PART 42: AMBILLAH HATIKU

110 13 0
                                    

DOA BUAT PUSPA

Di ruang menunggu luar ICU, keluarga Arman dan Puspa masih berkumpul. Arman minta walid, umi dan kedua adiknya pulang dahulu, kerana mereka perlu pergi ke sekolah.

"Ala . . . Sarah nak jumpa Kak Long." Sarah membantah.

"Doktor tengah periksa Kak Long," nasihat Arman kepada adiknya.

"Why? Is something wrong?" soal Adam Prakash.

"Puspa menangis," jawab Arman.

"Ya, orang koma kadang kala boleh mendengar dan menangis." Mendatar sahaja suara Adam Prakash. Dia tidak berani mengharap lebih daripada itu. Menurut pengalamannya, dalam mengendalikan kes saman sivil, ia hanya reaksi pesakit yang koma.

"Apapun kita berdoa, mudah-mudahan ia tanda positif," balas Zahari.

Adam Prakash mengangguk. Indah masih menyandarkan kepala di bahunya. Tangisannya sudah berhenti.

Arman terus meminta keluarganya pulang dahulu. "Biar Arman sahaja duduk di sini. Apa-apa Arman bagi tahu walid dengan umi. Mungkin lama lagi doktor periksa Puspa."

Akhirnya Zahari bersetuju untuk balik ke rumah bersama Khadijah, Sarah dan Zaki. Tinggal Arman bersama Adam Prakash dan Indah.

"Apa kamu buat hingga Puspa menangis?" Adam Prakash dia ingin tahu.

"Arman baca surah Al-Hasyr. Arman belajar daripada seorang ustaz semasa di penjara," kata Arman. "The Surah keeps me sane."

Adam Prakash mengangguk dan berpaling kepada isterinya, "Mungkin kita pun patut baca surah itu, honey."

Hospital swasta ini mempunyai dormitory khas untuk mereka yang menunggu pesakit, dengan bayaran. Ia sering penuh dengan keluarga pesakit.

Nasib baik Adam Prakash dapat menyewa satu katil untuk Indah berehat pada malam itu. Kerusi di lobi di tingkat bawah juga penuh dengan waris-waris pesakit yang menunggu. Dia dan Arman mencari tempat untuk melelapkan mata di kerusi panjang di taman di luar hospital. Mujur tak hujan. Dalam kecemasan, peguam kanan dan orang biasa jadi sama sahaja.

Masuk waktu subuh Arman dan Adam Prakash solat berjemaah di surau berdekatan. Adam minta Arman menjadi imam. Tiga orang lain yang tidak dikenali turut menjadi makmum. Tidak lupa mereka panjatkan doa untuk kesihatan Puspa. Lepas solat Adam Prakash ajak Arman dan Indah mengisi perut di kantin hospital. Mulanya Indah enggan meninggalkan ruang menunggu. Setelah dipujuk, baru dia ikut sekali.

Arman baru sedar dia tak makan sejak semalam. Dia ambil nasi lemak bungkus dan pesan kopi pekat. Itu saja yang dia rasa boleh masuk ke dalam perutnya pada waktu itu.

"Ayah, Ibu, I will marry her as soon as she wakes up," katanya, sebaik sahaja menghabiskan nasi lemak bungkusnya. Ayatnya seperti satu pengumuman, bukan permintaan.

Mereka bertiga sedar kemungkinan Puspa akan mengalami kesan daripada koma. Mungkin lumpuh atau bisu, atau kedua-duanya, disebabkan kenyataan doktor tentang kesan racun kepada saraf dan hati. Tetapi tiada seorang pun ahli keluarga membuka mulut mengenainya.

"I am okay with that," kata Adam Prakash sambil memandang isterinya.

Indah mengangguk sahaja. Dia sedar Arman mahu menjaga Puspa, tanpa halangan agama. Dia harus patuh. Dia amat memahami anaknya. Puspa sendiri takkan mahu dijaga oleh jururawat yang tidak dikenali, atau menyusahkan ibu dan ayahnya.

Lepas sarapan mereka naik semula ke unit ICU di tingkat empat. Setibanya di ruang menunggu, Malik sudah sampai bersama dengan beberapa orang pegawai polis. Arman perkenalkan Malik kepada Adam Prakash.

RINDU KAMILAHWhere stories live. Discover now