PENGORBANAN
"Apa dah jadi?" soal Khadijah.
Dia hairan kerana sebentar tadi Datuk dan Datin Tan tergesa-gesa pergi setelah mendapat panggilan. Suhail pula naik bersama Puspa sahaja.
"Nelly pengsan," jawab Suhail. "Mungkin terkejut tengok banyak darah di baju Hail."
"Di mana dia?"
"Rehat di bilik VIP."
Soal-jawab terhenti apabila pintu bilik ICU terbuka. Pandangan mereka beralih ke pintu itu. Arman melangkah keluar bersama seorang jururawat. Semua yang menunggu melepaskan nafas lega setelah jururawat beritahu Arman sihat. Jururawat juga menyampaikan maklumat daripada doktor, Malik sudah melepasi tahap kritikal. Dia sedang dirawat untuk mengelakkan infeksi. Bagaimanapun dia belum boleh dilawati.
Tunggu lagi.
Arman pandang wajah isteri penuh kasih. Dia tahu banyak perkara yang Puspa mahu bertanya. Tetapi hanya matanya yang penuh tanda soal. Arman cium pelipis Puspa.
Hai isteriku! Aku rindu mendengar suaramu yang becok seperti dahulu!
Bibir Puspa mengukir senyuman buat suami yang berkerut keningnya. Air matanya tergenang. Air mata lega.
Hai suamiku! Jangan apa-apa terjadi padamu, kerana aku amat memerlukanmu!
Arman menyeka air mata Puspa.
Besarnya pengorbananmu wahai isteri!
"Syyy! Jangan menangis. Nanti orang ingat Abang pukul Puspa pula," dia memujuk, separuh bergurau. Sebutir kucupan mendarat di dahi Puspa.
Arman tidak peduli mata Umi dan Walid yang tertumpu ke arah mereka. Dia tidak merasa perbuatannya keterlaluan. Isterinya tidak berupaya meminta itu dan ini. Hanya pancuran kasih sayang yang mampu dia beri buat penampung harapan untuk Puspa pulih sepenuhnya. Cintanya kepada Puspa semakin hari semakin mendalam.
Takkan nak tunjuk kasih sayang kepada isteri sendiri tak boleh? Hatinya memprotes.
Tiba-tiba kedengaran bunyi deruan ombak kecil dari perut Arman. Puspa tutup mulutnya untuk mengelak daripada ketawa. Arman bangun. Tangan sudah bersedia untuk menolak kerusi roda Puspa.
"Siapa nak turun makan?"
Zaki dan Sarah mengangkat tangan. Arman memandang Suhail, tetapi Suhail menggelengkan kepala.
Arman tahu kedua adiknya tentu trauma setelah terlibat dalam pengalaman yang menakutkan itu. Muka Zaki juga kelihatan lebam. Mungkin kena tumbuk semasa bergelut mempertahankan diri. Sarah tidak nampak kesan apa-apa di luar. Tetapi di dalam hati siapa tahu?
Mereka mencari kantin hospital. Lebih selamat daripada makan di luar.
Setelah mengambil tempat duduk dan memesan makanan, Arman alih perhatian kepada adik-adiknya. "Are you two okay?"
"Okey abang long," jawab Zaki.
"Sarah?"
Sarah menghulurkan tangannya yang berbirat kerana ditarik oleh penjahat.
"Sakit lagi ke?"
Sarah geleng kepala. "Tak sakit. Tadi hospital bagi ubat sapu."
Arman tahu kedua adiknya mahu menunjukkan wajah berani. Di bawah meja, dia rasa tangan kanan Puspa mengusap tangan kirinya. Dia genggam tangan Puspa.
Makanan pun sampai. Nasi goreng kampung untuk Arman. Nasi goreng Cina untuk Puspa, mi bandung untuk Zaki dan Sarah.
Puspa teringin makan mi bandung, tetapi diketepikan niat itu. Dia tahu kalau dia hendak makan juga, maknanya Arman terpaksa menyuapnya. Nasi goreng lebih mudah.
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...