CINCIN INI UNTUK SIAPA?
Nelly meraba-raba hidungnya, seolah-olah baru tadi Malik memicitnya. Tetapi Malik hanya terbaring di atas katil hospital dan tidak dapat berbuat apa-apa. Bernafas pun dengan bantuan ventilator. Nelly tahu, Malik akan memerlukan masa untuk pulih kerana paru-paru yang luka terkena tikaman. Mungkin beberapa minggu.
Malik memang setia kepada kawan. Takkan ini balasan kesetiaan itu?
Keluarga Arman dan Suhail sudah pulang setelah melihat Malik. Mereka kata akan datang semula esok pagi. Arman dan Puspa juga sudah pulang. Nelly faham kenapa Arman pulang. Dia perlu menguruskan isterinya yang belum berupaya menguruskan diri sendiri.
Datuk dan Datin Tan faham anaknya mahu bersendirian dengan Malik. Mahu meluahkan perasaannya. Mereka senyap-senyap keluar bilik. Tinggal Nelly dan Malik sahaja.
"Where is your fighting spirit Malik?" Nelly memulakan bebelannya.
"Atau Malik sengaja nak tidur lama-lama sebab tak nak dengar Nelly membebel lagi?"
Kalau Nelly harap Malik akan segera bangun dan menjawab, memang dia betul-betul sudah sasau. Tetapi Nelly bersyukur, sekurang-kurangnya Mesin ElectroCardioGraphy (ECG) dan ventilator bergerak seperti biasa. Nelly rapatkan lagi kerusi ke katil Malik.
"Kalau Malik marah pada Nelly sebab hal hari itu, tapi terus tidur saja, macam mana Nelly nak tahu apa dalam hati Malik?"
Nelly keluarkan kotak berisi cincin lamaran yang baharu diterimanya tadi. "Cincin ini Malik nak bagi siapa? Takkan nak bagi pada kereta?"
Tut tut tut . . . mesin ECG masih berbunyi.
"Baiklah. Kalau Malik tak nak jawab, Nelly akan pergi. Nelly akan datang hanya bila Malik dah bangun daripada tidur. Tahu kenapa? Kerana Nelly tak mahu bercakap dengan patung bernyawa."
Nelly bangun dengan perasaan hiba tidak terkata. Tiba-tiba dia seperti mendengar suara Malik:
"Jangan pergi."
Nelly menoleh dan melihat Malik masih terbaring di situ. Mata masih tertutup. Takkan dia bercakap sedangkan mulutnya bersambung dengan alat-alat yang sedang bekerja untuk menyambung nyawanya, fikir Nelly.
Mengigau?
Nelly letak tangan kanannya di tangan kanan Malik. Ada lebam-lebam di lengan itu. Mungkin dia gunakan tangan itu untuk menahan pukulan. Nelly usap tangan Malik perlahan-lahan, dan terasa bahang panasnya.
Tangan itu pernah menyelamatkan maruahnya dahulu. Tangan itu membelanya tanpa memikirkan tentang risiko yang ditanggung dirinya sendiri. Seperti kata papanya, tiada wang ringgit yang boleh membayar jasa Malik kepada keluarga Tan Kok.
Nelly nampak bintik-bintik peluh di dahi Malik. Aircond sejuk. Tetapi kenapa Malik berpeluh? Adakah ini petanda baik? Nelly melepaskan tangan Malik. Dia dengar lagi suara.
"Jangan pergi . . ."
"Malik, Nelly takkan pergi. Takkan tinggalkan awak. Tapi awak yang nak tinggalkan Nelly. Sejak hari kita bertengkar dulu, awak tak bercakap lagi dengan Nelly. Ingat awak seorang saja yang sakit hati, Nelly tidak?"
Nelly jarang dapat menatap wajah Malik atau melihat tubuh badannya dengan jelas. Malik akan cepat perasan dan mengusiknya. Perbuatan itu sering kali buat Nelly malu. Selalunya Malik akan berkata: "Like what you see? I can show you more under one condition . . ."
Malik membiarkan ayatnya tergantung, kerana Nelly akan pantas mencemikkan muka. Kata Nelly, Malik perasan. Kenapa dia harus suka melihat tubuh badan Malik sedangkan hatinya telah bertaut kepada Arman? Bolehkah seorang wanita tertawan kepada dua lelaki sekaligus?
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...