DENDAM DZAFRI
Dzafri, Datuk Salim, Mona dan abang iparnya, Noramin dihadapkan ke mahkamah. Kesemua mereka dibebaskan setelah diikat jamin RM100,000 bagi Datuk Salim dan isteri, RM50,000 bagi Dzafri dan Noramin. Dzafri tahu dia terpaksa dihadapkan sekali walaupun bertindak sebagai whistle blower dalam kes rasuah Datuk Salim. Adam Prakash masih berunding dengan SPRM supaya Dzafri dilepaskan. Tetapi Dzafri sudah bersedia menerima akibat kerana bersubahat dengan ayahnya, disebabkan mahu memiliki Nora. Dia boleh didakwa kerana mendesak ayahnya memberi projek kepada Noramin. Nora menjadi galang ganti projek rasuah itu. Tiada wang ringgit yang bertukar tangan. Dia sudah berterus terang dengan penyiasat tentang motifnya, walaupun memalukan. Bagaimana peguam bela hendak menyelesaikan kes itu dia serahkan kepada kebijaksanaan Adam Prakash.
Itu soal undang-undang yang peguam boleh membantu. Soal hati lain pula. Sendiri kena usaha. Di sana dia masih menemui kebuntuan. Nora tetap enggan mengikutnya balik ke rumah. Bagaimanapun dia tidak lagi menuntut cerai. Mungkin Nora kini tiada pilihan setelah Arman berkahwin dengan Puspa, dan dia dimarahi keluarga sendiri. Nora kini sendirian kerana tidak mendapat sokongan keluarga. Dzafri sudah jelaskan semuanya kepada Nora. Mereka saling memerlukan. Cinta yang musnah boleh dibina semula. Tetapi Nora masih berdegil.
Dzafri sewa sebuah apartmen yang berhampiran dengan sekolah tempat isterinya mengajar. Nora bersetuju pindah ke apartmen itu setelah keluar dari hospital.
"Tapi abang tak boleh tinggal dengan Nora," kata Nora ketika menerima kunci apartmen itu.
"Kenapa pula?" Dzafri membantah.
Dia boleh dakwa Nora nusyuz kerana ingkar kepada suami. Tetapi Dzafri terlalu sayang kepada Nora dan tidak sanggup melakukannya. Sekurang-kurangnya Nora mahu menerima tawarannya itu sudah sangat baik baginya. Di sana harapan Dzafri masih berputik agar mahligai yang dibinanya kira-kira setahun lalu masih dapat diselamatkan.
*****
PENGAKHIRAN
Hari itu dia didatangi ayah dan ibu tirinya.
"Ayah tak ada duit nak bayar gaji pekerja sekarang. Jadi ayah nak pinjam duit Dzafri," kata Datuk Salim memulakan perbualan.
"Ayah lupakah simpanan Dzafri pun kena sita?" soal Dzafri.
"Kamu kan ada simpanan bersama dengan Nora? Takkan itu pun kena?" celah Mona.
"Mana boleh saya ambil duit tu? Itu duit Nora. Kami simpan untuk anak kami," jawab Dzafri. Sengaja dia tekankan 'anak kami' itu. Hairan dia bagaimana Mona tahu dia ada akaun bersama dengan Nora.
"Kan dia dah minta cerai?" Mona membidas.
"Nora masih isteri saya kerana saya yang boleh ceraikan dia. Bukan dia ceraikan saya," jawab Dzafri.
Meluat sungguh dia dengan ibu tirinya itu.
"Jadi, kamu tak boleh tolong ayah settle gaji pekerja?" soal Datuk Salim.
"Pekerja mana tu ayah?" soal balik Dzafri.
Dia bukan tak mahu menolong ayahnya. Tapi dia tak mahu duit itu jatuh ke tangan Mona. "Rasanya pihak SPRM sita akaun tu cuma nak siasat sama ada duit dalam bank itu ada kaitan dengan rasuah atau tidak. Kalau tak ada kaitan, SPRM akan lepaskan."
Hairan juga, takkan SPRM begitu kejam sampai syarikat tak dapat bayar gaji pekerja? fikirnya.
"Tapi memakan masa juga nak tentukan." Mona masih cuba mempengaruhinya.
Diam-diam Dzafri berharap mahkamah akan sabitkan Mona dan lepaskan ayahnya. Walaupun Dzafri marah kepada Datuk Salim kerana menceraikan mamanya dan menyebabkan dia didera semasa kecil, dia tetap kesian kepada ayahnya yang sudah berusia lebih 60 tahun. Ayahnya ada penyakit darah tinggi. Takkan nak dipenjara?
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...