BAB 44: MELAYAN EGO

91 12 2
                                    

KAU BUAT APA MALIK?

Malik kembali bekerja pada hari Jumaat. Kehilangannya pada hari Rabu dan Khamis  menjadi buah mulut satu kilang. Nelly yang gagal menghubunginya hari itu riuh rendah di bahagian penyelenggaraan mencarinya. Lantas, ketika dia tiba di pejabat, beberapa pekerja segera mengerumuinya, bertanya khabar dan membuat laporan.

Baru sahaja dia mahu menyemak bacaan meter mesin kilangnya, yang dilaporkan tidak tepat, Nelly muncul. Mukanya mencuka. Staf Malik terus pergi ke tempat masing-masing dan buat-buat tak nampak.

Malik tahu dia akan kena sembur sebentar lagi. Dia tinggalkan mesin yang bisu itu dan masuk ke pejabat. Nelly duduk di kerusi sambil berpeluk tubuh. Macam guru disiplin.

"Mana awak pergi dua hari?" soal Nelly.

"Ada kecemasan," jawab Malik. Nak kata apa. Takkan nak bagi tahu dia tidur di lokap? Sesungguhnya memang dia ponteng kerja.

"Tak boleh telefon untuk bagi tahu?" soal Nelly lagi. Jelas tak percaya.

Malik tak dapat menjawab. "Kau tolak saja gaji aku dua hari."

"Amboi senangnya jawapan . . ." Nelly menyindir. Kenapa Malik sensitif sangat? Dia tanya sahaja.

"Habis? Aku nak kata apa?"

"Katalah awak kena tahan polis, tidur dalam jel. Lepas tu dalam pengawasan polis, sampai dua hari."

Malik terkejut. Cerita Nelly itu memang hampir tepat.

"Sampai bila awak nak bohong Nelly, Malik?" Suara Nelly macam sudah ditambah satu oktaf.

"Bohong apa?"

Nelly bangun dan berdiri menghadap Malik.

"Awak kena tahan polis sebab pukul orang."

Malik mengangkat bahu, "So what?"

"Malik! Kalau macam itu sikap awak, tak apalah!" Nelly jelas marah. Dia mengambil beg clutch jenama ekslusif yang diletak di atas meja dan berjalan menuju ke pintu.

"Untuk makluman kau, yang aku pukul tu bukan orang. Tapi binatang. Diorang nak bunuh Puspa. Sekarang Puspa koma di hospital!" Suara Malik sedikit meninggi.

Nelly terkejut. Dia berpaling. Beg clutch terjatuh ke lantai.

"Oh . . . I am sorry . . . How is she?"

"Kau sorry dengan siapa? Kau puas hati sekarang?" 

Entah kenapa tiba-tiba Malik naik angin. Suaranya meninggi sudah macam lima oktaf. Mungkin sebab dia keletihan dengan beberapa insiden yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kelmarin dia jumpa doktor untuk memeriksa kecederaannya sendiri kerana pergaduhan itu. Mulanya dia nak mengambil cuti sakit pada hari ini. Tetapi setelah diberitahu oleh pembantu teknik ada sedikit masalah di kilang yang berlaku sejak semalam, dia datang juga. Tetapi tak pasal-pasal Nelly menyerangnya. Dia sangat tertekan. Macam gunung berapi yang hendak meletup sahaja.

"Nelly minta maaf. Nelly ingat awak gaduh dengan orang sebab itu kena tahan polis." Suara Nelly perlahan.

"Sejak bila aku gaduh ikut suka hati macam samseng?" Akhirnya dia meletup juga.

"Nelly dah minta maaf kan?" Nampak sangat dia masih cuba mempertahankan benang basahnya.

"Tak payah nak minta-minta maaf. Kau memang tak percaya dengan aku. Tak pernah percaya dengan aku."

Malik berjalan pantas menuju ke pintu, sebelah bahunya terlanggar Nelly yang berdiri di situ. Dengan bahu tegak, dia terus keluar.

Nelly terpaku. Kesal kerana tidak menyiasat dahulu berita sekerat-sekerat yang didapati daripada setiausahanya. Sejak akhir-akhir ini dia terlalu memikirkan tentang Malik. Kerana itu dia terburu-buru mencari salah Malik dan menghukumnya.

RINDU KAMILAHWhere stories live. Discover now