*Bahagian ini Sis paling sukar untuk menulisnya. Sebabnya? Sis tak pernah menulis babak ganas satu pergaduhan.*
SERANGAN
"Umi tertinggal . . ."
Kata-kata Puspa mati di situ. Bukan Umi Khadijah di hadapannya, tetapi seorang lelaki bertubuh tegap, memakai balaclava yang hanya nampak matanya. Segera Puspa menutup semula pintu, tetapi lelaki itu lebih pantas menendang kerusi roda Puspa, sambil melangkah masuk. Kerusi roda Puspa terdorong ke belakang dan terhenti setelah terlanggar dengan sofa di ruang tamu itu. Puspa pusing kerusi roda untuk melarikan diri. Dengan mudah sahaja lelaki itu menangkap kerusi rodanya. Dia keluarkan pisau yang terus diacukan ke muka Puspa. Daripada pandangan matanya yang bengis, Puspa tahu siapa dia.
Badar.
Entah dari mana datang kekuatan, Puspa tendang bahagian antara paha lelaki itu. Badar jatuh tersungkur. Pisaunya terpelanting. Puspa pandu kerusi roda automatiknya menuju ke pintu. Tetapi lelaki itu menarik rambut Puspa dari belakang sehingga dia terjatuh dari kerusi rodanya. Badar ketawa. "Kau nak ke mana? Cari Arman? Aku nampak dia di hujung kebun."
Daun pintu ditendangnya rapat.
"Orang-orang aku akan bunuh dia sekejap lagi . . . Hahaha! Emak mentua tersayang kau pun tak ada. Tengok orang mati. Hahaha . . ."
Barulah Puspa sedar, panggilan kematian itu rupanya palsu.
Puspa menjerit dengan sepenuh tenaga. Namun suaranya gagal dikeluarkan dengan kuat. Lelaki itu cuba menumbuk muka Puspa. Tetapi Puspa dapat mengelak. Apa yang dipelajari daripada Arman untuk survival dirinya cuba diaplikasi. Tangan Badar dipegang dengan sekuat tenaganya.
Mereka bergelut di lantai. Puspa balas pukulan Badar. Tepat di muka.
Badar terkejut dengan serangan daripada perempuan lumpuh yang disangknya lemah. Namun, sekuat mana tenaga Puspa, tidak dapat mengalahkan tenaga lelaki itu. Dia menyentap tangan Puspa dan menampar muka dan menumbuk perutnya berkali-kali. Puspa cuba menjerit lagi. Tetapi suaranya masih tersekat di kerongkong.
Badar ketawa.
"Diam! Aku bukan nak bunuh kau. Belum lagi. Kau insuran aku untuk keluar dari Negara ini."
Dalam keadaan masih terjelepuk, akibat ditampar dan ditumbuk, Puspa hanya mampu mengesot undur. Kali ini dia mengesot menuju ke biliknya. Di sana telefon bimbitnya ditinggalkan. Lalu, tangannya mencari-cari apa-apa sahaja untuk dijadikan senjata. Kerusi ditolak jadi penghalang. Pasu bunga, buku, habis dibalingnya. Perbuatan Puspa menjadikan Badar semakin marah.
"Tak padan dengan lumpuh!" Sekali lagi dia menampar muka Puspa. Darah keluar dari mulut nya. Lelaki itu ketawa mengejek.
Puspa teringat apa yang diajar Arman kaedah untuk menjaga dirinya jika diserang. Puspa Tarik nafas dalam-dalam melalui mulut untuk mengurangkan kesakitan akibat tumbukan itu dan mengelak daripada pengsan. Badan ditegakkan. Sekali lagi dia cuba menjerit.
Seolah-olah selak yang mengunci kotak suaranya terlepas. Jeritannya keluar dengan kuat dan nyaring. Dengan kasar tangan Badar menutup mulut Puspa. Lantas Puspa gigit tangannya. Semakin berapi marah lelaki itu. Dia tolak Puspa ke lantai. Sebelah tangan kasarnya mencekik leher Puspa. Sebelah lagi merentap baju yoga Puspa.
Dengan pantas juga Puspa menarik balaclava yang dipakainya.
Benar seperti disangkanya.
Badar senyum senget. Dari mata dan senyumannya itu Puspa tahu apa yang mahu dilakukan oleh Badar.
Ya Allah! Aku takkan benarkan penjahat ini melakukannya.
"Apa-apa pun boleh jadi senjata. Di leher ada point yang lemah."
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...