DATO' BAHA
Hari Ahad. Sepatutnya hari ini Arman bertunang dengan Puspa.
Arman keluarkan kotak baldu kecil, empat persegi berwarna merah. Cincin yang ditempah bersama dikeluarkan. Tak secantik mana. Tetapi cukup bermakna. Kenangannya terbang pada saat itu.
"Tak perlu cincin mahal-mahal. Yang penting nama kita terpahat di situ," kata Puspa.
Arman merasa tekaknya pahit. Cincin dimasukkan semula ke dalam kotak. Dia akan bawa cincin itu ke sana ke mari ibarat azimat cintanya.
Dulu dia memang tidak memakai cincin kerana mengganggunya semasa bermain. Tapi kini dia harus biasakan diri dengan cincin yang ada terukir nama Puspa Kamilah.
Pintu diketuk.
"Arman! Dah bangun? Ada orang nak jumpa." Suara Datuk Haidar memanggil.
Malam tadi Datuk Haidar dan pengawal peribadinya merangkap pemandu itu datang ke hospital menjemput Arman pulang sebaik sahaja dia selesai membacakan surah Al-Hasyr untuk pendengaran Puspa.
Dia tidak tahu Datuk Haidar bermalam di mana, kerana ketika masuk ke bilik tidur orang tua itu keluar bersama pengawal peribadinya.
Arman berjalan lemah ke pintu. Terbuka sahaja dia terperanjat melihat sosok tubuh yang berdiri di sebelah Datuk Haidar. Seorang lelaki tua bertubuh sederhana.
"Ustaz!"
Terus Arman peluk lelaki itu.
Ustaz a.k.a. Dato' Baha.
"Bukankah ustaz kena 10 tahun penjara sebab pengubahan wang haram?" soal Arman.
Dato' Baha senyum. "Aku dah bebas tuduhan mengarut tu . . ."
"Alhamdulillah."
"Mari kita minum sambil sembang," kata Datuk Haidar, "kejap lagi Malik sampai."
Mereka pergi ke meja makan. Roti canai dan nasi lemak sudah tersedia, selain telur dadar.
Loceng berbunyi. Pengawal peribadi yang hanya dikenali dengan nama Suki itu membuka pintu.
"Tok Baha!" Malik hampir terjerit kerana sangat teruja melihat guru silatnya yang sudah lama terpisah sejak dia keluar dari universiti.
"Kau dah keluar universiti langsung tak hubungi aku," kata Dato' Baha, pura-pura marah.
Malik merapatkan kedua tapak tangannya dan tunduk seperti gaya menyembah. Dato' Baha tepuk bahu Malik.
"Jom makan dulu," Datuk Haidar mempelawa. "Dato' Baha ni Atok kenal sejak kerja polis lagi."
Dato' Baha mengangguk. "Ya . . . Atok kamu ini asyik menyusahkan masa muda aku."
Datuk Haidar ketawa terbahak-bahak. Jarang sekali dia ketawa begitu. "Aku ikut perintah Kerajaan sahaja."
"Yelah . . . Bila ada masalah, cari aku," balas Dato' Baha.
Dato' Baha muda sikit daripada Datuk Haidar. Tubuhnya nampak sangat fit, tidak gemuk, tidak kurus. Wajahnya juga jauh lebih muda daripada usianya yang sudah lewat 70an.
"Tak sangka kita kongsi guru yang sama, Malik," kata Arman setelah berpelukan sebentar dengan sahabat karibnya itu.
"Bezanya, kau belajar mengaji, Malik belajar silat," tegas Dato' Baha, walaupun dia ada juga mengajar Arman beberapa teknik dalam ilmu persilatannya.
"Tak guna penjarakan Dato' Baha. Dia pandai keluar masuk sendiri." Datuk Haidar mencelah.
Dato' Baha ketawa. Pandangannya dialihkan kepada Arman dan Malik, silih berganti. "Aku dekat dengan kamu berdua, walaupun kamu tidak sedar."
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...