PERJALANAN BAHARU
Akhirnya hari yang ditunggu-tungu oleh penduduk Kampung Seri Bahagia tiba. Majlis resepsi untuk perkahwinan Puspa dan Arman yang tertangguh diadakan dengan meriah. Ia diadakan di sebuah hotel di Ipoh, bagi pihak Puspa dan di Dewan Masyarakat bagi pihak Arman.
Di Ipoh, kelompok yang hadir adalah dari kalangan profesional berbilang kaum. Ada hakim, ada peguam, ada polis, ada jurubank dan tidak ketinggalan ahli perniagaan. Selain kaum kerabat Datuk Haidar, saudara mara sebelah Adam Prakash juga hadir.
Di Kampung Seri Bahagia pula, yang hadir ialah saudara mara belah Arman dan orang kampung, termasuk Joni serta kawan-kawannya, selain keluarga terdekat ibu bapa Puspa.
Kali ini Nelly turut hadir bersama Datuk dan Datin Tan bersama Malik. Keluarga itu sudah memilih hari yang sesuai untuk Malik dan Nelly disatukan mengikut kecercayaan kaum Cina. Malik ikut sahaja kerana tidak mahu menyinggung perasaan mama dan papa Nelly. Sebenarnya Malik mahu cepat. Sudah banyak masa terbuang, katanya. Tetapi Nelly mahu khatam Quran dahulu. Bersungguh-sungguh dia belajar dengan Amirah. Terpaksa Malik mengalah.
Namun bayangan Zarif tidak kelihatan. Resepsi di Ipoh tiada. Resepsi di Kampung Seri Bahagia pun tiada. Orang kampung tertanya-tanya.
Di mana dia?
Bagi Arman, ketiadaan Zarif bukan isu besar.
Dia seorang lelaki. Pandai-pandailah dia bawa dirinya.
Sebulan selepas itu Zaki terbang ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Sound Engineering. Khadijah mengalirkan air mata ketika menghantarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
"Umi, sekarang kita dah boleh bercakap guna video. Tak usah risau. Nanti Zaki sembang dengan umi," kata Zaki, ceria.
"Bukan umi risau itu . . . Umi cuma risau Zaki lupa diri."
Maklumlah, usia Zaki baru 18 tahun.
Di Boston, kawan Adam Prakash, seorang peguam, sudah berjanji untuk membantu Zaki mencari tempat tinggal yang sesuai dan menjaganya.
"InsyaAllah Zaki akan sentiasa beringat, umi."
Mereka akan merindui Zaki.
*****
HUJUNG RINDU KAMILAH
Mula-mula seorang. Kemudian dua, lepas itu tiga. Kini sudah lapan orang bertanya sama ada Puspa sanggup menjadi guru tarian balet untuk anak-anak mereka.
Entah mulut tempayan siapa yang bercerita antara yang mempercepat pemulihan fisikal Puspa ialah pergerakan tarian balet yang dipraktikkannya setiap hari. Itu yang mendorong ibu-bapa bandar kecil ini untuk bertanya ketika Puspa membuat workout di JACK & JILL.
Arman tidak melarang kalau Puspa hendak menjadi jurulatih balet. Itu lebih selamat berbanding dengan menjadi peguam. Lebih-lebih lagi sekarang Puspa sudah menjadi ahli BOD kepada SSH. Bagi Arman Puspa bukan perlu kerja teruk untuk mencari rezeki lagi.
"Ikut suka sayang. Nanti kita bincang dengan Brother Jack," kata Arman satu petang selepas pulang dari kebun cilinya.
"Kenapa pula nak bincang dengan dia?" soal Puspa.
"Kita buat balet sekaligus untuk membina kekuatan saraf, bukan semata-mata untuk hiburan," jelas Arman. "Kalau itu tujuannya, abang benarkan. Kalau tidak, abang No Deal."
Isteri kena patuh kepada keputusan suami, fikir Puspa.
Dia tidak memiliki kelayakan akademik sebagai guru tarian balet. Tetapi dia memiliki banyak sijil dari dalam dan luar negara kerana penyertaannya dalam pertandingan dan teater sejak zaman kindergarten. Sebenarnya itu sudah cukup untuk mengajar balet.
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...