kak Mona kata khadam Tok Dah boleh halang alat elektronik dan segala bagai teknologi ini daripada beroperasi?"
Mona tak jawab soalan itu. Dia sudah cuba. Cuma sekarang dia tidak tahu apa hubungan Dato' Baha dengan Datuk Haidar.
"Sekurang-kurangya Nora dah berpisah," katanya, dengan harapan ia menyejukkan kemarahan lelaki itu.
"Belum lagi. Dzafri tak ceraikan dia pun." Balas lelaki itu. Wajah bengisnya sedikitpun tidak berubah.
"Badar! Kau nak apa sebenarnya?"
Badar bangun dari tempat duduknya sambil menolak kerusinya dengan kasar. "Aku nak Puspa dengan Arman gila. Kalau aku kena tangkap pun, Arman tak dapat jadi saksi. Kakak faham tak?"
Mona kecut perut melihat gelagat Badar. "Yelah, itu yang Kak Mona dah buat. Tapi hubungan hati diorang kuat."
"Hah!" Badar mendengus.
Badar sudah hilang arah. Sejak wajahnya terpampang di dada-dada akhbar, dunianya semakin sempit. Dia hanya mampu bergerak di kampung-kampung yang terpencil. Dia sukar mengumpulkan orang-orangnya yang setengahnya sudah melarikan diri ke negara jiran. Yang masih ada pula terpaksa bersembunyi.
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...